Menu

 

A+ A A-

HUKUM BERKAHWIN DENGAN WANITA AHLI KITAB

Pendapat Ulama

SAYA pernah bekerja di Perancis. Saya dapati beberapa orang kenalan Muslim saya yang berbangsa Arab berkahwin dengan wanita Kristian. Mereka mengatakan bahawa perkahwinan dengan wanita Kristian ataupun Yahudi adalah halal dalam Islam. Saya begitu terkejut apabila mengetahui hal ini buat pertama kali. Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan:

Dalam masalah pernikahan antara seorang lelaki Muslim dengan wanita Yahudi ataupun Nasrani, atau disebut juga sebagai wanita ahli kitab, terdapat tiga pendapat ulama yang berbeza sebagaimana berikut:

1. Harus menikahi wanita ahli kitab yang berstatus zimmi.

Ini merupakan pendapat jumhur ulama baik salaf mahupun khalaf, sebagaimana yang disebut oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami. Mereka berpendapat bahawa boleh bagi seorang lelaki Muslim bernikah dengan wanita ahli kitab secara mutlak tanpa ada sebarang syarat.

hukum-berkahwin-dgn-wanita-ahli-kitab-1

Antara hujah mereka:

a. Surah al-Maidah ayat 5 yang disebutkan di atas. Ibn Kathir menjelaskan bahawa ayat ini merujuk kepada wanita-wanita yang merdeka (bukan hamba sahaya) dan mampu menjaga kesucian dirinya daripada zina.

b. Perbuatan para sahabat yang mengahwini wanita ahli kitab daripada kalangan ahlu zimmah (orang kafir yang menetap dalam kerajaan Islam dan patuh). Contohnya, Uthman bin Affan yang mengahwini Na’ilah binti al-Farafishah al-Kalbiyah yang beragama Nasrani yang kemudiannya berjaya diislamkannya. Begitu juga Hudzaifah yang mengahwini wanita Yahudi penduduk Mada’in.

Dr. Wahbah menjelaskan bahawa antara hikmah dibolehkan perkahwinan seorang Muslim dengan wanita ahli kitab adalah diharapkan moga wanita tersebut terdorong untuk memeluk Islam.

2. Makruh.

Ini merupakan pendapat sebahagian ulama mazhab Hanafi dan Syafi‘i.

Antara hujah dan alasan mereka:

a. Perintah Umar bin al-Khatab kepada para sahabat supaya menceraikan wanita ahli kitab yang dinikahi.

Beliau berkata: “Aku bimbang seandainya kalian meninggalkan wanita Muslimah dan menikahi wanita yang tidak baik.” (Riwayat al-Baihaqi)

b. Dikhuatiri wanita ahli kitab itu akan memalingkan para suami daripada Islam.

c. Dikhuatiri wanita ahli kitab akan menjerumuskan anak-anak mereka kepada kekafiran atau amalan agama asalnya. Ini kerana ibu ibarat sekolah yang akan memberi pengaruh yang besar kepada anak-anaknya.

3. Haram secara mutlak.

Ini merupakan pendapat sebahagian ulama. Mereka berdalil dengan ucapan Ibn Umar. Beliau pernah ditanya mengenai pernikahan dengan wanita ahli kitab, maka dijawab: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan wanita musyrik bagi orang yang beriman. Dan aku tidak mengetahui sesuatu yang lebih besar (dosanya) berbanding kemusyrikan seorang wanita yang mengucapkan bahawa tuhannya Isa, padahal baginda hanyalah seorang hamba Allah.”

Pendapat Pilihan

Pendapat yang rajih (lebih kuat) dalam masalah ini ialah pendapat yang dipegang oleh jumhur ulama iaitu dihalalkan bagi seorang Muslim untuk mengahwini wanita ahli kitab yang berstatus zimmi. Pendapat ini dipegang oleh ramai sahabat dan tabiin antaranya Uthman, Talhah, Ibn Abbas, Jabir, Huzaifah, Sa‘id bin al-Musayyib, Sa‘id bin Jubair, Hasan, Mujahid, Tawus, Ikrimah, al-Sya’bi, dan ramai lagi yang lain. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran.

hukum-berkahwin-dgn-wanita-ahli-kitab-2

Ahli Kitab Sudah Pupus?

Kalau tidak silap saya, ada ulama yang berpendapat bahawa ahli kitab sudah tidak ada lagi pada zaman sekarang. Apa pandangan ustaz?

Jawapan:

Memang ada ulama yang berpendapat bahawa ahli kitab pada zaman ini sudah tidak ada lagi. Antara hujahnya, kitab mereka sudah tidak suci lagi. Sekali fikir, ada benarnya. Namun kita perlu sedar bahawa tragedi penyelewengan kitab suci mereka sebenarnya sudah terjadi sebelum Nabi Muhammad diutus lagi. Bahkan salah satu hikmah perutusan Baginda adalah untuk menyeru mereka agar meninggalkan ajaran yang telah dipalsukan oleh ulama mereka. Jadi ayat al-Quran yang menyatakan orang Islam boleh berkahwin dengan wanita ahli kitab turun dalam keadaan mereka sememangnya sudah menyelewengkan kitab suci mereka.

Namun saya melihat perlunya kawalan dan peraturan khusus dalam hal ini berdasarkan kemungkinan mudarat yang mungkin berlaku daripada perkahwinan itu antaranya:

1. Orang yang hendak mengahwini wanita ahli kitab mestilah memiliki aqidah yang kuat, memahami ilmu-ilmu syariat dan berakhlak dengan akhlak yang baik. Dengan ini, dia mampu membentengi diri dalam mengemudi bahtera rumah tangganya bersama isteri dan anak-anaknya.

2. Komited untuk membimbing isterinya kepada Islam dan menghalangnya daripada menyelewengkan akidah anak-anaknya.

3. Bakal wanita ahli kitab itu juga mestilah seseorang yang menjaga kesucian dan kehormatan dirinya serta tidak pernah mendedahkan aurat di hadapan laki-laki asing yang bukan mahramnya.

Apabila seorang Muslim dan wanita ahli kitab memenuhi ciri-ciri di atas, maka perkahwinan antara kedua-duanya dibenarkan.

Wallahu a‘lam.

Dr. Hj. Zahazan Mohamed

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas