Menu

 

A+ A A-

DIDIK ANAK CARA KASAR ATAU LEMBUT

Saya seorang bapa yang sangat berdisiplin. Saya ingin anak-anak saya menuruti semua aturan yang telah saya tetapkan di rumah. Maka kadang kala saya mengambil cara mendidik anak yang keras dengan menghukum atau memukul mereka. Adakah tindakan saya itu tepat?

Jawapan:

Sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak dengan keras secara membuta tuli, maka ia akan memberi kesan buruk kepada akhlak anak. Jika tidak kena caranya, anak-anak hanya lebih berasa takut dan cemas kepada ibu bapa bukannya hormat.

Bahkan yang lebih dahsyat, ia boleh mengakibatkan si anak berani untuk membunuh kedua ibu bapanya dan meninggalkan rumahnya untuk menyelamatkan dirinya dari kekejaman, kezaliman dan perbuatan yang menyakitkannya.

Maka bukanlah suatu perkara yang aneh sekiranya kita melihat anak itu nanti akan menjadi penyakit kepada masyarakat, menjadi anak yang nakal dan menyimpang dari sikap yang sepatutnya. Dan tidak pelik jika anak itu akan membesar dalam suasana yang tempang. Disiplin itu salah satu akhlak mulia. Sekiranya ibu bapa mahu anak-anak berakhlak mulia, terlebih dahulu mereka perlulah berakhlak yang mulia, bersikap lemah lembut dan kasih sayang. Bertitik tolak dari sini, anak-anak akan membesar secara istiqamah dan terdidik untuk berani dan berdikari. Mereka akan mempunyai harga diri yang tinggi.

Islam Itu Kasar?

Saya mempunyai tanggapan bahawasanya kalau seseorang itu kuat agamanya, dia akan bersikap kasar. Begitulah realitinya yang saya perhatikan terhadap orang surau di kampung saya. Cara mereka mendidik anak masing-masing pun agak tegas. Begitukah ajaran Islam yang sebenar?

Jawapan:

Tentu sahaja tidak. Islam mengajar akhlak mulia, kasih sayang dan kelembutan. Jangan menghukum Islam berdasarkan penganutnya. Penganutnya mungkin ada yang tersasar dari kehendak Islam yang sebenar. Namun hasrat syariat itu kekal termaktub dalam al-Quran dan sunnah.

Firman Allah mafhumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil, berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat.” (Surah al-Nahl: 90)

“Dan orang yang menahan marahnya dan memaafkan orang lain. Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali ‘Imran: 134)“Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Surah Ali ‘Imran: 159)

Rasulullah s.a.w. turut bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyukai berlemah lembut dalam seluruh perkara.” (Riwayat al-Bukhari)

“Orang yang mengasihi itu akan dikasihi oleh Yang Maha Pengasih. Maka kasihanilah siapa yang ada di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh sesiapa yang ada di langit.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Begitulah petunjuk Islam tentang lemah lembut, kebaikan dan keutamaan dalam bercakap dan bergaul. Tidak ada jalan lain bagi ibu dan bapa kecuali mengambil jalan yang telah digariskan Islam sekiranya mereka memang hendak anak-anak mempunyai kehidupan bermakna dan berakhlak mulia.

 DIDIK ANAK CARA KASAR ATAU LEMBUT

Ibu bapa Derhaka

Ada orang mendakwa bahawa seseorang anak itu menjadi derhaka kerana ibu bapanya yang derhaka terlebih dahulu. Bagaimana hal ini berlaku?

Jawapan:

Jika ibu bapa mengambil jalan yang bengkok, menunjukkan sikap kasar dan mendidik dan menghukum secara zalim, maka mereka sebenarnya telah berbuat dosa kerana telah meletakkan anak-anak dalam suasana pendidikan yang salah dan tercela.

Bahkan mereka telah menanam benih-benih derhaka dalam jiwa anak-anak ketika mereka masih kecil. Inilah yang dikatakan ibu bapa telah derhaka dahulu sebelum anaknya derhaka.

Seorang lelaki telah datang kepada Sayidina Umar al-Khattab untuk mengadu tentang anaknya yang derhaka. Kemudian Umar pergi bertemu anak itu untuk menasihatinya.

Anak itu menjawab: “Wahai Amirulmukminin, bukankah anak juga mempunyai hak-hak yang perlu diberikan oleh bapanya?”

“Tentu.”

“Apakah hak-hak itu wahai Amirulmukminin?”

“Memilih ibunya yang baik, memberi nama yang baik kepadanya dan mengajar al-Quran kepadanya.”

“Wahai Amirulmukminin, sesungguhnya ayahku tidak pernah melakukan salah satu pun daripada semua itu. Adapun ibuku seorang hamba berkulit hitam dan tuannya beragama Majusi. Ayahku telah menamakan aku Ju‘al (kumbang berwarna hitam). Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf pun daripada al-Quran!”

Kemudian Umar menemui si ayah kembali: “Kamu datang kepadaku untuk mengadukan kederhakaan anakmu. Padahal engkau telah menderhakainya sebelum ia menderhakaimu, dan kamu telah berbuat buruk kepadanya sebelum ia berbuat buruk kepadamu!”

Demikianlah Umar telah menyalahkan lelaki itu kerana kecuaiannya mendidik anaknya dan meremehkan pendidikan agama anaknya sehingga anaknya bersikap derhaka. Maka ibu bapa hendaklah mengambil pelajaran dan teladan serta berusaha mengikuti jalan yang paling lurus dalam mendidik anak-anak sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam.

Wallahu a‘lam.

 

   USTAZ MOHAMAD WAHID BIN. ABD. HANIF

   Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas