Menu

 

A+ A A-

ETIKA PELAJAR DI RUMAH

SEBAGAI seorang pelajar, anda sering dilatih tentang etika belajar, etika di dalam bilik darjah, etika dalam majlis, etika dengan guru, etika dengan sahabat, etika di pusat sumber, etika di makmal, etika di padang sukan dan sebagainya. Pernahkah anda diberitahu tentang etika di rumah?

Oleh sebab sebahagian besar masa dan usia anda dihabiskan di rumah, maka anda juga harus mahir etika di rumah. Ini kerana rumah merupakan stesen atau hab utama kehidupan kita.

Di rumah kita berinteraksi dan berkongsi dengan ramai orang iaitu ahli keluaga kita. Di rumah juga kita dikehendaki mengurus dengan sempurna pelbagai ruang dan peralatan. Hari ini ramai pelajar dan remaja yang tidak ambil pusing tentang etika di rumah. Tahukah anda sikap ini sangat merunsingkan ibu bapa anda?

Dan yang lebih penting anda harus sedar bahawa anda berada dalam perjalanan menuju kedewasaan dan bertanggungjawab terhadap apa sahaja yang anda lakukan.

Kadang-kadang tanggungjawab ini tidak anda sedari kerana selama ini anda ditatang bagai minyak yang penuh. Semua keperluan anda tersaji. Ibu bapa anda seolah-olah menjadi orang gaji di rumah sendiri. Diri anda pula seperti “ayam daging”. Sekarang masanya anda mengubah paradigma sikap anda menjadi seorang yang paling bertanggungjawab dalam hidup anda:

Mengiktiraf Nakhoda

Anda hendaklah mengiktiraf bapa anda sebagai ketua keluarga, big boss, nakhoda atau presiden. Dan ibu anda sebagai penolongnya. Anda juga hendaklah menghormati serta menjaga maruah dan rahsia keluarga, membantu ibu bapa dan menyenangkan hati mereka. Jangan masuk ke bilik ibu bapa tanpa kebenaran mereka. Mintalah izin ibu bapa jika hendak keluar rumah.

Syariat di Rumah

Laksanakan syariat Islam sepenuhnya di rumah. Berilah salam setiap kali memasuki dan keluar rumah walaupun tiada orang, sekurang-kurangnya mungkin ada malaikat atau makhluk Allah yang lain. Jangan benarkan orang yang tidak dikenali atau yang bukan mahram masuk ke rumah. Jangan mendedahkan aurat hatta kepada ahli keluarga sendiri. Jangan membela anjing, menyimpan patung dan menggantung gambar yang tidak bermoral di rumah.

Rumahku Masjidku

Bangun sendiri sebelum subuh. Solat fardu berjemaah di rumah jika lokasi rumah jauh dari masjid atau surau. Baca al-Quran dan bertazkirahlah setiap hari. Jagalah kesucian setiap ruang di rumah. Pastikan sumber air bersih dan tidak mustakmal. Asingkan ruang tetamu lelaki dan tetamu perempuan jika bukan daripada kaum keluarga yang sama.

Rumahku Syurgaku

Anda hendaklah sama-sama memastikan rumah menjadi tempat yang selesa untuk didiami. Buang sampah sarap dan hindarkan bau yang tidak menyenangkan. Pastikan pengaliran udara bersih di dalam rumah. Hiasi dan hidupkan taman rumah anda dengan tanaman bunga dan landskap yang cantik, bina air pancut, tanam tumbuh-tumbuhan bermanfaat dan bela ikan di dalam kolam.

Gelanggang Amanah

Di rumahlah anda harus mula belajar beramanah. Jika mengambil barang kegunaan umum, letakkan semula di tempatnya. Buka pintu bilik dan jangan kunci dari dalam kecuali bagi ahli keluarga perempuan yang sedang tidur. Jangan mencuri pandangan atau mengintai ke dalam bilik orang lain.

Menjaga Keselamatan

Pastikan keselamatan kunci pagar, kunci pintu utama dan kunci pintu belakang. Sediakan papan tempat menggantung kunci di ruang utama rumah. Disiplinkan diri supaya tidak mengubah kedudukan sebarang kunci sewenang-wenangnya. Jaga keselamatan papan suis utama elektrik, semua alat elektrik, alat elektronik, gas, peralatan tajam, cecair yang mudah terbakar seperti petrol, spirit atau kerosin dan alat-alat lain yang berbahaya. Jangan letak ubat nyamuk atau lilin di tempat yang mudah terbakar misalnya berhampiran langsir.

Simpan ubat-ubatan dalam kotak ubat khas yang selamat. Jangan sekali-kali makan ubat-ubatan milik orang lain. Simpan racun seperti racun tikus, racun rumpai, racun serangga dan sebagainya di dalam bengkel atau stor yang berkunci. Pastikan rumah terhindar daripada haiwan perosak seperti tikus, anai-anai, lipas dan serangga berbisa.

Latihan Tanggungjawab

Rumah juga merupakan pusat latihan bagi anda untuk memantapkan sikap bertanggungjawab. Segera baiki peralatan dan sistem yang rosak. Jangan bebankan orang lain. Anda termasuk pelindung bagi seluruh isi keluarga.

Stesen Belajar

Rumah ialah stesen belajar kedua bagi anda selepas sekolah. Taatlah mengikut jadual waktu belajar yang telah ditetapkan. Kemaskan bilik tidur dan meja belajar. Gantung kata-kata motivasi di dinding.

Rumahku Pusat Sumberku

Bentuk sebuah pusat sumber umum di rumah. Beli majalah, buku dan DVD terbaru yang bermanfaat. Semua bahan ilmu dan sumber media mestilah dipersetujui ibu bapa. Jadikan tabiat untuk menyusun semula akhbar dan majalah selepas dibaca.

Bukan Pawagam atau CC

Jika perlu tontonlah TV setengah jam sahaja pada hari persekolahan dan maksimum dua jam pada hari cuti. Internet hanya boleh digunakan untuk tujuan pembelajaran. Jika perlu chatting atau menulis blog, paling lama anda boleh peruntukkan masa ialah 40 minit sahaja sehari. Perlahankan TV, radio dan sistem audio ketika orang lain berbuat sesuatu.

Bukan Wartel (Warung Telefon)

Jangan bergayut di telefon. Gunakan telefon untuk tujuan terpenting sahaja. Letak gagang telefon dengan sempurna setelah digunakan supaya panggilan dapat masuk. Gunakan telefon bimbit anda untuk aktiviti bermanfaat sahaja.

Disiplin Diri

Ibu anda sering meleteri anda di rumah. Ini memberi isyarat bahawa anda belum pandai menjaga disiplin diri. Basuh dan jemurlah pakaian sendiri. Kemaskan bilik tidur anda seperti kekemasan bilik artis yang anda lihat di majalah. Jangan meninggalkan bekas, sisa makanan dan sampah merata-rata.

Latihan Berjimat

Sentiasa memadamkan lampu yang tidak digunakan, menutup paip air, berjimat ketika mandi, membasuh kain atau kereta, menyiram bunga, menutup peralatan elektrik selepas digunakan seperti komputer, kipas angin, sistem audio, TV dan penghawa dingin, menutup bekas alat suci diri dan bekas makanan setelah digunakan dan elak merosakkan barangan.

Kesimpulan

Memahami etika hidup ialah memahami isi hati diri sendiri. Apa yang hati kecil kita rasa itulah sebenarnya etika hidup. Hati kecil tidak mungkin membohongi diri kita. Kita hendaklah melawan nafsu jahat dengan pengorbanan dan susah payah untuk menghasilkan kecemerlangan. ¤

 

Haji Muhammad Zakaria

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5

 

Haji Muhammad Zakaria

Lulusan University of Tasmania dan University of Newcastle, Australia, berpengalaman sebagai pendidik, pensyarah, CEO kolej swasta, master trainer, kolumnis, penulis, editor dan usahawan. Beliau kini menjawat sebagai Pengerusi Yayasan Antarabangsa Sri al-Ain-Aceh, Presiden Persatuan Belia Sri al-Ain (BERSAMA), Timbalan Presiden Persatuan Usahawan dan Pengurusan Islam Malaysia (URUS) dan Mudir Tahfiz Sri al-Ain. Sering muncul di kaca tv sebagai perunding motivasi, antaranya TV3, RTM1 dan juga Radio Ikim.fm. Beliau juga sering ke luar negara mengetuai misi kemanusiaan, antaranya ke Aceh, Jakarta, Kemboja dan juga masyarakat orang asli.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas