Menu

 

A+ A A-

SEDIAKANLAH AMALAN YANG BAIK UNTUK DIRIMU

Alhamdulillah kita dapat meniti kehidupan di dunia ini berbekalkan segala nikmat kurniaan Allah. Segala keindahan yang terbentang dan kemewahan yang melimpah menghiasi perjalanan hidup sebagai hamba Allah.

Dunia ini sememangnya dilihat indah dan menyeronokkan. Sedangkan insan yang gerunkan Allah hanya merasa dan menikmati dunia ini seadanya. Mereka yakin bahawa kebahagiaan yang abadi bukannya di dunia, namun diakhirat. Oleh sebab itu, insan beriman harus sentiasa dipandu hidupnya agar tidak melupakan nasib mereka di akhirat.

Allah terlalu sayangkan hambaNya. Kita sentiasa diajar agar menjalani hidup yang sementara ini dalam keadaan yang untung dan menolak kerugian. Ini kerana orang yang untung bererti bahagia, sebaliknya mereka yang rugi mendapat derita.

Allah inginkan kita hidup sebagai hamba yang meraih keuntungan. Umpama seorang peniaga, mereka harus berusaha keras, menghadapi jatuh bangun dengan tabah, bangkit semula walau dihimpit ujian, seterusnya berdiri gagah setelah berlalunya episod kepayahan.

1SAYBUDBegitulah kita terpaksa melalui kehidupan dengan matlamat keuntungan agar jiwa kita sentiasa kental walau apa jua halangan mendatang. Apakah keuntungan yang ingin kita raih agar nanti bergembira di akhirat? Amalan yang baik ialah keuntungan yang akan menggembirakan kita di sana. Namun ia bukan jalan yang mudah tanpa halangan dan ujian.

Sebab itulah kita sentiasa di ajak agar takutkan Allah dan meyakini bahawa akan ada pertemuan dengan-Nya pada hari kiamat. Pertemuan yang entah bila kunjung tibanya ini menjadikan kita sentiasa berusaha mempersiapkan diri dan tidak sekali-kali lalai.

Masakan kita boleh lalai kerana masa yang berputar tidak dapat ditelah akan berhenti detiknya. Inilah hikmah kiamat menjadi rahsia Allah agar kita sentiasa waspada dan tidak berani untuk leka.

Noorjehan Baharudin 

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Noorjehan binti Baharudin

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Universiti al-Azhar. Mempunyai pengalaman dalam bidang kepimpinan dan perguruan. Pernah terlibat dalam penulisan majalah. Kini berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Agama Nurul Iman di Selangor.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

Kembali ke atas