Menu

 

A+ A A-

RAIKAN KELAHIRAN SEORANG KHALIFAH

Raja Loius ke XVI telah dibunuh oleh pemberontak dalam Revolusi Perancis yang berlaku pada tahun 1795. Bukan dia sahaja, bahkan isteri dan seluruh ahli keluarganya telah dipancung dengan menggunakan gilotin.

Hanya anaknya yang masih kecil iaitu Loius XVII sahaja yang tinggal. Pada asalnya, anak yang masih kecil ini turut ingin dibunuh tetapi tindakan itu dirasakan terlalu kejam. Dikhuatiri rakyat menilainya sebagai sesuatu yang sangat zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Namun pemberontak masih bimbang kalau-kalau Loius XVII ini akan membesar dan kemudiannya menimbulkan ancaman kepada mereka kemudian hari. Mereka takut anak raja ini bercita-cita untuk meneruskan semula pemerintahan beraja di Perancis. Untuk menghalang perkara itu berlaku, mereka berkonspirasi merosakkan anak itu dengan pelbagai keburukan.

Mereka telah mengasingkan anak raja itu di satu tempat yang jauh daripada rakyat. Di sana anak raja itu dilambakkan dengan cara hidup yang merosakkan dan mematikan pertumbuhan akal, jiwa, perasaan bahkan fizikalnya.

Sejak kecil lagi anak raja ini didedahkan kepada arak, makanan yang sedap-sedap secara berlebihan, hiburan melampau, wanita-wanita cantik dan sebagainya. Pemberontak yakin anak raja ini akan membesar nanti menjadi seorang yang kaki botol, obesiti dan gila betina. Dengan itu dia tidak akan bercita-cita lagi untuk menjadi raja.

Namun setelah beberapa tahun, pemberontak melawan anak raja yang kini telah membesar menjadi seorang remaja. Mereka membayangkan akan bertemu dengan seorang remaja yang gemuk, sakit, lemah mental, jiwa dan fizikalnya.

Alangkah terkejutnya mereka, Luios XVII tidak seperti yang mereka gambarkan. Sebaliknya dia menjadi seorang remaja yang tampan dan sihat serta bercita-cita besar. Ketika ditanya, mengapa beliau menolak segala kesenangan dan kemewahan yang diberikan kepadanya? Beliau dengan tegas berkata: “Kerana aku seorang raja. Seorang raja mesti sihat, kuat dan bijak untuk memimpin rakyatnya!”

Lebih Besar daripada Raja

Bayangkan begitu besarnya jiwa seorang yang bercita-cita menjadi seorang raja. Cita-cita dan matlamatnya hanya satu. Maka dia fokus dan serius meminggirkan semua halangan yang boleh menghalang cita-citanya. Walaupun halangan-halangan itu disukai malah diburu oleh orang biasa. Walaupun dikelilingi oleh segala bentuk kelalaian, dia ingat siapa dirinya dan apa cita-cita utama dalam hidupnya.

Cita-cita seorang Islam sebenarnya lebih besar daripada itu! Seorang bayi Muslim dilahirkan sebagai seorang khalifah – satu jawatan, amanah dan status yang sangat tinggi dan mulia. Jawatan itu lebih tinggi darjatnya daripada seorang raja dan sultan. Ia anugerah Allah, bukan manusia.

Sebagai khalifah, seorang Muslim tidak cukup menjadi seorang yang baik. Tetapi dia mesti mampu memberi kebaikan kepada orang lain dan persekitarannya. Seorang khalifah wajib mengatur dan mengurus dunia dengan menegakkan hukum-hukum Allah. Dia bukan sahaja soleh (baik) tetapi mesti “Musleh” (memperbaiki). Status khalifah ini merupakan amanah yang sangat besar dan berat hinggakan langit, bumi dan seluruh alam menolak apabila ditawarkan.

Oleh sebab itu kelahiran seorang khalifah mesti diraikan. Seorang bayi mesti disambut penuh penghormatan. Bukan oleh paluan kompang atau tembakan meriam tetapi oleh laungan azan dan iqamat, kalimah paling suci dan tinggi di dunia dan akhirat. Khalifah cilik ini sudah diperingatkan sejak awal akan siapa Tuhannya dan siapa Rasulnya. Apa pula matlamat hidup dan apa pula jalan untuk mencapai matlamat hidup itu. Dalam azan dan iqamat sudah ada war cry (jeritan perjuangan) yang mengajak kepada kejayaan: haiya alal falaah!

Upacara Menyambut “Khalifah”

Setiap anak dilahirkan suci, tidak kira sama ada ibu bapanya seorang taat atau ahli maksiat. Anak itu fitrahnya suci bersih, umpama kain putih tanpa warisan dosa daripada ibu bapanya sekalipun dia anak seorang asi(pendosa).

Seorang bayi itu kemudiannya ditahnikkan oleh makanan sunnah (kurma, madu atau manisan) yang dilembutkan oleh air liur seorang terpilih dan dilihat paling soleh. Itulah makanan dan air yang pertama masuk ke mulut dan perutnya. Subhanallah, makanan yang paling baik itulah yang membentuk hatinya yang masih suci.

Dalam tempoh masa seminggu, ibu bapanya mula mencari nama yang baik-baik. Nama yang sinonim dan punya citra kehambaan dan ketaatan seperti Abdullah, Abdul Rahim, Abdul Azim dan sebagainya. Atau yang punya roh pejuang agama daripada kalangan rasul dan nabi, para sahabat, mujaddid, mujtahid dan para salaf al-soleh.

Nama yang baik itu hakikatnya doa, harapan dan perancangan ibubapa untuk menentukan “siapa” anaknya pada masa akan datang. Ya, “siapa yang saya ingin jadi” itu lebih utama daripada “apa yang saya ingin dapat” dalam hidup ini.

Siapa anak kita? Dia ialah khalifah yang akan berjuang dengan roh kalimah syahadah dan kekuatan al-solah untuk menuju al-falah dalam hidupnya persis Nabi Muhammad, Imam al-Syafi’i, Salehuddin al-Ayubi atau nama nama lain yang menjadi aspirasi dan inspirasi pada namanya yang diberikan oleh ibu bapanya. Ya, dia bakal menjadi salinan peribadi rijal al-dindan rijal Allah ini!

Setelah diisytiharkan namanya, cukur rambutnya, kemudian bersedekahlah seberat rambut itu dan sembelihlah haiwan sebagai aqiqah. Inilah budaya hidup memberi dan berkorban dalam proses pembinaan sebuah generasi al-Quran.

Raikan kelahiran khalifah ini dengan ceria dan meriah. Ini mukadimah indah seorang khalifah. Ya, bagaimana mukadimah begitulah selalunya natijahnya nanti!

 

Pahrol Mohamad Juoi

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Last modified onMonday, 29 June 2015 09:40
Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas