Menu

 

A+ A A-

IBU PENDIDIK AQIDAH ANAK

SOALAN : Sebagai seorang ibu, bagaimana saya patut berperanan dalam menanam aqidah yang sahih dalam jiwa anak-anak?

JAWAPAN :

Secara umumnya, berikut adalah antara perkara-perkara asas dalam pembinaan aqidah yang sahih kepada anak-anak:

1. Menanamkan kalimah tauhid kepada anak-anak, mendidik mereka supaya memahami dan menghayati kalimah tauhid.
2. Berusaha mencintai Allah s.w.t. dan merasa diawasi oleh-Nya, memohon pertolongan kepada Allah serta beriman kepada qadak dan qadar.
3. Menanamkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. dan keluarga Baginda.
4. Mengajarkan al-Quran kepada anak-anak.
5. Menanamkan akidah yang kuat dan kerelaan berkorban demi aqidah tersebut.

6. Memastikan persekitaran yang soleh untuk tumbesaran anak-anak dan membimbing anak-anak untuk memilih sahabat yang soleh.


Cara Mengajar Tauhid

SOALAN : Bagaimanakah cara untuk mendidik anak-anak supaya memahami dan menghayati kalimah tauhid?

JAWAPAN :

Para ibu bapa harus menekan kan soal aqidah semenjak anak-anak itu kecil dengan cara menjelaskan, menyuruh anak-anak menghafaz ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah yang berkaitan dengan aqidah. Imam al-Ghazali menyatakan: “Ketahuilah, bahawa apa yang telah ku nyatakan dalam menjelaskan aqidah mestilah diajarkan kepada anak-anak pada awal perkembangannya agar mereka boleh menghafalnya sungguh-sungguh, sehingga makna-maknanya kelak akan terungkap sedikit demi sedikit apabila mereka dewasa.”

Imam al-Ghazali merumuskan bahawa dalam proses menanam aqidah pada peringkat awal umur anak-anak, tindakannya hendaklah bermula dengan hafalan, kemudian pemahaman, seterusnya kepercayaan dan diteruskan dengan keyakinan yang mantap. Lanjut beliau: “Cara menanamkan keyakinan ini bukanlah dengan mengajarkan kehebatan berdebat, tetapi caranya adalah dengan menyibukkan diri dengan membaca al-Quran berserta tafsirnya, dan hadis berserta maknanya serta sibuk dengan tugas-tugas ibadah.

“Dengan demikian, kepercayaan dan keyakinan anak-anak akan terus bertambah kukuh seiring dengan kekerapan mereka mendengar dalil-dalil al-Quran dan panduan hadis Rasulullah yang telah dipelajarinya. Ini ditambah lagi dengan cahaya-cahaya ibadah dan amalan-amalan yang dilaksanakannya yang akan semakin memperteguh aqidah mereka.”

Tanam Aqidah Dengan Hafal al-Quran

SOALAN :Menarik sekali apabila ustazah menekankan bahawa kaedah untuk menanamkan aqidah yang sahih pada anak-anak ialah dengan mengajarkan al Quran. Mohon penjelasan lanjut.

JAWAPAN :

Saya bawakan satu kisah yang dirakamkan oleh Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq. Suatu   hari, khalifah Uthman bin Affan menziarahi Abdullah bin Mas‘ud yang menderita sakit tenat. Sayidina Uthman bertanya: “Apa yang kamu risaukan pada saat ini?” Abdullah menjawab: “Dosa-dosaku. Mudah-mudahan Allah ampunkan dosa-dosaku!”

Kemudian Uthman mengarahkan agar dikumpulkan duit untuk anak-anak Abdullah sebagai bantuan apabila Abdullah meninggal dunia. Apabila Abdullah mengetahuinya, beliau berkata: “Jangan risaukan anak-anakku sebab aku sendiri tidak risaukan nasib anak-anakku. Sebagai ayah, aku telah didik dan bimbing mereka supaya membaca surah al-Waqi‘ah setiap malam. Aku yakin kerana Rasulullah pernah bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah al-Waqi‘ah setiap malam maka ia tidak akan ditimpa kefakiran dan kemiskinan buat selama-lamanya.”

Didik Anak Yakin Qadak dan Qadar

SOALAN :Pada saya, satu persoalan aqidah yang agak sukar untuk difahami adalah berkenaan qadak dan qadar. Jadi bagaimana cara mendidik anak-anak berkaitan perkara ini?

JAWAPAN :

Perhatikanlah wasiat Ubadah bin Samit: “Wahai anakku, sesungguhnya kamu tidak akan dapat merasakan kelazatan iman dan tidak akan sampai kepada hakikat pengenalan kepada Allah sehingga engkau beriman kepada qadak dan qadar yang baik mahupun yang buruk.” Walid bin Ubadah berkata: “Wahai ayah, bagaimana saya dapat tahu takdir yang baik dan takdir yang buruk?” Maka Ubadah menjawab: “Engkau mengetahui bahawa apa yang luput daripadamu tidak akan menimpamu dan apa yang menimpamu tidak akan luput daripadamu. Wahai anakku, Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: ‘Sesungguhnya makhluk pertama yang diciptakan oleh Allah ialah qalam (pena). Kemudian Allah mengarahkannya: Tulislah!’

Maka qalam itu pun mencatat segala perkara yang bakal berlaku sehingga hari kiamat.’” Sambung Ubadah: “Wahai anakku, jika kamu mati tidak dalam keadaan beriman kepada qadak dan qadar, maka kematian kamu itu akan menyebabkan kamu masuk neraka!” (Riwayatal-Tirmizi) Ustazah juga ingin kongsikan satu doa yang diajarkan oleh Nabi sendiri iaitu:

ibu

Bermaksud: “Aku reda Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad sebagai nabiku.” Doa ini kita sendiri patut amalkan dan latih anak-anak kita supaya mengamalkannya. Sekurang-kurangnya sekali pada setiap waktu pagi, petang dan ketika azan berkumandang. Jika boleh, bacalah banyak-banyak sampai kita rasa jiwa yang tadinya keluh kesah menjadi semakin tenang dan hati yang tadinya sempit menjadi semakin lapang. Kita baharui keyakinan bahawa apa jua yang berlaku, segalanya daripada Allah. Kita teguhkan keyakinan bahawa Allah sentiasa mengurniakan kebaikan dengan sifat-Nya yang Maha baik dan Maha Mengetahui kepada hamba-hamba-Nya.

 

 

Ustazah Norhafizah Hj. Musa

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08

 


 

Ustazah Norhafizah binti Hj. Musa

Pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia. Kelulusan Sarjana Muda Bahasa Arab Dan Pengajian Islam University Yarmouk Jordan, Sarjana Usuluddin Universiti Malaya. Kini sedang menyambung pengajian peringkat PhD di Universiti Malaya. Aktif dalam bidang dakwah, wanita dan kemasyarakatan. Panel slot Tanyalah Ustazah TV9, Halaqah TV9, al-Hidayah TV3 dan program TV al-Hijrah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas