Menu

 

A+ A A-

MEMBENTUK SIKAP POSITIF ANAK

RAMAI ibu bapa yang tidak sedar bahawa mereka boleh membentuk sikap positif anak-anak dari dalam rumah. Idea ini cukup mudah. Tetapi mungkin ramai yang terlepas pandang kepentingan dan keberkesanannya. Seorang anak A, dibesarkan dalam suasana kampung. A sekeluarga menternak ayam dan itik di kawasan rumah mereka. Mereka juga menanam pelbagai tumbuh-tumbuhan seperti sayur-sayuran serta bunga-bungaan.

Di dalam rumah pula mereka membela beberapa ekor kucing. Semua ini menjadikan mereka adik-beradik sebagai manusia yang penyayang dan prihatin terhadap makhluk Allah yang lain. Lain pula ceritanya dengan anak B, yang dibesarkan di bandar. B memang takut dengan labah-labah atau mana-mana serangga kecil dan selalu bertindak menghalau atau menghapuskan sahaja binatang-binatang kecil itu. Bukanlah penulis bermaksud membandingkan antara A dengan B. Itu bukanlah persoalan utama yang ingin dibincangkan di sini.

Di rumah, tidak kira di bandar mahupun di kampung, seelok-eloknya ada haiwan ternakan, pohon-pohon hijau ataupun pokok hiasan. Berikan tugasan dan tanggungjawab yang mudah kepada anak-anak, dan yang bersesuaian dengan umur mereka, seperti menyiram pokok setiap petang. Anak yang di bawah umur 7 tahun misalnya, boleh dilatih memberi makan ikan dalam akuarium setiap pagi.

Anak-anak yang sudah besar sedikit (dalam lingkungan umur 10 tahun), boleh diberi tanggungjawab menjaga sepohon pokok setiap seorang. emak dan ayah menggemburkan tanah dan menanam pokok di dalam pasu, anak-anak diamanahkan menyiram pokok dan menjaganya sehingga besar.

Kalau suasana rumah di kampung lebih baik lagi, yakni mereka boleh dilatih menanam dan menjaga pokok-pokok sayuran misalnya, yang mana pada akhir nanti boleh dinikmati hasilnya bersama. Aktiviti ini antara lain akan menghasilkan nilai-nilai positif dalam diri anak-anak yang dipupuk dalam usia mereka masih kecil.

Mungkin ramai ibu bapa yang mempunyai masalah untuk melaksanakan idea ini. Tidak dinafikan, urbanisasi mengehadkan ruang yang ada. Tambahan pula keluarga yang tinggal di rumah flat atau di rumah yang kecil di mana ruang agak terhad, lebih-lebih lagi dengan adik-beradik yang ramai.

Namun, bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Suasana positif boleh dibentuk dengan mewujudkan sudut mini untuk kegiatan dan aktiviti anak-anak, di samping menjadikan perpustakaan mini di rumah. Terpulang kepada ibu bapa menggunakan kekreatifan masing-masing bagi membentuk suasana positif di rumah. Perlu diingat, dengan mencipta suasana sedemikian, bukan bermaksud mengongkong anak-anak. Cuma memberi alternatif untuk aktiviti di dalam rumah (indoor) yang boleh mereka wujudkan.

membentuk sikap positif1

Pada masa yang sama benarkanlah mereka meneroka dunia yang berbeza dan lebih mencabar berbanding dunia kita dahulu. Tetapi perlu disusuli dengan kawalan dan garis panduan yang berhikmah. Jangan terlalu memberi kebebasan atau terlalu mengongkong. Bersederhanalah dan gunakan kebijaksanaan.¤

 

Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.4



Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah

Pakar motivasi yang tidak asing lagi, sering muncul di tv dan radio ini adalah anak kelahiran Sg. Pinang, Klang. Mendapat Ijazah Pertama di Universiti Malaya dalam bidang Agricultural Sciences, kemudian menyambung pengajian Sarjana dan Ph.D. di Wisconsin, USA dalam bidang Organizational Communication. Berpengalaman mengendalikan lebih 6,000 kursus dalam bidang motivasi. Kini beliau adalah Pengarah Urusan Excel Training & Consultancy Sdn. Bhd. dan Ketua Pengarah ETC Communications Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  


 

Kembali ke atas