Menu

 

A+ A A-

NYALAAN IMAN DALAM HATI SETIAP MUKMIN

IMAN adalah sumber cahaya yang menunjukkan jalan yang lurus kepada manusia. Tanpa cahaya iman, manusia pasti teraba-raba dalam kegelapan dan akhirnya terjerumus ke lubang kebinasaan. Namun ibarat cahaya lilin atau pelita yang sumber tenaganya berasal daripada matahari, apa pula sumber cahaya iman di hati manusia?

Allah s.w.t. menjelaskan dalam ayat 35 surah al-Nur bahawa Dialah yang memberikan cahaya kepada semua makhluk sama ada di langit atau pun bumi. Dialah yang mentadbir dan menyusun perjalanan mereka setiap hari setiap saat. Allah juga menentukan kepada  siapa cahaya hidayahNya diberikan tanpa mengira kedudukan, keturunan atau usia. Seterusnya, Allah menggambarkan hidayah yang diberikan kepada seorang hamba itu adalah sangat besar dan bernilai. Hidayah inilah yang menjadi jalan dan panduan sepanjang kehidupan manusia di dunia ini hingga berjaya meraih syurga di akhirat.

Allah menggambarkan hidayah ini dengan perumpamaan yang sangat menarik dalam firman-Nya dalam surah al-Nur ayat 35. Menurut Allah s.w.t., iman yang dikurniakan  kepada hambaNya ini adalah ibarat sebuah pelita atau lampu. Dan pelita ini pula berada di dalam relung atau disebut dalam ayat ini sebagai misykaat. Bayangkan sebuah lampu atau lilin yang berada di dalam sebuah bekas yang baik, ia dapat mengawal cahaya yang dihasilkan dengan baik. Bagaimana pula jika sebuah mentol menyala diletakkan di kawasan terbuka yang luas, tanpa relung. Sudah tentu cahayanya menjadi malap dan tidak terarah.

Demikian hidayat jika diberikan kepada orang tidak beriman, ia tidak akan memberikan sebarang kesan. Tetapi iman yang berada di dalam relung hati orang Mukmin adalah cahaya ditempatkan di dalam relung yang menambahkan kecerahan cahaya ini.

cahaya iman

Sinar Iman pada Wajah

Tidak cukup dengan itu, Allah juga menggambarkan pelita ini juga mempunyai geluk kaca yang sangat jernih dan bersinar-sinar. Sudah tentu geluk kaca ini membantu memancarkan cahaya pelita ini dengan lebih terang dan jelas, serta jarak pancarannya juga bertambah. Begitu juga keadaannya hidayah yang ditempatkan di hati orang Mukmin. Dengan keyakinan mereka, cahaya iman dapat dilihat dengan jelas pada tutur kata, gerak laku dan budi bahasa yang luhur. Justeru ibarat cahaya lampu yang menerangi kawasan sekeliling, orang Mukmin ini juga memberi manfaat kepada mereka yang berada di sekelilingnya.


cahaya iman 1Sahabat yang beriman menjadi tempat rakan-rakan meminta nasihat dan mengadu nasib. Jiran yang soleh pula menjadi mata dan telinga yang membantu mengawasi keselamatan rumah dan keluarga, dan menjadi pembantu ketika kecemasan. Demikian juga, majikan yang bertakwa membimbing pekerja-pekerjanya untuk tidak mengabaikan ibadah-ibadah harian selain tugasan di tempat kerja.

Bersinarnya cahaya pelita ini juga berpunca daripada bahan bakarnya yang diperbuat daripada bahan yang sangat bermutu, iaitu minyak zaitun. Minyak zaitun ini pula sangat jernih dan bersinar-sinar. Ini kerana minyak ini diperbuat daripada buah-buah zaitun yang pohonnya mendapat cahaya matahari yang cukup.

Sebagaimana dijelaskan dalam ayat di atas, pohon zaitun ini tidak berada di arah barat yang tidak mendapat cahaya ketika terbit matahari. Tidak juga di sebelah timur yang tidak mendapat cahaya matahari ketika terbenamnya matahari. Sebaliknya ia berada di tengah padang pasir atau di atas bukit yang tidak dihalangi oleh sebarang pokok atau bukit hingga ia menerima cahaya matahari yang menjadi sumber tenaga setiap pagi ketika matahari terbit, dan ketika terbenam. Hasilnya, minyak zaitun yang dihasilkan oleh pohon seperti ini mengandungi minyak yang sangat baik dan bermutu.

Demikianlah orang Mukmin yang menerima hidayat Allah. Dengan segala cubaan, halangan dan mehnah yang terpaksa mereka hadapi, menjadikan mereka insan yang tabah, sabar dan berkualiti. Apabila bercakap, dia bertutur dengan tulus, andai diuji dengan fitnah dan tohmah, dia tetap sabar, jika puji, dia tidak pernah lupa untuk bersyukur.

Nikmat Iman tidak Bertepi

Ayat ini juga menyebut tentang “cahaya berlapis cahaya”, ibarat cahaya pelita yang ditambah pula dengan geluk kaca yang jernih dan minyak zaitun bermutu.  Sebahagian mufasir memahami ayat ini sebagai cahaya iman yang Allah kurniakan dalam hati manusia, kemudian ditambah lagi dengan cahaya al-Quran yang menambahkan lagi kecerahan cahaya. Ibarat sebuah bilik yang mempunyai dua buah lampu. Kaca pada lampu-lampu ini pula diperbuat daripada kaca yang berkualiti, dan aliran tenaga elektrik yang mencukupi. Subhanallah... Begitulah hebatnya cahaya iman dan al-Quran yang Allah berikan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.

Perumpamaan yang Allah datangkan antara cahaya demi cahaya yang dinikmati orang Mukmin ini dengan pelita atau lampu yang terang, sama kaedahnya dengan orang yang tidak menerima hidayat Allah. Mereka digambarkan sebagai orang yang menerima kegelapan demi kegelapan akibat kesesatan mereka. (Rujuk SOLUSI edisi 6, ruangan Kiasan, huraian ayat 24 surah al-Nur).

 

Oleh Rohidzir Rais

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7


 

Rohidzir Rais

Lepasan Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah Islamiyyah. Kini berkhidmat sebagai editor dan penulis sepenuh masa di Telaga Biru Sdn. Bhd. Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej al-Azhar, Pulau Pinang. Aktif dan berpengalaman mengendalikan kursus-kursus fardu ain, al-Quran dan bahasa Arab di seluruh Malaysia. Telah berjaya menulis dan menterjemah 30 buah buku dalam pelbagai bidang. Layari blog beliau di www.al-zuhaily.blogspot.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

IMBK1002

  IMBK1002

Kembali ke atas