Menu

 

A+ A A-

MEMBUDAYAKAN SIKAP BERJIMAT

SALAM bahagia pembaca remaja semua. Kita sambung rencana (siri 1) yang membicarakan ‘Membudayakan Sikap Berjimat’ dalam keluaran lepas. Setelah kita mengetahui 6 aktiviti yang lalu, kali ini Abang Abu terangkan 6 lagi aktiviti yang patut kita amalkan. Kita mulakan dengan yang ke-7:

7. Menjaga barang anda dengan rapi.

Budaya berjimat ini sebenarnya juga memberi kesan positif dalam diri anda, kerana ia memupuk sifat menjaga barang kegunaan anda dengan rapi. Sifat ini akan menjadikan barang keperluan anda itu tahan lebih lama dan juga tidak rosak, malahan jika anda tidak perlukan lagi, ia boleh dijual dengan harga yang baik. Ini termasuklah kereta, komputer, telefon bimbit, pakaian dan lain lain.

membudayakan-sikap-berjimat-1

8. Buat pelan sebelum berbelanja atau membeli sesuatu.

Satu sikap yang akan menjadikan anda lebih berjimat adalah dengan membuat pelan sebelum berbelanja. Tulis apa yang perlu dibeli dan juga apa yang sudah ada di rumah anda. Ini adalah amalan yang bukan sahaja menjimatkan dari segi wang dan masa. Emosi anda juga akan terkawal kerana anda sudah mempunyai pelan perbelanjaan barang yang perlu dibeli. Aktiviti ini akan menghindarkan diri anda daripada membeli barang-barang yang tidak perlu atau barang yang anda sudah ada.

9. Lakukan kerja yang anda minat.

Satu kajian menunjukkan seseorang yang melakukan kerja yang mereka minat mempunyai pendapatan yang lebih baik serta keadaan kewangan yang sihat. Anda harus menumpukan perhatian anda dalam mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan minat anda.

Pastikan anda mengambil kursus-kursus dan pelajaran yang bersesuaian dengan minat anda. Memilih dan melakukan pekerjaan yang anda minat mengurangkan stres dalam diri anda dan anda akan berasa lebih sihat untuk bekerja tanpa mengambil cuti akibat tekanan pekerjaan. ini akan mendorong anda untuk membina budaya berjimat serta menyimpan yang kuat dalam diri anda.

10. Membina silaturrahim.

Membina hubungan sesama manusia amat penting dalam membina budaya berjimat dan menabung ini. Bayangkan anda tidak mempunyai hubungan yang baik dengan majikan anda. Pasti anda akan berasa risau akan pekerjaan anda.

Begitu juga, anda harus membina hubungan yang baik dengan rakan-rakan yang mempunyai sikap yang positif serta mempunyai matlamat yang sama untuk berjaya. sentiasa bersedia untuk memberikan pendapat anda dan bersedia untuk meminta pendapat mengenai perkara-perkara yang anda kurang arif dalam hal kewangan.

Abang Abu sendiri telah banyak mendapat faedah daripada membina rangkaian hubungan yang baik, bukan sahaja kewangan tetapi juga dari segi motivasi dan mental.

membudayakan-sikap-berjimat-2

11. Sentiasa menimba ilmu.

Sentiasa mengambil peluang untuk menimba ilmu apa-apa sekalipun. ilmu boleh didapati dari pelbagai sudut.

Amalan membaca adalah sesuatu yang mudah sekali untuk dilakukan dalam menimba ilmu. Baik dari segi kesihatan, pelajaran, pekerjaan, kewangan dan pelbagai lagi. Menghadiri kelas-kelas, bertanya kepada pihak tertentu, melihat kesilapan orang lain dan belajar daripada insiden tersebut adalah antara cara mudah untuk mendapatkan ilmu.

Dapatkan mentor yang boleh membantu anda, juga harus mengamalkan setiap ilmu yang anda pelajari supaya anda akan mendapat manfaatnya.

12. Sikap menderma.

Amalan membantu dan menderma sebenarnya datang daripada budaya berjimat. Amalan ini sebenarnya menjadikan anda orang yang bertanggungjawab. Agama islam menggalakkan sifat menderma ini, malahan juga mewajibkan zakat.

membudayakan-sikap-berjimat-3

Pemberian zakat akan membersihkan segala harta benda anda serta membuka pintu-pintu rezeki. Ini juga menjadikan budaya berjimat dan menyimpan kuat dalam diri anda. Perasaan puas dalam hati anda akan menjadikan anda ingin terus menderma dan berzakat. Itulah nikmat memberikan zakat.

Begitulah rakan remaja semua. Abang Abu yakin dengan mengamalkan aktiviti-aktiviti yang telah dibincangkan tadi pasti akan menjadikan rakan remaja semua subur dengan budaya berjimat, malahan melahirkan generasi baru yang berjaya. Amin.

membudayakan-sikap-berjimat-4

Abang Abu
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


abang Abu

(Penganalisis Kewangan &
Personaliti Radio)

Artikel berkaitan: « MEMBUDAYAKAN AMALAN BERJIMAT
Kembali ke atas