Menu

 

A+ A A-

WAHAI PEMIMPIN, INGATLAH MATI!

Soal “pergeseran” di kalangan ahli-ahli politik adalah perkara biasa. Namun ia seharusnya terkawal di tahap persaingan sihat dalam amalan demokrasi. Bagi ahli politik yang beragama Islam pula, pergeseran itu tidak boleh sama sekali melanggar prinsip akidah, syariah dan akhlak Islamiah.

Malangnya kini pergeseran itu sudah sampai ke tahap ‘terlampau’ sehingga kestabilan negara dan nilai agama mula tercemar. Wajah politik negara sudah tidak harmoni lagi. Untuk menjernihkan keadaan, keikhlasan dalam berpolitik sangat diperlukan. Justeru dengan keikhlasan sahaja ahli-ahli politik akan dapat menguruskan perbezaan ini dengan baik. Soalnya, bagaimana hendak melahirkan ahli yang benar-benar ikhlas berjuang kerana Allah? Sesungguhnya usaha ini memerlukan program pengukuhan yang bertitik-tolakkan sistem keyakinan (iman) – percaya kepada Allah dan hariakhirat.

Langkah pertama, betulkan niat kita berpolitik. Tujuan berpolitik mesti disejajarkan dengan dua tujuan utama manusia diciptakan – menjadi hamba Allah dan khalifah di muka bumi.

Bagaimana politik boleh dijadikan ibadah? Gagasan “berpolitik sebagai ibadah” yang pernah diutarakan suatu masa dulu perlu dipandang serius.

Jangan biarkan gagasan itu menjadi retorik politik. Ia mesti digerakkan sehingga ahli-ahli politik Melayu Islam mula bermuhasabah apakah niat, pendekatan dan pelaksanaan politik mereka sudah boleh dijadikan ibadah? 

Berpolitiklah kerana Allah demi berbakti kepada manusia. Ahli politik mestilah berusaha membawa diri dan masyarakat untuk mentaati, membesarkan dan tunduk kepada kebesaran dan keagungan Allah. Dan mereka juga mesti mengurus, mentadbir serta memakmurkan negara berpandukan syariat dan akhlak Islamiah. Tegasnya, jadilah hamba Allah sebelum menjadi khalifah! 

Allah mesti menjadi paksi segala dorongan, pemikiran dan tindakan dalam mengurus dan memimpin diri, keluarga, masyarakat dan negara. Inilah asas dan teras sifat ikhlas – melakukan atau meninggalkan sesuatu, hanya kerana dan untuk Allah. Pada ketika itu kuasa bukan lagi dilihat sebagai satu anugerah tetapi amanah dari Allah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat! 

Bahagia atau tidaknya kita di akhirat sana, sangat bergantung pada sejauh mana kita melaksanakan amanah dengan sebaik- baiknya di dunia sini. Ingatlah, kita akan mati. Dengan mengingati mati barulah lahir ahli politik yang benar-benar ikhlas 

Ahli politik yang ingat mati akan mempunyai kesedaran bahawa “KPI”nya bukan sahaja dinilai oleh rakyat dan atasannya tetapi juga oleh Allah s.w.t. Bagi ahli politik seperti ini, kerja-kerja politik adalah urusan ibadah yang tidak hanya melibatkan soal hidup sebelum mati tetapi berkait terus dengan hidup selepas mati.

Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya. Begitu maksud hadis. Maksud “ditanya” itu bukan sekadar tentang keadaan rakyatnya di dunia tetapi juga keadaan rakyat di akhirat. Bayangkan jika majoriti ahli politik dapat menghayati konsep ini. Ia dengan sendirinya akan menyelesaikan masalah perebutan kuasa, politik wang, budaya fitnah dan lain-lain perkara negatif yang tidak henti-hentinya ini.

 

Solusi 8 - 3“Ahli politik” yang ingat mati

Hanya apabila pemimpin mengingati mati, urusan hidup (termasuk politiknya) akan dibuat dengan rasa takut kepada Allah. Sejarah telah menyaksikan bagaimana amanah dan profesionalnya “ahli politik” yang ingat mati seperti Rasulullah s.a.w, Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Umar Ibn Aziz (sekadar menyebut beberapa nama) memimpin, mengurus dan mentadbir keluarga, masyarakat dan negara mereka. 

Banyak mengingati mati bagi pemimpin mengingatkan mereka tanggungjawab yang diamanahkan dan kesannya setelah mati. Sayidina Abu Bakar, pernah ketika memegang ranting kayu kering sambil berkata, “Alangkah baiknya jika aku jadi ranting kayu ini kerana tidak dihisab oleh Allah di akhirat nanti.” Begitu juga Sayidina Umar pernah berkata, “Jika semua manusia ditakdirkan ke syurga kecuali seorang, maka aku bimbang akulah dia yang seorang itu.” 

Hanya orang yang ingat mati sahaja boleh memimpin dengan baik. Bukan sahaja kerana mereka lebih amanah, jujur, dan adil, bahkan ingat mati akan menjadikan mereka produktif, cekap dan kompeten. Amat-amatilah di sebalik kata Sayidina Umar ini: “Aku kurang tidur pada siang hari kerana takut urusan rakyat ku tidak selesai. Aku kurang tidur di malam hari kerana takut urusanku dengan Allah tidak selesai...”

Ertinya, ingat mati akan mengusir sikap bertangguh. Ingat mati akan mendorong kita melakukan kebaikan pada tahap maksimum kerana sedar kerja kita bukan hanya dinilai oleh manusia tetapi juga oleh Allah. Oleh sebab itu, wahai pemimpin...ingatlah mati!

 

 

Muhammad Al-Fateh

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana 08


 

Kembali ke atas