Menu

 

A+ A A-

SYURGA MENGGODA

Memilih ‘Azimah

SAYA mendapati golongan ahli sufi lebih cenderung mengambil pendekatan yang ketat dalam beribadah. Mereka sengaja tidak mengambil rukhsah dalam situasi yang dibenarkan. Tidakkah ini dikatakan keterlaluan dalam beribadat?

Jawapan:

Asasnya, ibadat dilihat dari kaca mata sufi sebagai peluang keemasan untuk mereka hampir (taqarrub) dengan Allah s.w.t., menuntut reda, ikhlas dan kasih sayang-Nya. Peluang tersebut dihayati sebaik mungkin untuk mencapai tujuan yang lebih besar berbanding ibadat itu sendiri yang berfungsi sebagai perantara.

Ibadat pada pandangan mereka adalah sekadar pekerjaan kehambaan untuk meraih kedudukan mulia iaitu hamba Allah. Sifat hamba adalah tidak memilih. Yang ada hanya satu jalan atau satu cara sahaja (dalam kes ini, mereka hanya memandang hukum ibadat hanya yang asal). Seorang sufi pernah berkata: “Pilihlah untuk tidak memilih.” Maknanya, walaupun ibadat itu bukan tujuan, namun ia perlu dikerjakan dengan sebaik mungkin kerana yang lebih besar adalah hasil daripada ibadat yang dikerjakan.

Dalam erti kata lain, ibadat perlu diperkemas untuk memastikan natijahnya yang baik dan sempurna di sisi Allah. Inilah paksi utama sufi. Bertitik tolak daripada fikrah inilah mereka mengambil pendekatan asal walaupun diberikan kelonggaran.

Mungkin di sini kita boleh fahami kaedah sufi masyhur yang mengatakan “gugur kepayahan dalam ibadat”. Seorang yang sakit sanggup menelan ubat yang pahit kerana kesannya nanti ialah kesembuhan. Demikianlah juga halnya jika boleh diibaratkan dengan cara sufi. Pada peringkat orang awam, melaksanakan hukum asal atau ibadat yang tidak dikenakan rukhsah itu adalah satu kepayahan dan beban. Namun bagi ahli sufi persoalan payah atau berat dalam beribadat sudah tidak berbangkit lagi kerana ibadat mereka dalam apa-apa keadaan pun tetap mudah dan senang dikendalikan kerana pandang (syuhud) mereka adalah kesan daripada ibadat tersebut. Selagi mana dianggap sukar atau payah, maka selama itu kesan manis beribadat tidak akan dikecapi. Apatah lagi untuk mencapai reda Allah.

Ini tercetus daripada tujuan yang besar (mencapai kasih sayang Allah) yang digagaskan sekali gus menjadi motivasi mereka dalam beribadat pada tahap kehambaan yang khusus (‘ubudiyyah). Dari sudut fiqah pun, cara mereka ini tidak dianggap salah kerana seorang mukalaf diberi hak memilih sama ada untuk memilih hukum asal (‘azimah) ataupun mengambil kelonggaran (rukhsah).

Justeru bagi sufi, ibadat itu adalah “terminal” untuk bermunajat dengan Allah dan melakukan ‘azimah itu satu kepuasan. Pada masa yang sama, mereka tidak memandang negatif golongan yang mengambil rukhsah. Mereka selesa dalam ibadat mereka. Justeru kita tidak sepatutnya menganggap mereka bersikap keterlaluan dalam ibadat.

syurga-menggoda-1

Beribadat Kerana Syurga Neraka

Bolehkah kita beribadat dengan niat di hati untuk masuk syurga dan bebas daripada neraka?

Jawapan:

Tidak salah jika beranggapan begitu sebab ibadat akan diambil kira dan dinilai untuk memasukkan seseorang itu ke dalam syurga. Namun rahmat Allah mengatasi kuantiti ibadat serta kualitinya. Ertinya di sini, bukanlah ibadat itu yang semata-mata yang memasukkan seorang ke syurga, namun kehendak Allah yang memasukkan seseorang hamba ke dalam syurga. Pandangan yang sempurna adalah beribadat kerana Allah s.w.t., ia sekali gus akan memasukkan kita ke dalam syurga, tanpa kita sibuk memikirkannya.

Dalam satu hadis riwayat Imam al-Bukhari r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seseorang itu selamanya tidak akan masuk syurga dengan amalannya!” Para sahabat r.a. bertanya: “Walaupun kamu?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Walaupun aku, melainkan dengan limpah kurnia rahmat Allah kepadaku.”

Kiasnya mudah, jika kita ingin masuk sekolah kita perlu beruniform. Namun uniform itu bukanlah semata-mata syarat untuk mewajibkan kita dapat memasuki sekolah. Ada juga kes yang mana murid dibuang sekolah dalam keadaan lengkap beruniform dan ada pula yang diterima masuk ke sekolah dalam keadaan tidak beruniform!

Dalam kitab Tabaqat al-Sufiyyah, Sidi Syeikh al-Munawi meriwayatkan bahawa ulama hadis Sufyan al-Thawri pernah bertanya Rabi‘ah al-‘Adawiyah “Bagaimana hakikat imanmu?” Jawab al-‘Adawiyah: “Aku mengabdikan diriku pada-Nya, bukan takut akan neraka-Nya, bukan pula mengharap syurga-Nya. Kalaulah demikian, aku seperti pekerja yang menyembah atau mengabdi kepada-Nya kerana sesuatu, bukan benar-benar kerana-Nya!”

Disebutkan oleh al-Kalabazi dalam karya agungnya al-Ta‘arruf li Mazhab Ahl al-Tasawwuf: “Sekelompok manusia datang mengunjungi seorang ‘abidah (ahli ibadat perempuan) lalu bertanyakan khabarnya: “Bagaimana keadaanmu?” Dia menjawab: “Demi Allah, aku tidak mengetahui penderitaan yang sedang aku rasai. Aku rasa aku sedang digoda oleh syurga, hingga aku tertarik padanya. Namun aku seolah-olah merasai pada waktu itu, Allah sedang mencelaku!”

Abdul Muhsien Sulaiman

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Ustaz Abdul Muhsien Bin Sulaiman

Felo Akademik di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Mendapat pendidikan di Ma’had Muhammadi Lilbanin, Madrasah Rahmaniyyah Pasir Mas dan Universiti Malaya. Tumpuan penulisan beliau kebanyakannya dalam bidang Pendidikan Islam dan Tasawwuf Islam.

Kembali ke atas