Menu

 

A+ A A-

CEMERLANG ATAU GAGAL ADALAH PILIHAN ANDA

SEMUA orang impikan saat-saat kejayaan dan kecemerlangan. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, 95% dari pelajar-pelajar di Malaysia mengaku bahawa mereka tidak cemerlang. Rata-rata mereka menyatakan bahawa mereka adalah pelajar yang sederhana. Prestasi dan pencapaian anda pada masa akan datang ditentukan oleh tindakan anda pada hari ini, bukan dipengaruhi oleh kejayaan atau kegagalan anda pada masa lampau.

Yang lalu sudah berlalu. Yang penting anda memberi penumpuan kepada hari muka. Walau apa pun pencapaian atau kegagalan anda masa lampau, anda masih boleh membaikinya untuk mengubah sejarah hidup anda pada masa akan datang dengan syarat anda mesti bersungguh-sungguh mulai dari sekarang.

Untuk menjadi Pelajar Cemerlang, kita perlu menukar pandangan, fikiran dan ideologi kita. Kita perlu yakin bahawa Allah telah menciptakan kita dalam sebaik-baik keadaan seperti mana firman-Nya, maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Tiin: 4)

Maksudnya Allah telah menjadikan manusia siap sedia untuk menjadi cemerlang, cuma kita tidak berupaya untuk menyerlahkan kecemerlangan kita. Kecemerlangan akan tercipta apabila manusia biasa seperti anda yang datang dari keluarga biasa, dengan kecerdasan biasa dan yang berada di mana-mana sahaja di atas muka bumi ini berusaha secara luar biasa.

cerdik3

Strategi dan Teknik Sebagai Alat Berkesan Capai Kecemerlangan

Untuk mencapai kecemerlangan, kita mesti mempraktikkan kaedah, strategi dan teknik pembelajaran tertentu sehingga sebati dengan jiwa dan menjadi watak kita.

Memiliki Motivasi yang Tinggi

Untuk mencapai kecemerlangan, kita hendaklah gambarkan kecemerlangan itu terlebih dahulu di dalam minda. Kita tidakakan mencapai apa yang tidak pernah kita gambarkan di dalam minda kita. Kawal tindakan dan rangsangan kendiri (self-motivation) agar membentuk dorongan yang tinggi.

Memfokuskan Fikiran

Setiap pelajar hendaklah sentiasa memfokuskan fikiran kepada tugas seharian dan matlamat pembelajaran yang hendak dicapai. Fikiran tidak boleh bercabang-cabang dengan aktiviti dan masalah lain selain pembelajaran. Penumpuan khas perlu diambil berat ketika menelaah pelajaran untuk menghasilkan pencapaian yang berkesan.

Menghadapi kesusahan dengan Tabah

Kesusahan yang dialami kerana susah payah berusaha untuk berjaya hanya sekejap sahaja. Apabila hasilnya terserlah, kita akan senang seumur hidup. Kejayaan tak mungkin dating menggolek dengan mudah.

Dalam berhadapan dengan kesusahan, paksa diri anda, bukan manjakan diri. Orang yang memanjakan diri akan bertindak mengikut emosi dan perasaan semata-mata. Semua kerja yang susah akan ditinggalkan dan rela membuat kerja yang ringan yang bercorak hiburan sahaja.

Adat alam menyatakan semua perkara memang susah pada mulanya sebelum menjadi senang. Berjalan pada awalnya susah bagi seorang anak kecil. Tetapi apabila telah dicuba berulang kali, jatuh dan bangun lagi, ia akhirnya menjadi mudah. Pejam mata pun anak itu boleh berjalan tanpa jatuh lagi.

Keajaiban yang dilakukan oleh pemain silap mata atau pemain sarkas nampak mustahil untuk dilakukan oleh orang biasa. Ada orang yang mengambil jalan mudah dengan menyatakan permainan atau perbuatan itu sihir!

Kamu boleh agak berapa kali pemain sarkas itu berlatih hingga tidak lagi melakukan kesilapan walaupun sekali kesilapan kecil!

cerdik4

Merangsang Minda

• Tulis dalam diari atau buku catatan perkara yang positif dan yang baik setiap hari

• Berkawan dengan orang yang bersikap positif sahaja

• Sentiasa merangsang orang lain untuk menjadi hebat

• Membaca buku motivasi

• Mengambil perhatian dan mencatat kata-kata motivasi, kata-kata hikmah, poster motivasi dan sebagainya

• Sentiasa berdoa. ¤

 

Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana


 

 

Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah

Pakar motivasi yang tidak asing lagi, sering muncul di tv dan radio ini adalah anak kelahiran Sg. Pinang, Klang. Mendapat Ijazah Pertama di Universiti Malaya dalam bidang Agricultural Sciences, kemudian menyambung pengajian Sarjana dan Ph.D. di Wisconsin, USA dalam bidang Organizational Communication. Berpengalaman mengendalikan lebih 6,000 kursus dalam bidang motivasi. Kini beliau adalah Pengarah Urusan Excel Training & Consultancy Sdn. Bhd. dan Ketua Pengarah ETC Communications Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  


 

Related items

Kembali ke atas