Menu

 

A+ A A-

MEMAHAMI HAKIKAT ANAK BERMASALAH

ANAK-ANAK ialah cahaya mata, buah hati dan pengarang jantung ibu bapa. Kepada anak-anaklah ibu bapa meletakkan harapan dan pergantungan yang sangat tinggi terhadap pencapaian anak-anak mereka.

Kepada anak-anakinilah diletakkan harapan untukmewarisi kehidupan mereka hari ini. Kepada anak-anakini juga diharapkan menjadi sumber mengalirnya pahalaketika berada di alam barzakh. Ketika itu, anak-anaksedang bergelanggang membina kehidupan masing-masingdi atas muka bumi ini.

Sebab itu menjadi idaman ibu bapa untuk melahirkan anak-anak yang ideal, terbaik dan cemerlang dalam segenap segi. Namun hakikatnya, ibu bapa berhadapan dengan pelbagai ragam anak-anak. Inilah anak-anak yang bermasalah.

Ibu Bapa Muda dan Ibu Bapa Veteran

Menangani anak yang bermasalah memerlukan kemahiran dan pengalaman. Ibu bapa yang tergolong dalam generasi muda tentunya kurang dalam pengalaman. Mereka tidak boleh menghukum dan menyelesaikan masalah anak mengikut fikiran mereka sendiri. Lebih-lebih lagi jika mereka kurang terdidik dengan ilmu agama.

anak masalah

Ibu bapa veteran pula mungkin ada sedikit pengalaman. Tetapi tidak memadai untuk menangani masalah anak-anak mengikut pengalaman semata-mata, kerana anak-anak akan menjadi guinea pig, mangsa percubaan manusia (human experiment). Tentunya kita tidak mahu anak kita menjadi mangsa atas kesilapan dalam membuktikan teori ataupun hipotesis ibu bapa. Yang jelas, anak ialah manusia, bukan haiwan, benda atau barangan.

Pelajari Kemahiran Memahami Anak Bermasalah

Jadi, jalan penyelesaiannya ialah ibu bapa mesti mempelajari kemahiran menangani anak bermasalah. Perkara paling asas dalam kemahiran ini ialah memahami hakikat masalah anak-anak. Siapa antara kita yang tidak menghadapi masalah dalam hidup? Semua orang berdepan dengan masalah, kesusahan, halangan dan cabaran. Manusia memang dicipta untuk berdepan dengan semua itu. Allah berfirman yang maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya).” (Surah al-Balad 90: 4)

Sudahlah kita sendiri pun menghadapi masalah, kita terpaksa berdepan pula dengan anak bermasalah. Ini satu situasi yang tidak dapat tidak, akan ditempuhi oleh ibu bapa dalam menjalani kehidupan berkeluarga. Kalau kita tidak berdepan dengan masalah melibatkan anak-anak pun, kita pasti tidak akan terlepas daripada masalah-masalah lain dalam hidup. Jadi, biasa-biasakanlah dengan masalah.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, ‘Kami beriman,’ sedang mereka tidak diuji?” (Surah al-Ankabut: 29: 2)

Usah Gentar dengan Masalah

Tidak perlulah kita takut akan masalah yang melibatkan anak kita, kerana sesuatu masalah itu ada puncanya dan ada jalan penyelesaiannya yang tersendiri. Tanggungjawab kita ialah berperanan sebagai pembantu kepada anak-anak kita. Kalau bukan kita yang hendak membantu mereka, siapa lagi yang akan berbuat demikian?

Ibu bapa yang cemerlang pun mungkin mempunyai anak yang bermasalah, sebagaimana Nabi Nuh a.s. misalnya, mempunyai anak yang derhaka kepada Allah. Persoalannya, adakah kita telah mendidik anak kita dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Nuh a.s.?

Selain itu, masalah adalah untuk dihadapi dan ditangani. Di situlah nilai diri kita di sisi Allah iaitu sejauh mana kita menghadapi dan bertindak menangani masalah yang didatangkan sebagai ujian daripada-Nya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya harta benda dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah al-Taghabun 64: 15)

Kita tidak mahu masalah yang membelenggu anak kita boleh menyebabkannya jauh daripada Allah dan memilih jalan penyelesaian yang salah, tidak diredai dan terpesong daripada kebenaran. Sebagai ibu bapa, kita tentulah tidak mahu walau seorang pun ahli keluarga kita terjerumus ke neraka. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Selamatkanlah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka.” (Surah al-Tahrim 66: 6) ¤

 

 

Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5


 

Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah

Pakar motivasi yang tidak asing lagi, sering muncul di tv dan radio ini adalah anak kelahiran Sg. Pinang, Klang. Mendapat Ijazah Pertama di Universiti Malaya dalam bidang Agricultural Sciences, kemudian menyambung pengajian Sarjana dan Ph.D. di Wisconsin, USA dalam bidang Organizational Communication. Berpengalaman mengendalikan lebih 6,000 kursus dalam bidang motivasi. Kini beliau adalah Pengarah Urusan Excel Training & Consultancy Sdn. Bhd. dan Ketua Pengarah ETC Communications Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  


 

Kembali ke atas