Menu

 

A+ A A-

30 KESILAPAN MENDIDIK ANAK-ANAK SIRI 1

Kita mempunyai lima jari. Sering kali apabila kita menuding jari menyalahkan orang lain, kita akan menuding dengan jari telunjuk. Namun sering kali kita tak sedar bahawa tiga atau empat jari selain jari telunjuk menuju kepada kita.

Isyarat ini menunjukkan bahawa kadang kala sesuatu masalah yang timbul adalah disebabkan oleh kesilapan kita sama ada dalam berfikir, bertindak dan membuat keputusan. 

Begitulah juga halnya dalam mendidik anak-anak. Andai anak-anak menjadi anak yang bermasalah mungkin disebabkan oleh kesilapan ibu bapa sendiri dalam mendidik. 

Di sini disenaraikan beberapa kesilapan yang lazimnya dilakukan oleh ibu bapa, dan selalunya kita terlepas pandang: 

1. Kurang Berdoa

Boleh dikatakan kita kurang berdoa dalam proses mendidik anak. Kalau berdoa pun tidak kerap. Kalau kerap pun tidak bersungguh-sungguh.

Dan kalau bersungguh-sungguh pun, tidak memfokuskan doa kepada setiap orang anak, sebaliknya hanya doa secara umum untuk kesemua anak-anak.

2. Memperkecilkan kebolehan anak 

Tanpa disedari ada ibu bapa yang memperkecilkan kebolehan anak dan kurang memberi perhatian kepada pandangannya . Dengan kata lain, ada ibu bapa yang tidak mengiktiraf kebolehan anak-anak malahan menyekat bakat dan kebolehan tersebut daripada berkembang.

3. Kurang tegas 

Misalnya: Tidak bertegas dalam soal waktu tidur, waktu mandi, waktu solat, belajar dan riadhah. Anak-anak dibiarkan mengatur hidupnya sendiri tanpa didisiplinkan. Tidak diajak dan dilatih bersolat sejak kecil. Bila anak buat salah, tidak ditegur atau dihukum dengan sewajarnya serta tidak konsisten dalam memberi teguran atau hukuman.

Ibu bapa juga tidak menggantung rotan di tempat yang boleh dilihat oleh ahli keluarga untuk menunjukkan sikap tegas dalam menerapkan disiplin dan peraturan di dalam rumah tangga. 

4. Belaian negatif 

Ibu bapa lazimnya lebih banyak memberi belaian negatif dari belaian positif. Sepatutnya ibu bapa sentiasa mencari perkara positif yang anak buat dan terus beri pujian atau galakan. Sekali-sekala saja perlu ditegur kesilapannya. Itu pun bukan secara negatif seperti mencemuh, memukul dan mengkritik. 

Dan bila menghukum tidak perlu terlalu keras kerana konsep hukuman dalam mendidik anak bukan bertujuan menghukum sebaliknya ta’dib (mendidik) 

5. Jadi kawan kepada anak

Kurang pandai menjadi kawan kepada anak-anak dan kurang memberi sentuhan kepada semua anak. Interaksi dan komunikasi dengan anak-anak menjadi kurang berkesan. Ibu bapa tidak cuba menyelami perasaan anak dan tidak menaruh minat pada aktiviti anak.

6. Tidak melahirkan kasih sayang

Tidak melahirkan kasih sayang secara jelas dan adil kepada setiap anak. Anak menjadi tidak yakin bahawa mereka disayangi oleh kedua ibu bapanya dan mudah menjadi liar.

7. Sahsiah tidak elok

Ibu bapa teladan dan mentor yang paling dekat dengan anak-anak. Oleh itu, apa-apa sahaja perbuatan sama ada baik atau buruk mudah ditiru oleh anak-anak. Sahsiah yang tidak eloklah yang paling mudah ditiru berbanding sahsiah yang baik.

