Menu

 

A+ A A-

MENGURUS TUGASAN DAN KERJA

WANITA berkerjaya sering kali menghadapi masalah ini: Kerja yang bertimbun-timbun, banyak urusan tertangguh, sibuk sepanjang masa, hari-hari yang memenatkan, kerja rumah yang terlepas pandang, dan banyak lagi. Maklumlah, wanita berkerjaya bukan sahaja mempunyai peranan di pejabat, malah dialah isteri, dialah ibu.

Oleh sebab itu, sangat penting untuk memahirkan diri dalam kaedah menguruskan kerja dan tugasan. Ada kalanya banyak masa boleh dijimatkan dengan kemahiran seumpama ini. Hayati 10 tip ini dan buatlah penilaian terhadap diri sendiri:

1) Sedar apakah faedah dan harga tugasan anda itu

Adakah ia benar-benar perlu? Berbaloi atau tidak? Adakah cara lain yang lebih mudah dan murah? Jangan membazirkan masa, tenaga, wang dan komitmen anda untuk sesuatu yang boleh ditinggalkan. Tumpukan kepada yang utama.

2) Sentiasa sediakan "tugasan anjal" dari semasa ke semasa

Tugasan anjal ialah tugasan yang boleh dibuat di mana-mana, tidak kira bila masanya. Contohnya seperti membuat panggilan telefon, menjawab SMS, dan banyak lagi. Buatlah senarai tugasan anjal yang boleh anda lakukan dalam sehari, dan rujuklah ia dari semasa ke semasa.

3) Tarikh akhir peribadi

Jangan bergantung kepada tarikh akhir orang lain semata-mata. Anda lebih arif tentang masa anda, jadi kenapa tidak tentukan sendiri tarikh akhir anda sendiri. Dengan berbuat demikian, anda tidak lagi berkejar-kejar setiap kali tarikh akhir sudah hampir.

4) Mengutamakan yang paling berbaloi

Ia untuk kebaikan anda juga. Berbaloi boleh jadi dari aspek karier, ganjaran, peluang, psikologi, bahkan pahala juga. Jangan sematamata berpuas hati dengan “menyelesaikan tugasan”, tetapi sebenarnya tiada banyak yang anda peroleh.

5) Elakkan daripada timbunan kerja

Ia berlaku jika anda sering menangguhkan kerja. Bukan tidak boleh menangguhkan kerja, tetapi jika anda menjadikan ia untuk “melarikan diri” anda akan “lemas” dalam timbunan kerja yang ditangguhkan. Jika ini berlaku, cepat-cepatlah atasi dari sekarang!

6) Peruntukan masa sekadarnya

Jangan luangkan terlalu banyak masa untuk sesuatu tugas. Peruntukkan kadar yang sepatutnya. Ia mestilah berpatutan dan munasabah. Belajar bagaimana untuk mengawal masa anda daripada dicuri oleh orang lain dan juga diri anda sendiri!

7) Jangan menjadi ahli sempurna

Jika anda inginkan semuanya sempurna dan tersusun, anda akan menghabiskan banyak masa untuk hasil yang tidak seberapa. Ingat Prinsip Pareto, iaitu 20 peratus kerja untuk 80 peratus hasil. Jika anda menambah sehingga 60 peratus kerja sekalipun, anda hanya menambah tidak sampai 20 peratus sahaja. Jadi, kenapa buang masa dan tenaga?

8) Jika terlalu sukar, berilah masa menyelesaikannya

Ada banyak benda yang boleh diselesaikan dengan memberikan sedikit masa. Ia satu contoh penangguhan yang positif. Dengan perkembangan teknologi yang ada sekarang, segala-galanya boleh berubah dalam masa beberapa hari sahaja.

9) Jika anda bosan, masukkan agenda peribadi

Apakah perkara lain yang anda boleh manfaatkan daripada tugasan ini? Pasti ada “di celah-celah tugasan” itu tersembunyi faedah-faedah yang boleh anda timba. Tetapi ingat, jangan sesekali menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi. Itu dosa. Lakukan yang sah dan dengan jujur.

10) "Teori Keberkatan"

Dalam Islam, faktor keberkatan juga penting dalam urusan kerja harian. Keberkatan mempengaruhi hasil dan faedah yang anda perolehi daripada kerja seharian. Ada kalanya orang memperuntukkan masa dua jam untuk tugasan yang boleh dibuat dalam masa 30 minit. Ada pula laporan setebal 200 muka surat ditolak oleh pengarah, sedangkan yang setebal 50 muka surat dipuji.

Ada jutawan terkenal yang hidup gelisah dan terseksa, tetapi si miskin di kampung hidup tenang bersama keluarga. Kenapa? Faktor keberkatan boleh menjelaskannya. Ingat pesan Rasulullah s.a.w., “Berjalanlah (bekerjalah) kamu atas keberkatan Tuhan.”¤

                       

Ahmad Fadzli Yusuf

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5

 

Ahmad Fadzli Yusof

Professional Trainer/Speaker di RK Training & Management. Mendapat ijazah sarjana muda dan kemudian menyambung sarjana (Master) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kini sedang menyiapkan kajian PhD dalam bidang pembangunan insan Universiti Malaya. Beliau merupakan Certified NlP Practitioner dan mendapat tauliah daripada National Federation of Neuro Linguistic Programming yang berpusat di California, Amerika Syarikat. Beliau juga adalah kolumnis tetap majalah e-Siswa dan sering muncul di tv, antaranya TV3, TV9 dan RTM. Lawati laman web beliau di www.fadzliyusof.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas