Menu

 

A+ A A-

MENITI SEJARAH PUASA

SAYA tertanya-tanya adakah cara berpuasa umat terdahulu sama dengan cara kita berpuasa?

Secara umumnya kita ketahui bahawa umat terdahulu juga ada amalan berpuasa sebagaimana kita. Ini sebagaimana yang disebut dalam firman Allah Taala yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan mengerjakan puasa itu) kamu bertakwa.”(Surah al-Baqarah 2: 183)

Walau bagaimanapun tidak ada nas yang menerangkan secara tepat dan jelas cara puasa mereka. Namun ada beberapa nas yang merakamkan hal berpuasa mereka.

Puasa Umat Terdahulu

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebut bahawa puasa orang terdahulu ialah sebanyak tiga hari sebulan sehinggalah dimansuhkan pada zaman Nabi Nuh a.s. Selepas itu diganti pula dengan puasa pada bulan Ramadan. Manakala al-Qurtubi dalam tafsirnya ada membawa satu riwayat daripada al-Sya‘bi dan Qatadah dan lain-lain berkata: “Sesungguhnya puasa pada bulan Ramadan difardukan pada zaman Musa dan Isa a.s. Kemudiannya para paderi mereka menambah 10 hari lagi. Selepas itu ada paderi mereka yang jatuh sakit. Dia pun bernazar andai disembuhkan, dia akan menambah puasa sebanyak 10 hari lagi. Akhirnya menetapkan hari berpuasa sebanyak 50 hari. Kemudiannya apabila dirasakan sukar berpuasa pada musim panas, mereka menukarnya pula pada musim bunga.”

Puasa Para Nabi Terdahulu

Kitab Perjanjian lama (Old Testament) ada menceritakanbahawa Nabi Musa a.s. berada disisi Tuhannya berpuasa 40 hari 40 malam dengan tidak memakan roti atau meminum air. Kitab Injil versi Matthew pula menyatakan bahawa Nabi Isa a.s. berpuasa selama 40 hari di daratan. Diceritakan bahawa Nabi Haqiyal berpuasa daripada memakan daging dan apa yang dihasilkan daripadanya. Nabi Daniel juga berpuasa daripada memakan daging dan makanan yang enak selama tiga minggu.

Berpuasa Sempena Maulidur Rasul

Bolehkah berpuasa sunat pada 12 Rabiulawal sempena kelahiran Nabi s.a.w.?

MUKADIMAH:Rasulullah telah menetapkan hari-hari tertentu yang diharamkan berpuasa, hari yang dimakruhkan dan hari yang disunatkan berpuasa. Antara hari yang diharamkan puasa ialah dua hari raya dan hari-hari tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah). Hari-hari yang dimakruhkan pula seperti berpuasa pada hari Jumaat sahaja atau hari Sabtu sahaja. Manakala hari-hari yang disunatkan berpuasa begitu banyak sekali antaranya pada hari Arafah dan Asyura, pada setiap hari Isnin dan Khamis serta pada setiap “hari putih” iaitu hari ke-13, 14 dan 15 setiap bulan hijrah.

RINGKASNYA:Tidak sunat berpuasa pada 12 Rabiulawal.

HURAIAN:Tidak ada ibadah khusus pada 12 Rabiulawal. Prinsip beribadah itu mestilah berdasarkan nas al-Quran dan sunnah. Cinta kepada Nabi s.a.w. itu diukur dengan kadar kesungguhan dan usaha kita melaksanakan sunnah Baginda. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpaling daripada sunnahku maka dia bukan daripadaku.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Juga ada riwayat daripada Abu Ya‘la dengan sanad yang hasan: “Sesiapa yang mencintaiku maka ikutlah sunnahku.” Tambahan pula, ulama sebenarnya berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Ada ulama yang mengatakan bahawa Nabi s.a.w. dilahirkan pada 9 Rabiulawal dan ada yang mengatakan pada tarikh yang lain.

ALTERNATIF:Zahirkanlah kecintaan kepada Baginda dengan berpuasa setiap Isnin dan Khamis. Rasulullah sendiri melazimkan puasa pada dua hari tersebut atas sebab berikut:

1 Amalan akan dibentangkan pada hari Isnin dan juga Khamis. Baginda suka andai amalannya dibentangkan Baginda berpuasa dalam keadaan berpuasa. (Riwayat al-Tirmizi)

2Hari Isnin ialah hari Baginda dilahirkan dan juga dibangkitkan. (Riwayat Muslim) Jelasnya, Baginda sendiri berpuasa kerana mengenangkan nikmat kelahiran dan risalah kenabiannya. Maka sesiapa yang ingin mensyukuri nikmat kelahiran Nabi s.a.w., bolehlah berpuasa pada setiap hari Isnin.

Rujukan:

1. Fatawa al-Syabakah, Syeikh Husamuddin ‘Affanah.

2. Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa waal-Ahkam, Syeikh ‘Atiyyah Saqr.

3. Dar al-Ifta al-Misriyyah .

4. Mughni al-Muhtaj: Syeikh al-Khatib al-Syirbini.

 

Mohammad Nor Mohammad Endut

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz Isu No.5


Ustaz Mohamad Nor Mohamad Endot

Lulusan BA (hons) Syariah Islamiah di Universiti al-Azhar, Mesir dan MA. (Dirasat Islamiah) di Univ. Terbuka Amerika. Kini sedang menyambung pelajaran di UIAM. Antara guru beliau Syeikh al-Qaradawi, Syeikh Atiyyah Saqr, Syeikh al-Sya’rawi, Syeikh Ismail A’dawi,Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir). Kini beliau bertugas sebagai Editor Syariah untuk Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

Terkini daripada Ustaz Mohamad Nor Mohamad Endot

Kembali ke atas