Menu

 

A+ A A-

TERJEMAHKAN KESYUKURAN DENGAN AQIQAH DAN KORBAN

BULAN Zulhijah sangat istimewa. 10 hari yang pertama bulan tersebut memiliki kelebihan yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain. Setiap ibadah yang dilakukan pada sepuluh hari ini sangat disukai oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang amal saleh padanya lebih Allah cintai daripada (amalan yang dilakukan) pada hari-hari ini, yakni 10 hari pertama bulan Zulhijah.” (Riwayat al-Bukhari)

Salah satu ibadah terbaik yang boleh dilakukan pada bulan ini ialah ibadah korban. Sebahagian masyarakat juga mengambil kesempatan bulan ini juga untuk melaksanakan aqiqah untuk anak-anak mereka. Maka kedua-dua isu tersebut akan dibahas secara beriringan.

Ibadah korban dan aqiqah ialah cara kita menzahirkan kesyukuran kepada Allah. Korban tanda kesyukuran atas sekian banyak nikmat Allah sepanjang tahun. Aqiqah pula sebagai tanda kesyukuran atas anugerah zuriat yang diamanatkan kepada kita. Siapa yang bersyukur atas nikmat yang diterima, nikmat itu akan berkekalan dan diberkati.

terjemahkan-kesyukuran-dgn-aqiqah-dan-korban-1

Antara Korban dan Aqiqah

Mohon ustaz jelaskan perbezaan antara ibadah korban dan aqiqah? Apa hukum kedua-dua ibadah ini?

Dari segi bahasa, korban berasal daripada kalimah qurban yang bermakna pendekatan diri. Dalam kitab-kitab fiqah sering juga digunakan istilah udhiyah, yakni awal siang atau waktu duha untuk mengisyaratkan kepada waktu paling utama melaksanakan ibadah ini.

Dari segi istilah, ibadah korban adalah menyembelih haiwan ternakan pada hari raya Aidiladha dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah) sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah. Demikian definisi Syeikh al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj.

Menurut jumhur ulama termasuk mazhab Syafi‘i, ibadah korban hukumnya sunat muakkad. Manakala menurut mazhab Hanafi, hukumnya wajib bagi setiap Muslim yang bermukim dan memiliki harta melebihi nisab zakat.

Jelas sekali, kita sangat dituntut untuk melaksanakan ibadah korban. Justeru, sangat buruk bagi orang yang tidak putus-putus menerima nikmat Allah, tetapi sengaja tidak ingin melakukan ibadah korban. Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memiliki kelebihan (dalam harta) namun tidak melakukan korban, maka janganlah ia dekat dengan tempat solat kami.” (Riwayat Ibn Majah)

Aqiqah pula bermaksud haiwan yang disembelih setelah kelahiran bayi sebagai tanda kesyukuran. Hukumnya juga sunat muakkad menurut jumhur ulama. Tuntutan aqiqah ditujukan kepada seorang bapa. Jika tidak ada, maka aqiqah boleh dilakukan oleh datuknya menurut mazhab Syafi‘i. Sementara dalam mazhab Maliki dan Hanbali, tidak ada yang boleh melakukan aqiqah melainkan bapa kandung itu sendiri.

Jenis Haiwan

Bagaimana dengan jenis haiwan dan bilangannya yang boleh disembelih untuk korban atau aqiqah?

Para ulama sepakat bahawa haiwan yang sah disembelih untuk ibadah korban dan aqiqah hanyalah kambing, unta, kerbau atau lembu. Selain daripada haiwan yang dinyatakan tidak sah untuk dijadikan korban.

Usia unta itu mesti telah memasuki tahun kelima. Usia kambing dan lembu mesti telah memasuki tahun ketiga dan usia biri-biri jantan terjemahkan-kesyukuran-dgn-aqiqah-dan-korban-3 mesti telah memasuki usia tahun kedua. Keadaan tubuh haiwan tersebut mestilah sempurna. Haiwan yang cacat tidak sah dijadikan korban ataupun aqiqah. Begitu juga haiwan yang sedang hamil tidak sah dijadikan korban ataupun aqiqah menurut mazhab Syafi‘i.

Dalam korban, seekor kambing hanya cukup untuk satu orang. Sementara seekor lembu atau unta boleh dikongsikan dengan tujuh orang. Berkaitan aqiqah, paling afdal adalah menyembelih dua ekor kambing untuk bayi lelaki dan satu ekor kambing untuk bayi perempuan. Jika seseorang menyembelih seekor kambing sahaja untuk bayi lelakinya pun sudah memadai.

Waktu Korban dan Aqiqah

Bilakah masa yang paling tepat untuk kita melaksanakan ibadah korban dan aqiqah?

Para ulama sepakat bahawa masa yang paling baik untuk melaksanakan ibadah korban adalah pada hari raya Aidiladha (10 Zulhijah) sejurus selepas solat hari raya. Sesiapa yang menyembelih korban sebelum solat, maka tidak sah ibadah korbannya. Walaupun begitu, haiwan sembelihan tersebut tetap halal dimakan.

Menurut mazhab Syafi‘i, ibadah korban masih boleh dilakukan pada hari 11, 12 dan 13 Zulhijah. Adapun menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali, ibadah korban berakhir dengan terbenamnya matahari pada hari 12 Zulhijah. Maknanya, pada hari 13 Zulhijah sudah tidak dibolehkan lagi untuk melakukan korban.

Menurut saya, sebaiknya kita elakkan daripada menyembelih korban pada 13 Zulhijah. Bersegeralah melakukannya pada 10 atau 11 Zulhijah agar ibadah kita sah tanpa khilaf.

Berkaitan aqiqah pula, sebaik-baiknya ia dilakukan pada hari ketujuh dari hari kelahiran bayi. Dan hari kelahirannya dikira hari pertama. Jika bayi itu lahir pada malam hari, maka perkiraannya bermula pada hari keesokannya.

terjemahkan-kesyukuran-dgn-aqiqah-dan-korban-2

Pengagihan Daging Korban dan Aqiqah

Bagaimana cara yang terbaik untuk mengagihkan daging korban dan aqiqah?

Lebih utama kita menyedekahkan kesemua daging korban kepada fakir miskin kecuali beberapa potong sahaja untuk dimakan sebagai berkat. Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah menyedekahkan semua daging korbannya kecuali sepotong hati. Baginda memasaknya lalu memakannya. Sesiapa yang ingin mengambil daging korbannya untuk keluarga, maka sebaik-baiknya tidak melebihi satu pertiga. Satu pertiga lainnya untuk fakir miskin dan satu pertiga lagi untuk menjamu kerabat, jiran dan rakan-rakan.

Daging korban yang diberikan kepada fakir miskin itu mesti dalam keadaan mentah. Tujuannya agar mereka boleh memanfaatkan daging itu sesuai dengan keperluan mereka sama ada dimakan, dijual atau lain-lain. Adapun daging yang dihadiahkan kepada bukan orang miskin, maka dianjurkan dalam keadaan sudah masak dan siap dimakan agar tidak dijual belikan.

Adapun daging aqiqah, maka ia sebaik-baik nya dimasak dengan rempah ratus yang manis-manis, lalu dihantarkan kepada fakir miskin. Baik juga jika dibuatkan majlis kenduri, lalu dijemput fakir miskin dan tetamu untuk menyantap selera.

Wallahu a‘lam.

Ustaz Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas