Menu

 

A+ A A-

INTEGRITI DALAM POLITIK ISLAM

Ditulis oleh 

Telus Berpolitik

Apakah kepentingan bersikap telus dalam berpolitik menurut kaca mata syarak?

Dalam melaksanakan akauntabiliti berteraskan konsep amanah, unsur ketulusan amatamat diperlukan. Setiap pihak sama ada pemerintah, pentadbir, mahupun penjawat awam perlu bersikap telus.

Di sesetengah negara maju, setiap ahli parlimen akan membuat deklarasi aset, laporan perbelanjaan dan tuntutan elaun serta segala kegiatan dan aktiviti mereka dalam laman web masingmasing, melalui bahan bercetak ataupun melalui akhbar tempatan.

Ketulusan amat penting demi mengelakkan pecah amanah, rasuah dan juga pelbagai perlakuan yang akan menjejaskan perlaksanaan amanah oleh setiap individu yang terbabit. Di setiap peringkat, sama ada masyarakat sivil, institusi dan pentadbiran perlu mempunyai mekanisme demi menjamin ketelusan dan juga akauntabiliti.

Untuk tujuan tersebut, pemisahan kuasa antara kuasa legislatif, kehakiman dan eksekutif perlu benar-benar berlaku. Jika tidak, mustahil akauntabiliti sebenar akan berlaku, justeru amanah tidak akan dapat dicapai. Konsep ini amat bertepatan dengan sistem politik yang diamalkan di Malaysia yang bersandarkan kepada perlembagaan persekutuan.

Konsep pengasingan kuasa dan pewujudan agensi-agensi yang terlibat untuk memantau isu rasuah, integriti dan tata kelola kerajaan seperti yang terdapat di Malaysia juga bertepatan dengan konsep akauntabiliti berteraskan amanah seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Demi melaksanakan akauntabiliti yang berterusan, sistem kepelbagaian parti juga amat penting. Hal ini terutamanya dalam memastikan “check and balance” ke atas parti pemerintah selaku kuasa eksekutif. Kepelbagaian parti tidak boleh dianggap sebagai perpecahanumat atau masyarakat. Sebaliknya realiti ini mesti dihayati atas sikap berlumba untuk mengerjakan kebaikan dan sunnahtadafu‘ iaitu tabiat semula jadi manusia untuk saling membetulkan kesilapan.

Tanpa sistem yang membenarkan kepelbagaian parti, umat Islam akan terus hidup di bawah kekuasaan tirani dan rejim diktator. Walhal konsep ini bertentangan dengan keadilan dan ihsan yang dibawa oleh ajaran Islam.

Walau bagaimanapun, kepelbagaian parti masih lagi tidak menjamin akauntabiliti yang berkesan melainkan dengan adanya ruang yang benar-benar bebas dan cukup untuk semua parti bergerak dan bersuara. Tanpa ruang politik yang bebas, maka tiada gunanya parti yang pelbagai.

Pada waktu yang sama juga, layanan terhadap semua parti yang terlibat di dewan legislatif perlulah adil. Seharusnya tiada perbezaan antara parti yang memerintah dengan parti pembangkang. Ini kerana kesemua yang dipilih ke majlis legislatif merupakan wakil yang dipilih oleh rakyat. Mereka bolehlah diumpamakan sebagai ahli syura kepada sesebuah negara.

Sistem pluralisme politik dengan kepelbagaian parti inilah yang didukung oleh sistem demokrasi berparlimen di Malaysia. Maka bagi umat Islam, kepelbagaian parti merupakan satu ruang yang subur untuk mereka memastikan akauntabiliti berteraskan semangat berpolitik secara Islam akan terus diamalkan.

Adalah tidak tepat bagi mereka yang mentafsirkan kewujudan pelbagai parti hanya sebagai pemecah belah umat, satu bentuk pemberontakan ataupun amalan puak Khawarij. Malah kewujudan pembangkang dalam sistem parlimen akan memastikan pihak eksekutif akan sentiasa dipantau dan diaudit oleh perwakilan lain yang telah dipilih oleh rakyat.

Perlaksanaan Akauntabiliti Islam

Apakah terdapat contoh perlaksanaan akauntabiliti dalam sejarah Islam?

Hal ini dapat dilihat kepada pengamalan para Khulafa alRasyidin lewat penabalan telah merealisasikan konsep akauntabiliti sebagai titik tolak utama dalam urusan tata kelola kerajaan.ttt

Sebagai contoh, Sayidina Abu Bakar telah menyuruh rakyat mentaatinya jika beliau benar, dan mengingkarinya jika beliau tersilap. Katanya: “Bantulah aku jika aku berada di pihak yang benar, dan betulkan aku jika aku tersilap. Taatilah perintahku selagi mana aku taat kepada Allah dan Rasul. Tinggalkan aku jika aku tersasar.”

Hal yang sama dilakukan oleh Sayidina Umar dalam khutbahnya sejurus selepas dilantik menjadi khalifah. Praktik akauntabiliti beliau juga tidak terhad kepada corak pengaduan lisan umum yang bersifat primitif.

Beliau telah menubuhkan sebuah badan khas untuk tujuan berkenaan. Seorang pegawai khas dilantik untuk mendengar dan menyiasat aduan-aduan yang dikemukakan oleh rakyat berkaitan salah laku pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas.

Sayidina Umar telah melantik Muhammad bin Maslamah untuk menjalankan penyiasatan dan mengambil tindakan yang perlu. Kadangkala beliau akan melantik pasukan khas lain jika beliau tidak berpuas hati dengan pengendalian Muhammad bin Maslamah. Lebihlebih lagi jika ada aduan yang sampai terus kepadanya. Beliau pernah melucutkan jawatan gabenor-gabenor yang dilantiknya apabila terbukti mereka bersalah setelah disiasat. Tradisi Umar ini diteruskan sehinggalah ke zaman Abbasiyyah. Mereka menubuhkan badan yang lebih besar bertaraf kementerian yang dinamakan Diwan al-Mazalim. Dewan tersebut bertindak seperti badan ombudsman pada zaman moden ini.

Antara contoh lain ialah surat nasihat Sayidina Ali kepada gabenornya di Mesir, Malik al-Ashtar. Beliau menulis: “Peruntukkanlah beberapa jam dalam sehari untuk mendengar aduan rakyat jelata. Pada waktu tersebut janganlah kau melakukan apa-apa kerja lain. Tumpukanlah sepenuh perhatianmu kepada aduan-aduan tersebut.

“Untuk itu, kamu mestilah memanggil orang awam yang lain untuk menjadi saksi kepada pengaduan yang dibuat. Layanlah mereka dengan penuh hormat. Jangan kau benarkan tentera atau polismu menghadiri pengaduan awam tersebut agar rakyat bebas membuat pengaduan tanpa rasa takut.”

Wallahu a‘lam

 

         DR. MASZLEE MALIK

       Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Read 5264 times
Dr. Maszlee Malik

Sarjana Fiqah dan Usul Fiqah, Universiti Al al-Bayt, Sarjana UM. PhD, Universiti Durham dan pernah menjadi pensyarah di universiti tersebut. Kepakaran dan tumpuan begitu terserlah dalam kajian tentang politik Islam semasa. Aktif menulis dan antara buku beliau Biografi Syeikh Ahmad Yassin, Persoalan Asas Isu Palestin dan Road To Beirut.

Kebanyakan bidang penulisan beliau adalah berkisar isu Palestin, isu umat Islam antarabangsa dan fiqh kontemporari. Sehingga kini, beberapa buah buku tulisan beliau sudah diterbitkan antaranya Biografi Syeikh Ahmad Yassin, Persoalan Asas Isu Palestin, Aspek-Aspek Keislaman, Road To Beirut, Soal Jawab Remaja Islam, dan disertasi sarjananya yang bertajuk Hukum Talfiq Dalam Muamalat. Kini pensyarah UIAM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.