8. Kurang pendedahan

Kurang mendedahkan anak-anak kepada model-model yang cemerlang seperti ulama, cendekiawan, ahli fikir, negarawan dan pendekar sama ada semasa atau model silam yang diperoleh dari kisah-kisah sejarah.

9. Kurang menghidupkan sunah dalam rumah tangga

Misalnya tidak membudayakan amalan solat berjemaah, membaca doa, menggunakan tangan kanan dan sebagainya yang boleh mengundang keberkatan. Mengenai amalan membaca Basmalah, Rasulallah s.a.w. bersabda: “Tiap-tiap urusan penting dan berharga menjadi terputus berkatnya jika tidak dimulai dengan ucapan Bismillahir rahmanir rahim.” (Riwayat al-Rahawaih)

10. Kurang menggalakkan Musyawarah

Dalam membuat keputusan, anak-anak tidak turut serta atau diminta pandangannya dalam pengaturan rumah tangga hingga mereka tidak berasa mustahaknya kehadiran mereka, sebaliknya selalu berasa terpaksa ikut sahaja apa yang diputuskan oleh ibu bapa.

11. Perselisihan ibu bapa di hadapan anak-anak 

Situasi ini membuatkan anak-anak gelisah dan tidak tenteram berada bersama-sama keluarga. Ibu bapa yang kurang professional akan bergaduh di hadapan anak-anak tanpa memikirkan kesan negatif hasil pertengkaran tersebut.

12. Kurang membiasakan anak membuat kerja-kerja di rumah

Anak tidak merasa ada peranan dalam mengatur dan menyelesaikan kerja-kerja di rumah menyebabkan mereka bersikap lepas tangan, tiada rasa tanggungjawab dan tidak pandai berdikari.

gfd

13. Kurang pengawasan

Ada ibu bapa yang terlalu memberikan kebebasan tanpa batasan kepada anak-anak hinggakan tiada langsung pengawasan. Pengawasan adalah perlu terutamanya dengan siapa mereka harus berkawan, rancangan televisyen apa yang patut ditonton mereka, di mana mereka harus bermain dan sebagainya.

14. Kurang sabar

Ramai ibu bapa yang kurang bersabar dalam mendidik anak-anak terutamanya apabila anak-anak menimbulkan masalah atau ketika ibu bapa dalam keadaan tertekan. Untuk bersabar sepanjang masa adalah susah tetapi tidak mustahil. Namun ada ganjaran di sebalik kesabaran sebagaimana janji Allah s.w.t.,

“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Surah al-Zumar 39: 10)

15. Kurang Meraikan anak-anak

Kadang kala anak-anak yatim lebih diraikan oleh masyarakat dengan pelbagai aktiviti berbanding anak-anak di rumah. Anak-anak dibiarkan keluar dari rumah dan pulang tanpa ada ibu bapa di rumah yang boleh meraikan mereka. Mereka tiada peluang mengucup tangan ibu sebelum keluar rumah atau tiada peluang menceritakan apa yang mereka lakukan di luar.

Ikuti sambungannya, 15 lagi huraian mengenai kesilapan-kesilapan para ibu bapa dalam mendidik anak-anak, dalam keluaran seterusnya, insya-Allah.

 

 Dato’ Dr Mohd. Fadzilah Kamsah

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8

 


 

Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah

Pakar motivasi yang tidak asing lagi, sering muncul di tv dan radio ini adalah anak kelahiran Sg. Pinang, Klang. Mendapat Ijazah Pertama di Universiti Malaya dalam bidang Agricultural Sciences, kemudian menyambung pengajian Sarjana dan Ph.D. di Wisconsin, USA dalam bidang Organizational Communication. Berpengalaman mengendalikan lebih 6,000 kursus dalam bidang motivasi. Kini beliau adalah Pengarah Urusan Excel Training & Consultancy Sdn. Bhd. dan Ketua Pengarah ETC Communications Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  


 

Kembali ke atas