Menu

 

A+ A A-

Soal Jawab - Feqah Amali

Soal Jawab - Feqah Amali

Soalan: Saya berniaga makanan di kawasan berhampiran sebuah pusat hiburan dan perjudian. Pelanggan saya terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, termasuk orang Melayu yang kebanyakannya adalah pekerja pusat hiburan dan judi tersebut. Bagaimana dengan hasil perniagaan saya itu?

Jawapan: Perniagaan anda sah. Anda tidak khususkan hanya kepada tempat itu, kerana mereka ini antara kebanyakan pekerja. Sesiapa sahaja boleh jadi pelanggan anda. Pastinya anda jual makanan yang halal. Anda boleh jual makanan ini tidak kepada orang Islam sahaja. Boleh kepada sesiapapun. Sehingga kita boleh jual makanan-makanan yang hendak diberi kepada binatang. Yang penting makanan yang dijual itu halal. Sesiapa sahaja boleh jadi pelanggan anda. Walaupun di situ ada pusat hiburan dan judi. Kita tidak pasti betulkah dia masuk ke situ untuk main judi, atau pun tidak.

Mungkin dia ke situ untuk bertemu seseorang. Atau kebetulan dia nak cari kawan dia, dan si kawan berada di tempat itu. Selepas itu dia ke kedai anda untuk makan. Jadi, duitnya itu tidak ada apa-apa masalah. Pendek kata, kita tidak disuruh untuk tahu secara terperinci hal-hal sedemikian kerana bukan di dalam urusan kita. Yang tidak bolehnya ialah kita berniaga betul-betul di dalam pusat judi ataupun pusat maksiat itu, maka itu jelas haram.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 3)

Soalan: Apakah hukum menggunakan gading gajah?

Jawapan: Gading ialah gigi bagi gajah. Gigi binatang diambil hukum sebagaimana hukum bangkai. Ulama Syafi’i mengharamkan makan gajah dan hukum gadingnya adalah najis. Akan tetapi, ulama Syafi’i yang terkemudian pula menyatakan bahawa gading gajah dikecualikan kerana ia banyak penggunaannya (tidak dihukum sebagai najis). Sheikh al-Banhawi (ulama mazhab Syafi’i) telah menyatakan demikian dalam salah satu buku karangannya.

Dr. Ali Jumaah

Beliau menjawat jawatan Mufti Besar Republik Arab Mesir bermula pada 28 September 2003 hingga sekarang. Antara karya beliau adalah al-Kalim al-Tayyib (Fatwa Semasa)

(Majalah Al-Ustaz Isu No.2)

Soalan: Apakah hukum orang kafir masuk ke dalam masjid? Adakah benar ada dalam kalangan mereka masuk Islam ketika melihat tamadun Islam?

Jawapan: Sesungguhnya Nabi s.a.w. menyambut gerombolan-gerombolan yang masuk ke dalam masjid. Antaranya gerombolan Najran (beragama Nasrani). Dan memang berlaku, ada dalam kalangan mereka yang masuk Islam apabila melihat keindahan tamadun Islam.

Dr. Ali Jumaah

Beliau menjawat jawatan Mufti Besar Republik Arab Mesir bermula pada 28 September 2003 hingga sekarang. Antara karya beliau adalah al-Kalim al-Tayyib (Fatwa Semasa)

(Majalah Al-Ustaz Isu No.2)

Soalan: Apakah hukum beramal dengan hadis daif?

Jawapan: Boleh beramal dengan hadis daif. Tidak ada dalam kalangan ulama yang menolak atau meninggalkan hadis daif. Dibolehkan beramal dengannya dengan syarat:

1.     Tidak dinisbahkan hadis itu kepada Nabi s.a.w.

2.     Tidak terlalu daif.

3.     Tidak ada dalam bab (masalah) itu selainnya.

4.     Tidak menyalahi asas (usul) agama.

5.     Hanya hadis yang ada dalam fadail ‘amal sahaja.

Dr. Ali Jumaah

Beliau menjawat jawatan Mufti Besar Republik Arab Mesir bermula pada 28 September 2003 hingga sekarang. Antara karya beliau adalah al-Kalim al-Tayyib (Fatwa Semasa)

(Majalah Al-Ustaz Isu No.2)

Soalan: Apabila kita membaca sejarah para sahabat, kita akan mendapati berlaku perselisihan antara mereka. Ada juga satu puak dalam kalangan masyarakat kita kini yang berani mencaci sebahagian para sahabat. Bagaimana sepatutnya pendirian kita sebagai orang Islam dan berpegang dengan aqidah ahli sunnah wal jamaah?

Jawapan: Mengenai pendirian kita sebagai orang Islam dan berpegang dengan aqidah ahli sunnah waljamaah, saya mengambil pandangan Imam al-Ghazali rhm. Beliau ada menyebut dalam kitabnya Ihya’ Ulum al-Din iaitu kita hendaklah mencintai para salaf yang dipilih oleh Allah Azzawajalla menjadi sahabat-sahabat kepada Rasulullah s.a.w. Kita memuji-muji mereka sebagaimana Allah telah memuji mereka dan menjadi pengikut mereka.

