Menu

 

A+ A A-

OPERASI SULIT IBNU SINA

“PERUBATAN sebenarnya bukanlah sesuatu yang rumit atau ilmu sains yang penuh dengan ranjau duri serta halangan seperti matematik dan metafizik, jadi saya akan melakukan perubahan yang besar; saya akan menjadi pengamal perubatan yang cemerlang dan mengubat pesakit menggunakan kaedah yang sudah teruji keberkesanannya.”

Begitulah kata-kata seorang pakar perubatan Islam khasnya dan dunia amnya. Kata-kata itu bukanlah untuk meninggi diri atau sombong dengan kebijaksanaan akal tetapi adalah untuk menimbulkan semangat atau motivasi diri agar berjaya mencapai apa yang dicitakan. Beliau ialah Ibnu Sina atau nama penuhnya, Abu Ali al-Hussein ibn Abdullah ibn Sina.

Ibnu Sina yang dikenali juga dengan panggilan slanga barat sebagai Avicenna pada asalnya merupakan pakar dalam pelbagai bidang, namun dikhususkan kepada perubatan setelah beliau menemui beberapa kaedah perubatan yang sukar untuk orang lain temui.

Ibnu Sina dilahirkan di Afshana, dekat Bukhara, ibu negeri Samanids iaitu semasa dinasti Persia di Asia Tengah dan Khorasan. Lahirnya adalah pada tahun 980 Masehi dan bapanya – Abdullah berasal dari Balkh, sekarang Afghanistan, manakala ibunya – Setareh pula berasal dari Bukhara, sekarang Uzbekistan.

operasi-sulit-ibnu-sina-1

Kebijaksanaan Ibnu Sina bermula seawal lima tahun. Namun pada usianya meningkat empat belas tahun, keterserlahan kehebatan pemikirannya bertambah tercambah apabila dapat berhujah dengan gurunya sehingga gurunya menghormati pandangan beliau. Dikatakan dalam autobigrafinya bahawa tiada apa yang beliau tidak pelajari apabila meningkat usia mencecah lapan belas tahun.

Sebelum itu, ketika usia Ibnu Sina di awal belasan tahun, beliau cuba memahami ilmu metafizik oleh Aristotle, yang mana beliau tidak mengertinya sehinggalah beliau membaca ulasan al-Farabi tentang karya tersebut. Sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang lagi dan terus menimba segala ilmu dan harapannya hanya satu, ‘Ilmu pengetahuan seorang Muslim lebih hebat.’

Ibnu Sina mempelajari perubatan di bawah ahli fizik yang bernama Koushyar. Beliau menulis kira-kira 450 karya dalam pelbagai bidang dan subjek, yang mana kira-kira hanya 240 daripadanya yang masih ada. Pada dasarnya, 150 daripada karya beliau yang masih ada itu tertumpu kepada bidang falsafah dan 40 daripadanya berkisar tentang perubatan.

Karya ilmu beliau yang paling terkenal ialah ‘Kitab asy-Syifa’ (The Book of Healing) – ensiklopedia tentang perubatan, dan ‘Al-Qanun fit Tibb’ (The Canon of Medicine) – teks yang dijadikan medium perubatan di banyak universiti semasa Zaman Pertengahan. Selain daripada itu, Ibnu Sina yang juga seorang hafiz, berkarya tentang ilmu astronomi, kimia, geologi, psikologi Islam, falsafah Islam, teologi Islam, mantik, paleontologi, metamatik, fizik, puisi dan sains. Beliau dianggap sebagai seorang yang paling berpengaruh dan terkenal di Zaman Kegemilangan Islam (tamadun dunia – 750M-1258M).

operasi-sulit-ibnu-sina-2

Pada sepuluh tahun terakhir hayatnya, Ibnu Sina berkhidmat untuk Abu Ja’far Ala Addaula – penguasa bandar Isfahan, sebagai ahli fizik, sasterawan dan penasihat saintifik. Dalam tahun-tahun itu juga beliau mula mendalami bidang sastera dan filologi. Beliau yang terkenal dengan kuat bekerja, sentiasa mencari ilmu baru untuk dibuat kajian sehingga pekerjaan beliau itu menjadikan kesihatannya terganggu.

Rakan-rakan Ibnu Sina menasihatkannya agar berehat dan menyederhanakan kerja supaya kesihatannya stabil. Tetapi beliau menolaknya, bahkan berkata, “Saya lebih suka kehidupan singkat tetapi luas, lebar dan panjang.”

Di saat kematiannya, belas kasihan menyelubungi diri Ibnu Sina: beliau banyak mengeluarkan sedekah kepada si miskin; membayar segala hutang; membebaskan hambanya; dan khatam al-Quran setiap tiga hari sekali.

Ibnu Sina meninggal dunia pada bulan Jun tahun 1037 Masehi dalam usia 57 tahun di bulan Ramadan. Jenazah beliau dikebumikan di Hamadan, Iran. Semoga roh orang alim ini dicucuri rahmat dan bersama-sama orang yang beriman.

Alhamdulillah. Kita ambil sedikit manfaat melalui kisah hidup ulama yang sangat alim ini iaitu bahawa sesungguhnya setiap usaha dan ikhtiar itu diletakkan di sepanjang masa dari awal sehingga akhir kehidupan bukan setakat sesuatu kejayaan. Susulilah segala usaha dan ikhtiar dengan doa dan syukur. Q


Faiz M Azhari
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2

 


 

Artikel berkaitan: PROJEK IBNU BATTUTAH »
Kembali ke atas