Menu

 

A+ A A-

Soal Jawab - Munakahat

Soal Jawab - Munakahat

Soalan: Anak yang berusia 10 tahun bila dia menonton drama di tv yang menceritakan tentang perkahwinan, mengandung, beranak, dia selalu bertanya kepada saya macam mana seseorang ibu itu boleh mengandung dan beranak. Saya menjadi serba-salah untuk menjelaskan kepadanya. Apakah perlu saya terangkan dengan sejelas-jelasnya. Apakah ia boleh dikategori sebagai pendidikan seks yang perlu didedahkan kepada kanak-kanak?

Jawapan: Memang naluri kanak-kanak suka bertanya sesuatu yang ia tidak faham. Namun ibu bapa hendaklah dapat mengukur anak-anak mereka, sejauh mana peringkat umur mereka yang layak didedahkan dengan pendidikan seks. Yang dimaksud dengan pendidikan seks adalah pengajaran, penyedaran dan penerangan tentang masalah seksual yang diberikan kepada anak-anak, sejak ia mengerti masalah yang berkenaan dengan seks, naluri dan perkahwinan.

Sehingga, jika anak telah tumbuh menjadi seorang pemuda dan dapat memahami urusan-urusan kehidupan, ia telah mengetahui masalah-masalah yang diharamkan dan dihalalkan. Bahkan, mampu menerapkan adab-adab keislaman seperti berakhlak, kebiasaan naluri semula jadi mengikut saluran agama, tidak mengikuti syahwat dan cara-cara hedonism (fahaman yang semata-mata mementing hiburan dan kemewahan dalam kehidupan).

Menurut Syeikh Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya Al-Halal wal Haram: Pendidikan seksual harus mendapatkan perhatian secara khusus dari para pendidik dan ibu bapa, dilaksanakan berdasarkan peringkat-peringkat berikut:

Peringkat pertama, usia 7-10 tahun, disebut masa tamyiz. Pada masa ini, anak-anak diberi pelajaran tentang adab meminta izin dan memandang sesuatu. Peringkat kedua, usia 10-14 tahun, disebut masa murahaqah (masa peralihan dari tanyiz), pada masa ini anak wajib dijauhkan daripada pelbagai rangsangan seksual.

Peringkat ketiga, usia 14-16 tahun, ialah masa baligh. Jika anak kita (terutama perempuan) kelihatan bersedia untuk menikah, maka pada masa ini anak diberi pelajaran tentang etika (adab) mengadakan hubungan seksual. Kalau belum, elakkan lebih dahulu. Peringkat keempat, disebut masa muda belia (remaja). Pada masa ini anak diberi pelajaran tentang adab (etika) melakukan isti’laf (bersuci), jika memang ia belum mampu melangsungkan pernikahan.

Namun serentak atau sebelum itu, anak-anak kita hendaklah didedahkan dengan pengajaran tauhid, fiqah dan tasawuf agar mereka memahami hukum-hakam batas haram dan halal, dosa dan pahala. Agar mereka dapat memahami batas-batas haram dan halal pergaulan antara lelaki dan wanita dan lain-lain adab dalam kehidupan harian mereka. Maka, terpulang kepada kebijaksanaan ibu bapa untuk menjelaskan masalah-masalah seksual kepada anak-anak dengan kadar kesesuaian umur mereka.

 Ustaz Fajar Siddiq

(Majalah Solusi Isu Perdana)