Menu

 

A+ A A-

ANGGAPLAH HARI INI HARI TERAKHIRMU

Berapa lama lagi kita akan hidup? Sepuluh, dua puluh atau sekadar lima tahun lagi? Saya yakin tidak ada orang yang mampu menjawabnya. Jika mendengar khabar ada sahabat, kenalan atau saudara kita mati kerana kemalangan atau serangan jantung, apakah perasaan kita? Cuba bayangkan, apakah si mati pernah membayangkan bahawa dia akan mati pada saat kematiannya itu? Agaknya, apakah yang ada di dalam hati dan perasaannya beberapa bulan, minggu, hari atau beberapa jam sebelum ajalnya tiba?

Saya yakin tentu sekali masih banyak ‘list to do’ tetapi tidak kesampaian. Mungkin antaranya adalah kata-kata cinta yang belum diluahkan kepada isteri atau suaminya, boleh jadi keinginan minta maaf kepada kedua ibu bapanya, atau mungkin juga kesudiannya memberi maaf atau meminta maaf kepada insan tersayang.

Sekiranya, manusia tahu saat kematiannya... apakah semua perkara yang penting itu tidak diberi keutamaan? Jawabnya, tidak! Jadi, bagi kita yang ‘bakal mati’ dan juga tidak tahu bilakah saat kematian itu, hakikat itu sewajarnya mengajar kita agar tidak bertangguh. Jangan sekali-kali menangguhkan ucapan-ucapan yang baik, perbuatan-perbuatan yang benar dan keputusan-keputusan yang tepat, sementara masa masih ada, usia masih bersisa. Jadilah ‘si mati’ yang telah beres segala kerjanya.

Bagaimana hendak dicapai rasa hati yang begitu?

Caranya: Ingatkan diri kita sendiri bahawa hari ini mungkin hari terakhir kita hidup di dunia. Apabila bangun dari tidur, katakan kepada diri: “Wahai diri, hari ini mungkin hari terakhir aku hidup di dunia. Oleh itu, aku tidak akan menangguhkan ucapan kasih-sayangku kepada semua yang akrab denganku. Aku tidak akan menangguhkan amal kebaikan yang telah lama aku berazam untuk melakukannya. Aku tidak akan menunggu lagi untuk meminta maaf dan memberi maaf kepada semua yang aku bersalah dengannya atau dia yang bersalah denganku.”

Alangkah leganya jika kita meninggalkan dunia yang fana ini tanpa beban kerja yang belum dilangsaikan. Ketika itu tentulah orang yang kita tinggalkan akan merelakan pemergian kita tanpa rasa terkilan di hati. Isteri atau suami yang ditinggalkan akan merasa sedih namun mampu menghadapinya dengan sabar kerana tidak ada lagi rasa terkilan yang tersimpan. Segalanya sudah tuntas dan selesai. Ibu bapa akan terasa kehilangan, namun jauh di sudut hati mereka ada rasa lega kerana kita pergi tanpa label anak derhaka.

Ingat, mati itu sangat penting untuk menjalani kehidupan. Ia adalah janakuasa yang menggerakkan amal bakti untuk bekalan hidup sesudah mati. Hati yang ingat mati adalah hati yang hidup. Ia akan menggerakkan seluruh pancaindera dan anggota untuk melakukan ketaatan dengan segera. Ia umpama ‘date line’ yang menjadi peringatan untuk menyiapkan tugasan… malah lebih daripada itu. Hakikat mati itu datang secara tiba-tiba adalah satu gesaan, dorongan malah ‘paksaan’ untuk kita melakukan ketaatan. Justeru, Rasulullah s.a.w sering mengingatkan, ‘solatlah seperti mana solat itu yang terakhir.”

Cuba kenangkan, jika benarlah solat yang kita akan dirikan nanti adalah solat yang terakhir… tentulah kita akan bersegera, bersungguh-sungguh dan melakukannya dengan penuh rasa takut, harap, malu, cinta dan hina kepada Allah. Mana mungkin kita menangguh-nangguhkan solat atau melaksanakannya sambil lewa jika kita merasakan itu solat kita yang terakhir. Mungkin seorang pesalah yang akan dihukum gantung sampai mati sahaja boleh menceritakan bagaimana rasa hatinya ketika mengerjakan solat yang terakhir!

Betapa terkilannya rasa hati kita apabila kita tinggalkan isteri dalam keadaan marah-marah dan kemudian ternyata itulah kali terakhir kita melihat wajah dan mendengar kata-katanya. Oh, pasti ada rasa kesal yang amat sangat. Mengapa bentakan, wajah yang masam dan tolakan yang kasar kita ‘hadiahkan’ sempena pertemuan terakhir itu? Ya, kita tidak mungkin pulang lagi kerana kita telah pergi tak kembali lagi.

Ramai yang benci untuk mengingatkan bahawa mungkin hari ini hari terakhir kita. Nafsu yang inginkan keseronokan sentiasa berbisik saat itu masih jauh. Ditusuknya jiwa kita dengan pelbagai alasan dan justifikasi palsu – “Engkau masih muda. Masih sihat. Masih kuat. Saat matimu masih lama lagi!” Mati itu akan memadamkan rasa lazat pada maksiat. Mana mungkin syaitan tega membiarkannya? Lalu syaitan dan nafsu berpadu tenaga melupakan manusia saat ia pulang menemui Penciptanya.

Jika ada penasihat yang kata-katanya sangat berkesan untuk mengingatkan orang yang masih hidup adalah orang yang telah mati. Malangnya, mereka tidak pernah kembali untuk mengingatkan kita. Apa yang telah dilihat, didengar dan dirasakan oleh mereka di alam Barzakh sana? Apakah kekesalan atau kelegaan mereka? Aduh, kita tidak akan mengetahuinya kerana kita akan diberi peluang untuk itu hanya apabila kita sendiri sudah sampai di sana!

Namun bagi orang yang beriman, tidak perlu jasad sampai ke alam Barzakh untuk mengetahui dan ‘merasai’ kebenarannya. Cukup ayat-ayat al-Quran, Hadis dan ‘Atsar’ yang menjelaskan hakikat hidup setelah mati. inilah di sebalik pesanan Rasulullah s.a.w: “Jika kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis.”

Kita tidak mungkin mendapat nasihat daripada si mati, tetapi kita dituntut untuk mendapat nasihat daripada kematian. Justeru Rasulullah s.a.w. berpesan lagi:

“Cukuplah bagimu mati itu sebagai penasihat.”

Semoga hari-hari tidak berlalu tanpa kita tidak mengingati mati. Kematian itu pasti dan setiap yang pasti itu dekat. Lalu apa lagi yang ditunggu? Ucaplah, buatlah dan bertindaklah atas segala kebaikan dan kebajikan yang masih kita tangguhkan. Jangan meninggalkan sebarang ‘hutang’ dengan manusia untuk menghadap Tuhan yang Esa!

 

Oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu 6

 


 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas