Menu

 

A+ A A-

Soal Jawab - Feqah Amali

Soal Jawab - Feqah Amali

Soalan: Kawan saya enggan pergi kenduri kahwin kerana katanya banyak unsur maksiat yang bukan sahaja menggugurkan kewajipan hadir kenduri walimah tersebut, malah kadang-kadang haram memenuhi jemputan tersebut. Saya tidak faham apa yang dikatakan unsur maksiat itu. Adakah majlis persandingan itu dikatakan maksiat sehingga menggugurkan kewajipan hadir jemputan majlis walimah?

Jawapan: Unsur maksiat yang biasa terdapat dalam majlis kenduri walimah ialah suasana pergaulan bebas lelaki dan wanita yang bukan mahram, bercampur lelaki dan perempuan yang tanpa batas-batas yang dibenarkan syariat dan begitu juga dengan ada pendedahan aurat. Maka di sana sesuatu yang tidak boleh, lelaki ada batas, perempuan ada batas, kalau batas-batas ini tidak dipelihara maka ia dikira ada maksiat. Demikian juga dengan persandingan kerana ia terang-terang mendedahkan diri dan seolah-olah mempamerkan untuk orang melihat. Kadang-kadang pengantin perempuan tidak menutup aurat, pakaian yang nipis sehingga menampakkan warna kulit, pakaian yang ketat menampakkan bentuk badan, bersolek (tabarruj), memakai wangian dan sebagainya yang kebanyakannya bertentangan dengan syariat apabila berkait dengan orang ramai yang bukan mahram. Ini juga dikira maksiat. Maka kita tidak boleh hadir sekiranya ada maksiat.

 

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Saya ingin bertanya tentang peraduan yang dianjurkan melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) di mana setiap jawapan melalui SMS tersebut dikenakan caj yang agak tinggi. Apakah peraduan tersebut ada unsur-unsur judi yang diharamkan?

Jawapan: Kalau kita dikenakan bayaran untuk masuk dalam peraduan SMS ini atau kita dikenakan caj yang tinggi daripada biasa dan kita ada pertaruhan yakni pertaruhan duit untuk dapat duit yang lebih banyak maka itu ialah judi, hukumnya haram.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Bagaimana hukumnya minuman gandum (malta) yang dibuat oleh syarikat arak dan juga menggunakan jenama yang sama pada tin minuman tersebut?

Jawapan: Bagi syarikat arak yang mengeluarkan minuman gandum, kita lihat kepada minuman itu. Tak kiralah siapa yang buat, syarikat arak ke, atau syarikat Kassim ke, kalau bahan-bahan yang dibuat itu tidak ada bahan-bahan yang haram, kemudian peralatan dan bekas yang digunakan tidak bercampur dengan arak maka boleh diminum. Tetapi jika tempat yang sama, alat yang sama dan bekas yang sama dengan bekas yang digunakan untuk arak dan digunakan juga untuk minuman lain seperti malta hukumnya haram kerana bekas atau peralatan itu tidak dibersihkan. Sebaliknya jika peralatan dan bekas tersebut dibersihkan terlebih dahulu mengikut kaedah pembersihan mengikut syariat, maka minuman tersebut bersih dan boleh diminum, tapi ia masih dikira syubhah kerana ia datang atau dibuat oleh syarikat arak. Sebaiknya yang syubhah ini kita tinggalkan.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Telefon bimbit saya mempunyi perisian bacaan al- Quran 30 juz. Bagaimana jika saya terbawa masuk telefon bimbit tersebut ke dalam tandas?

Jawapan: Hukumnya boleh dan tidak dikira satu kesalahan kerana telefon itu bukan al-Quran. Kalau kita bawa ke mana-mana pun dan tunjuk pada orang, maka orang tidak akan kata itu al-Quran, walaupun di dalamnya ada al-Quran 30 juz tetapi tidak dizahirkan. Kita boleh pegang telefon bimbit tersebut sekalipun kita tidak ada wuduk atau dalam keadaan berhadas kerana ia bukan al- Quran.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Kawan saya kata tak boleh solat pakai seluar yang kita bawa ke tandas ketika buang air kecil. Katanya macam mana kita jaga pun tetap ada kena tempias percikan air kencing. Boleh terima ke hujah tersebut. Bagaimana solat dengan memakai seluar tersebut?

Jawapan: Hujah itu tidak boleh diterima, kerana dalam masalah ini segala percikan atau tempias yang halus sebenarnya dimaafkan. Dalam syariat ada jenis najis yang dimaafkan. Antaranya ialah tempias air kencing yang halus. Sepertimana dimaafkan juga najis yang dibawa oleh binatang yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sebagai contoh kita nampak lalat berterbangan dari satu tempat ke satu tempat. Walaupun dari bangkai babi atau anjing. Kemudian terbang dan hinggap pada makanan atau minuman atau pakaian kita yang basah. Maka itu dimaafkan. Jadi tempias yang sedikit tadi dimaafkan. Maka solat dengan memakai seluar tadi hukumnya sah.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 3)

Soalan: Ketika kenduri, menu lauknya ialah ayam goreng. Tetapi semasa membasuh ayam, mereka hanya membasuh ayam sekali gus dalam besen berisi air. Selepas dibasuh ayam terus digaul bahan rempah gorengannya kemudian terus digoreng. Bagaimana cara basuhan demikian dan bagaimana pula kita makan ayam goreng demikian?

Jawapan: Sebenarnya cara nak basuh ayam ini, bila sudah disembelih, darah sudah berhenti daripada mengalir, selepas isi perutnya yang ada najis dibuang maka dia hendaklah disiram sekali sahaja, sudah memadai. Darah yang ada di dalam daging itu dimaafkan. Tapi kalaulah dia campurkan ayam itu dengan air darah yang bercampuran di dalam satu besen, dibasuh dengan tidak disiram, tidak dialirkan air mutlak (air suci lagi menyucikan), maka ayam itu masih tidak bersih.

Setelah darah tadi berhenti, darah ada pada ayam itu dimaafkan. Cuma isi perut dan najisnya perlu dibersihkan. Apa yang perlu selepas itu adalah disiram ayam itu dengan air mutlak walaupun sekali. Maka barulah ayam itu boleh dimakan. Kalau tidak, jika masih lagi kita basuh dengan air di dalam besen yang tidak bersih, maka ayam itu masih ada najis, jika digoreng sekalipun ia masih najis.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 3)

Soalan: Saya dapat daging korban di tempat saya selepas solat sunat Aidiladha. Kemudian kebetulan saya hendak balik kampung (rumah emak) yang jaraknya 200km dari tempat saya. Apa hukumnya saya membawa (memindahkan) daging korban tersebut sebegitu jauh?

Jawapan: Boleh. Daging ini kita nak pindah ke, nak bawa ke mana pun, tiada masalah. Orang yang menerima daging korban bebas untuk menentukan kedudukan daging. Malah dia jual pun boleh. Orang yang berkorban itu pun kalau dia ada daging korban dia boleh pindahkan ke sana sini. Contohnya ada orang buat korban di Kemboja, negara luar, negara miskin, kampung, maka itu tidak menjadi masalah. Boleh dipindahkan. Yang tidak boleh dipindahkan ialah zakat.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 3)

Soalan: Apa alasan atau hujah biawak padang pasir boleh dimakan sedangkan biawak di Malaysia dikatakan haram dimakan?

Jawapan: Ada nas bilamana Sayidina Khalid r.a. hendak makan dhab. Sayidina Khalid r.a. mengajak Rasulullah s.a.w. makan sekali. Nabi kata kami kaum yang tidak pernah makan dhab ni. Tapi Nabi tidak larang dan Sayidina Khalid r.a. terus makan binatang dhab ini.

Dan memang dhab ni boleh dimakan dan dhab ini tidak sama dengan biawak di Malaysia. Biawak di Malaysia nampak begitu buruk rupanya, begitu jijik kedudukannya kerana makan najis dan bangkai. Tapi dhab tidak. Ia hidup di padang pasir dan memang ada nas yang membolehkan kita makan dhab.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 3)

Soalan: Ramai orang yang membuat kenduri kahwin dengan membuat sembelihan akikah lembu. Jemputan kenduri itu meliputi kawan-kawan yang bukan beragama Islam. Bagaimana jika daging akikah tersebut dimakan oleh tetamu yang bukan beragama Islam?

Jawapan: Tidak boleh. Kita tidak boleh bagi mereka makan kerana ketetapan syarak. Kalau kita tahu mereka makan kita kena ganti. Pergi pasar, beli dan ganti dengan kita bersedekah kepada fakir miskin. Orang bukan Islam tidak boleh makan daging korban dan akikah kerana ini ialah satu jamuan Allah kepada kita dan tidak boleh kepada mereka yang mensyirikkan Allah. Kalaulah kita tidak tahu, terlajak, terberi dan dia telah pun makan, kita kena ganti balik. Kadar berapa, kita beli di pasar atau sembelih yang lain dan kita berikan sedekah kepada fakir miskin.

 

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 3)

Soalan: Saya seorang tukang jahit. Bagaimana hukumnya saya menjahit pakaian kaum wanita Islam tetapi jelas fesyennya mendedahkan aurat dan menampakkan bentuk tubuh badannya?

Jawapan: Tidak menjadi masalah jika pakaian itu dipakai oleh wanita di dalam rumah dia, berhadapan dengan suaminya dan anak-anak, maka itu tiada masalah. Selagi itu tidak dikatakan membantu kepada maksiat. Melainkan kalau jelas pakaian-pakaian itu untuk digunakan di tempat maksiat, katakanlah pusat hiburan, sukan yang menampakkan aurat, itu memang tidak boleh. Tapi kalau kita kata pakaian ini mungkin dia pakai di rumah atau dalam kalangan kaum keluarganya, maka dibolehkan.

Macam yang saya lihat di Yaman, baju-baju ataupun seluar yang menampakkan aurat dijual di kedai-kedai tapi kalau kita lihat masyarakat tiada yang memakainya di khalayak ramai. Kebanyakan mereka memakai jilbab atau jubah labuh. Jadi di mana mereka pakai? Pakaian itu dipakai di rumah. Dalam suasana rumah tangga mereka pakai gaun, menampakkan aurat, tapi ini di depan suami mereka. Maka itu tidak menjejaskan.

Maknanya kalau kita menjahit baju untuk mereka pakai di tempat yang dibolehkan maka tiada masalah. Kalau hakikatnya mereka pakai di tempat mana mereka hendak, itu bukan soal kita lagi dah. Kita tahu macam kita jual seluar dalam, tshirt dan sebagainya. Maka orang yang beli mungkin dia pakai bikini dan sebagainya tapi bukan di depan khalayak ramai. Di depan suami dia. Maka itu tiada masalah. Jadi, bukan kita dianggap telah menjadi penyebab kepada dia buat maksiat, tidak. Kita hanya anggap mungkin dia guna untuk tujuan yang baik. Tetapi kalau kita sentiasa sangka buruk dia buat maksiat sampai bila pun tidak selesai.

Jadi, boleh, tiada masalah kalau kita buat pakaian perempuan walaupun menampak kan aurat dan mendedahkan bentuk badan dia, tetapi dengan sangka baik atau anggapan maksud dia bukan untuk digunakan dalam pemakaian biasa. Ini kerana saya pernah lihat, baju-baju yang menampakkan aurat dan mendedahkan bentuk badan dijual di Yaman, di mana tiada ulama kata “Jangan jual benda-benda ini,” atau “Tidak boleh dijual pakaian Barat”. Pakaian seperti itu banyak dijual, dan perempuan beli, tapi tidak dipakai pada khalayak ramai.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 3)