Kita hendaklah mengatakan bahawa imam yang termulia sesudah Rasulullah s.a.w. ialah Abu Bakar r.a. dan Allah s.w.t. telah memuliakan agama ini dengan beliau, dan beliau telah membuktikan keunggulannya terhadap kaum murtad. Abu Bakar r.a. telah menunjukkan kepada seluruh umat Muslimin dengan sifat kepimpinan sebagaimana beliau diminta oleh Rasulullah s.a.w menjadi imam ketika solat.

Sesudah Abu Bakar r.a., Umar bin al-Khattab r.a. pula menjadi khalifah, dan sesudah beliau Uthman bin Affan r.a. Khalifah Uthman telah dibunuh secara zalim dan telah dianiaya. Kemudian, Ali bin Abu Talib r.a. pula telah menjadi khalifah. Keempat-empat khalifah ini ialah pemimpin yang menggantikan tempat Rasulullah s.a.w. Kita hendaklah menjejaki jalan sekalian sahabat Rasulullah s.a.w. dan tidak boleh mencampuri perselisihan-perselisihan yang timbul antara mereka.

Dato’ Haji Ismail Kamus

(FIQAH HARIAN, Majalah Al-Ustaz Isu 2)

Soalan: Sebagaimana yang kita telah maklum bahawa meniru-niru adat orang kafir itu tidak boleh. Persoalannya, apakah hukum bermain tanglung pada hari raya dan memberi atau menerima hadiah berupa hamper sempena hari perayaan?

Jawapan: Tanglung ialah budaya orang kafir untuk memanggil hantu mereka. Oleh itu, tidak boleh kita melakukan sedemikian sesuka hati sahaja. Bagaimanapun dalam masalah hamper, Islam menganjurkan untuk saling menghadiahi. Maka, tidak salah untuk orang Islam melakukannya tetapi janganlah berniat meniru budaya mereka.

Dato’ Haji Ismail Kamus

(FIQAH HARIAN, Majalah Al-Ustaz Isu 2)

Soalan: Bagaimanakah ukuran Islam terhadap seseorang yang beramal soleh, tetapi segala pengetahuan agamanya untuk dia beramal soleh itu diambil atau dipelajari daripada buku-buku agama sahaja dan tidak pernah berguru?

Jawapan: Asas agama atau fardu ain wajib dipelajari daripada tuan guru yang muktabar dan diiktiraf oleh masyarakat dan pegangan agamanya tidak bercanggah dengan pendapat ahli sunnah wal jamaah. Kemudian, barulah belajar dengan membaca buku agama sebagai tambahan ilmu yang ada.

Dato’ Haji Ismail Kamus

(FIQAH HARIAN, Majalah Al-Ustaz Isu 2)

Soalan: Apakah hukumnya menyimpan atau menampal gambar seseorang yang terkenal seperti para pemimpin negar, penyanyi dan seumpamanya di dinding-dinding rumah?

Jawapan: Seeloknya, gambar-gambar sebegitu tidak digantung bimbang akan terjadi pemujaan kelak. Ini tidak termasuk gambar pemandangan. Namun demikian, jika bertujuan hendak memperkenalkan tokoh dan pemimpin soleh (ulama), tidaklah menjadi kesalahan.

Dato’ Haji Ismail Kamus

(FIQAH HARIAN, Majalah Al-Ustaz Isu 2)

Soalan : Saya bekerja sebagai pelukis pelan. Adakah berdosa jika saya melukis pelan bangunan kilang arak?

 

Jawapan : Jika bangunan daripada pelan yang anda lukis menjadi tempat orang membuat maksiat kepada Allah, maka anda akan mendapat sedikit saham juga. Orang yang menolong dalam perkara dosa maka ia juga mendapat saham. Kerana itu Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan dan janganlah sekali-kali kamu bertolongan dalam perkara kejahatan.” (Surah al-Maidah 5: 2)

Justeru, perkara yang perlu ada pada diri kita adalah iman dan takwa. Oleh sebab itu, sekiranya diberi tawaran melukis pelan bangunan kilang arak, janganlah mengambil tender tersebut sekalipun harga yang ditawarkan lebih tinggi daripada membuat bangunan yang lain. Keimanan yang ada dalam diri mendatangkan keyakinan bahawa kita akan diazab apabila melakukannya, dan takwa pula menyebabkan rasa takut apabila mendengar azab-azab Allah yang Maha Dahsyat akan menimpa kepada orang yang berbuat maksiat kepada Allah.

 

Ustaz Azhar Idrus

www.ustazazhar.net

(Majalah Al-Ustaz Isu 2)

Soalan : Jiran saya seorang yang berbangsa Cina menjemput saya ke rumahnya sempena Tahun Baru Cina. Apa hukumnya?

Jawapan : Bangsa Cina mempunyai dua perayaan besar. Perayaan yang pertama adalah Tahun Baru Cina atau Gong Xi Fa Cai dan yang kedua adalah Cap Go Meh. Ada ulama mengatakan harus untuk meraikan Tahun Baru Cina kerana ia bukan perayaan agama tetapi budaya. Tetapi haram meraikan Cap Go Meh kerana perayaan ini melibatkan agama.

Ustaz Azhar Idrus

www.ustazazhar.net

(Majalah Al-Ustaz Isu 2)