Menu

 

A+ A A-

LEBURKAN TAKABBUR DENGAN TAWADUK

Saya sering berlagak depan rakan-rakan. Saya sedar bahawa ia tidak baik. Saya cuba mengubahnya, tetapi selalu gagal. Saya memang tekad untuk mengubah sikap saya ini. Mohon nasihat ustaz untuk menyelesaikan masalah akhlak buruk saya ini?

Tahniah atas kesungguhan saudara untuk berubah. Saya doakan semoga Allah membantu saudara dan memberkati kehidupan saudara di dunia dan akhirat. Sifat bangga diri dan berlagak dikenali dalam ilmu akhlak sebagai sifat takabbur. Sifat ini merupakan salah satu sifat mazmumah atau sifat yang tercela. Untuk menjauhi sifat ini, Allah s.w.t. mengajar Rasul-Nya agar mendidik umatnya dengan sifat tawaduk.

Tawaduk bererti merendah diri. Sifat ini merupakan satu nikmat besar yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-Nya. Firman Allah yang bermaksud: “Maka dengan rahmat Allah, berlemah lembutlah kamu dengan mereka. Jika kamu keras dan bersifat kasar dengan mereka, nescaya mereka akan lari daripada kamu.” (Surah Ali ‘Imran 3: 159)

Bahkan Nabi kita s.a.w. dipuji oleh Allah kerana akhlaknya. Firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) memiliki akhlak yang sangat mulia.” (Surah al-Qalam 68: 4) Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di rhm. dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah s.w.t. memuji Rasul-Nya atas kesungguhan Baginda melaksanakan ibadah kepada Allah dengan penuh sifat kehambaan serta sifat Baginda yang penuh belas ihsan dan kasih sayang terhadap seluruh makhluk Allah di atas muka bumi ini. Akhlak Baginda yang sangat tawaduk itu berteraskan keikhlasan yang jitu kepada Allah. Sifat penyayang Baginda ini amat bertentangan dengan sifat mutakabbirun (golongan yang suka membangga diri dan berlagak sombong).

leburkan-takabbur-2

Nilai Sebuah Tawaduk

Syeikh Soleh al-Munajjid mengatakan bahawa terdapat pelbagai ganjaran pahala yang besar untuk orang bersifat tawaduk. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Allah akan mengurniakan kemuliaan kepada seseorang yang memaafkan insan lain. Dan seseorang yang tawaduk kerana Allah, nescaya Allah akan mengangkat darjat dan kedudukannya.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi rhm. dalam kitabnya al-Minhaj Sharh Sahih Muslim bin Hajjaj menyatakan bahawa terdapat dua maksud tentang hakikat darjat akan diangkat:

1. Allah akan mengangkat darjatnya di dunia dalam keadaan dirinya tetap bersifat rendah diri. Allah akan menggerakkan hati manusia untuk mengangkat kedudukannya di sisi masyarakat serta memuliakannya.

2. Allah akan mengangkat darjatnya di akhirat kelak disebabkan sifat tawaduknya ketika di dunia. Juga tidak dinafikan kemungkinan orang yang tawaduk akan mendapat kedua-dua kelebihan ini sekali gus.

leburkan-takabbur-1

Tawaduk Sepanjang Masa

Syeikh Soleh al-Munajjid menyebut beberapa situasi yang perlu untuk kita memiliki sifat tawaduk:

1. Tawaduk dalam melaksanakan dan mematuhi perintah Allah serta menjauhi segala larangan-Nya.

2. Tawaduk terhadap kebesaran dan keagungan Allah serta merasakan penuh pengabdian kepada kekuasaan-Nya.

3. Tawaduk dalam berpakaian dan cara berjalan.

4. Tawaduk di hadapan insan lain yang lebih rendah kedudukan daripada dirinya dengan cara bekerja bersama-sama mereka dan tidak keberatan membantu mereka.

5. Tawaduk dalam kehidupan harian bersama isteri dengan cara berusaha membantu isteri dalam menguruskan urusan rumah tangga.

6. Tawaduk dengan anak-anak kecil dengan cara bermain-main dan bersenda gurau dengan mereka.

7. Tawaduk dengan pembantu rumah dan orang gaji.

Wallahu a‘lam.

Sumber: www.islamqa.com

Salehuddin Abu Samah
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Ustaz Salehuddin bin Abu Samah

B.A (Hons.) Syariah, Islamic University of Madinah. Kini bertugas sebagai Assistant Manager, Syariah Department, Bank Islam Malaysia Berhad. Pernah bertalaqqi (menuntut ilmu secara bersemuka) dalam bidang Fiqah, Hadits dan ilmu-ilmu Islam yang lain dengan ulama-ulama terkenal di Masjid Al-Nabawi, Madinah al-Munawwarah. Antara guru yang dikagumi Prof.Dr. Yusuf al-Qaradhowi, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Syeikh Abu Bakar al-Jazairi, al-Syeikh Muhammad Mukhtar al-Syanqiti dan al-Syeikh ‘Atiyyah Muhammad Salim.

Kembali ke atas