Menu

 

A+ A A-

KALIMAH MULIA DI SKRIN BIMBIT DALAM TANDAS

SAYA suka mempamerkan perkataan bismillah, nama Allah dan ayat-ayat al-Quran di skrin telefon bimbit saya. Apa hukumnya jika saya masuk ke dalam tandas dengan membawa telefon bimbit saya dalam keadaan terpapar di skrin telefon bimbit dengan tulisan-tulisan seperti yang saya nyatakan?

RINGKASNYA: Haram memaparkan tulisan-tulisan tersebut di dalam tandas.

HUJAH: Sesungguhnya para ulama hadis dalam kalangan ahli sunan (ulama penyusun kitab-kitab hadis seperti Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam al-Tirmizi, Imam Abu Daud, Imam Ibn Majah dan Imam al-Nasa’i) ada meriwayatkan bahawa Nabi apabila mahu masuk ke tandas, Baginda akan menanggalkan cincinnya yang terukir di atasnya kalimah “Muhammad Rasulullah”. Daripada hadis ini, para ulama menyebut beberapa adab yang perlu dijaga oleh seseorang apabila masuk ke tandas. Antaranya dilarang daripada membawa sesuatu yang tertulis kalimah Allah ke dalam tandas. Hal ini kerana tandas merupakan tempat yang kotor, maka syarak mewajibkan kita memuliakan kalimah Allah dengan tidak membawanya ke tempat tempat seperti ini.

kalimah-mulia-dlm-telefon-1

HURAIAN: Mengikut asas hukum dalam agama Islam, kita wajib menjaga kalimah-kalimah yang mulia dalam agama kita seperti nama Allah, ayat-ayat al-Quran dan sebagainya daripada tempat yang kotor, jijik dan ada najis padanya. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Demikianlah perintah Allah. Sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, sesungguhnya perbuatan itu timbul daripada ketakwaan hati.” (Surah al Hajj 22: 32) Dalam ayat yang lain, Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Demikianlah perintah Allah dan sesiapa yang mengagungkan segala perkara yang terhormat di sisi Allah, maka itu adalah lebih baik baginya di sisi Tuhannya.” (Surah al-Hajj 22: 30)

TAMBAHAN: Namun demikian, jika terpaksa membawa sesuatu yang tertulis kalimah Allah ke dalam tandas disebabkan tiada tempat untuk menyimpannya dan takut hilang barang tersebut, maka tidak salah membawanya sama ada wang kertas, duit syiling, sijil atau sebarang kertas yang tertulis kalimah Allah.

RUMUSAN: Manakala telefon bimbit yang terpapar di skrin perkataan bismillah, nama Allah dan ayat-ayat al-Quran atau sebagainya, maka hukumnya sama seperti di atas iaitu haram memaparkan tulisan-tulisan tersebut di dalam tandas. Adalah lebih baik bagi seseorang yang memaparkan tulisan-tulisan seperti di atas agar mematikan telefon bimbitnya atau menukarkannya kepada paparan yang lain. Apabila tidak terzahir perkataan bismillah, nama Allah dan ayat-ayat al-Quran atau sebagainya di skrin telefon bimbit, hukumnya harus iaitu dibolehkan untuk dibawa masuk ke tandas. Hukumnya sama seperti dibolehkan seseorang membawa cakera padat, kaset, pendrive atau sebagainya yang ada di dalamnya ayat al-Quran ke dalam tandas.

(Sumber: http://www.islam-qa.com/ar/)

Menuntut ilmu agama hanya membaca buku

Saya adalah seorang pelajar universiti yang tidak mengambil jurusan pengajian Islam. Namun demikian, saya sangat suka akan ilmu agama. Saya jahil dalam bidang agama, tetapi saya suka membeli buku-buku agama. Dalam mempelajari ilmu agama, ilmu apakah yang wajib saya pelajari terlebih dahulu dan apakah adab-adab yang sewajarnya ada pada seorang penuntut ilmu agama?

MUKADIMAH: Pertama, tahniah kerana saudara suka kepada ilmu agama. Itu adalah satu petanda yang baik buat saudara.

RINGKASNYA: Wajib bagi setiap mukalaf (seorang Muslim yang sudah dipertanggungjawabkan dengan tanggungjawab agama) untuk menuntut ilmu tentang urusan agamanya pada perkara yang melibatkan urusan ibadah, muamalat (urusan yang melibatkan hubungan sesama manusia), ilmu aqidah dan sebagainya yang berkaitan dengan ilmu fardu ain (wajib atas setiap individu Muslim).

kalimah-mulia-dlm-telefon-2

HURAIAN: Sesungguhnya ilmu tersebut merupakan sebaik-baik jalan untuk menghampirkan diri kepada Allah Taala dan merupakan jalan menuju ke syurga serta merupakan warisan tinggalan para anbia. Sesiapa yang keluar kepadanya, sesungguhnya dia sedang berada di jalan Allah sehinggalah dia pulang ke rumahnya. Hal ini jelas dinyatakan oleh para ulama hadis yang telah meriwayatkan hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang menyatakan perkara ini. Bagi sesiapa yang menelusuri jalan menuntut ilmu ini, sewajarnya dia melazimi adab-adab yang dinyatakan oleh para alim ulama demi merealisasikan matlamatnya dalam menuntut ilmu di jalan Allah.

Antara adab-adab tersebut ialah:

  1.           Ikhlas dalam menuntut ilmu.
  2.           Sabar dan tabah sepanjang perjalanan menuntut ilmu.
  3.           Pilihlah guru yang thiqah (dipercayai) dan berakhlak mulia.
  4.           Elakkan daripada berguru dengan kitab sahaja.
  5.           Amalkan sifat tawaduk (merendah diri).

Sebenarnya, banyak lagi adab yang perlu dijaga dalam perjalanan menuntut ilmu. Ini hanyalah sebahagian sahaja. Amalkanlah adab-adab tersebut, dan bersungguh-sungguhlah dalam menuntut ilmu. Mohonlah kepada Allah agar mengurniakan taufik dan panduan dalam perjalanan menuntut ilmu di jalan-Nya.

(Sumber: http://www.islam-qa.com/ar/)

Ustaz Salahuddin bin Abu Samah

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2


Ustaz Salehuddin bin Abu Samah

B.A (Hons.) Syariah, Islamic University of Madinah. Kini bertugas sebagai Assistant Manager, Syariah Department, Bank Islam Malaysia Berhad. Pernah bertalaqqi (menuntut ilmu secara bersemuka) dalam bidang Fiqah, Hadits dan ilmu-ilmu Islam yang lain dengan ulama-ulama terkenal di Masjid Al-Nabawi, Madinah al-Munawwarah. Antara guru yang dikagumi Prof.Dr. Yusuf al-Qaradhowi, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Syeikh Abu Bakar al-Jazairi, al-Syeikh Muhammad Mukhtar al-Syanqiti dan al-Syeikh ‘Atiyyah Muhammad Salim.

Kembali ke atas