Menu

 

A+ A A-

SOLAT JUMAAT PADA HARI RAYA: WAJIB ATAU TIDAK?

PADA tahun lepas, hari raya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat. Kemudian ada orang yang memberitahu saya bahawa jika kita sudah solat sunat hari raya berjemaah, maka tidak wajib lagi ke atas kita untuk solat Jumaat. Benarkah kewajiban solat Jumaat pada hari itu gugur bagi orang yang menghadiri solat hari raya? Adakah terdapat hadis yang menyentuh hal ini?

RINGKASNYA: Memang terdapat pandangan ulama yang mengatakan demikian. Bagaimanapun majoriti ulama berpendapat bahawa kewajipan solat Jumaat dalam situasi itu tetap wajib.

HURAIAN:

Fasa 1: Perbincangan Tentang Hadis-hadis Berkaitan

Sememangnya ada hadis berkaitan hal ini. Setelah mengkaji hadis-hadis berkenaan, saya melihat kesemuanya terbuka untuk perbincangan yang cukup panjang.

Hadis Pertama

Hadis terkuat dalam isu ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan lain-lain melalui jalur Baqiyyah bin al-Walid, daripada Syu’bah, daripada Mughirah bin Miqsam, daripada Abdul Aziz bin Rufai’, daripada Abu Salih, daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermksud: “Telah berhimpun dua ‘id (hari raya) pada hari ini. Sesiapa yang mahu, maka (solat hari raya) ini telah memadai daripada (kewajipan) solat Jumaat. Sementara kami (Nabi s.a.w.) akan melaksanakan solat Jumaat.”

Perbincangan: Hadis ini disahihkan oleh beberapa orang ulama hadis, antaranya al-Hakim dalam al-Mustadrak dan beberapa orang ulama hadis semasa. Namun jika kita teliti dengan lebih mendalam, sebenarnya hadis ini mengandungi beberapa ‘illat yang melemahkannya. Tiada siapa yang meriwayatkan hadis ini daripada Syu‘bah selain Baqiyyah bin al-Walid sahaja. Ramai ulama melemahkannya dalam periwayatan. Jika beliau seorang sahaja yang meriwayatkan satu-satu hadis (tafarrud), tanpa ada periwayatan hadis yang serupa daripada perawi lain, maka kebanyakan ahli hadis tidak bersedia menerima hadisnya.

Selain faktor tafarrud, para ulama mendapati riwayat Baqiyyah ini bercanggah dengan riwayat yang lebih kuat. Sufyan al-Thawri dan Hammad yang hafalannya melebihi Baqiyyah meriwayatkan hadis ini daripada Abdul Aziz bin Rufai‘ secara mursal. Oleh sebab itu, Imam al-Darwqutni mensahihkan riwayat yang mursal ini dan melemahkan riwayat Baqiyyah yang muttasil (bersambung).

Rumusan: Dengan demikian, hadis ini tidak cukup kuat untuk dijadikan hujah. Kelemahan hadis ini dinyatakan secara jelas oleh al-Hafiz Ibn Abd al-Bar dan secara isyarat oleh al-Bazzar dan al- Baihaqi.

Hadis Kedua

Hadis sahih berkenaan perkara ini berasal dari perbuatan Abdullah bin al-Zubair. Abu Daud meriwayatkan daripada Al-A‘masy, daripada ‘Ata bin Abi Rabah: “Ibnu al- Zubair melakukan solat hari raya pada pagi hari Jumaat bersama kami. Kemudian (setelah tiba waktu Zuhur) kami keluar untuk melaksanakan Jumaat, namun beliau tidak keluar bersama kami. Maka kami pun solat tanpanya. Apabila kami ceritakan hal ini kepada Ibn Abbas, beliau berkata: “Dia (Abdullah bin al-Zubair) menepati sunah!”

Perbincangan: Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ menilai sanad hadis ini sebagai hasan, bahkan sahih menepati syarat Imam Muslim. Beliau juga mengatakan bahawa ucapan Ibn Abbas “menepati sunnah” mengandungi hukum marfu’, maknanya ia sunnah Nabi s.a.w. Lafaz “sunnah” yang diucapkan seorang sahabat Nabi s.a.w. biasanya bermakna sunnah Nabi s.a.w. yang sebenar. Namun, tetap terbuka juga kepada kemungkinan bahawa mereka memaksudkan “sunnah khulafa’ al-rasyidin”, lebih-lebih lagi jika diucapkan oleh seorang sahabat junior seperti Ibn Abbas.

Berkata Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya, “Ucapan Ibnu Abbas ‘menepati sunnah’, boleh jadi bermaksud sunnah Nabi s.a.w., boleh jadi juga beliau bermaksud sunnah Abu Bakar, Umar, Uthman atau Ali.”

Rumusan: Dalam kes ini, kemungkinan ia sunnah khulafa’ al-rasyidin lebih besar. Justifikasinya, apabila ulasan Ibn Abbas ini disampaikan kepada Ibn al-Zubair pula, beliau berkata: “Aku melihat Umar bin al-Khattab melakukan seperti itu apabila berhimpun solat Jumaat dan ‘id.” Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah melalui jalur Wahb bin Kisan daripada Ibn al-Zubair.

jumaat-pada-hari-raya-1

Fasa 2: Perbincangan Tentang Pandangan Ulama

Pandangan Jumhur Fuqaha

Jumhur (majoriti) fuqaha tetap mewajibkan solat Jumaat meskipun seseorang telah melaksanakan solat ‘id. Ini pendapat muktamad dalam mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi‘i. Hujah-hujah jumhur sangat kuat antaranya:

1. Kewajiban solat Jumaat ditetapkan melalui nas al-Quran yang qat’i (surah al-Jumu‘ah 62: 9), maka ia tidak boleh ditinggalkan melainkan dengan dalil yang sangat kuat juga.

2. Hadis-hadis yang berkenaan dengan perkara ini dilihat tidak cukup kuat untuk menasakhkan (memansuhkan) ataupun mentakhsiskan (memperincikan) kandungan ayat tersebut.

Pandangan Imam al-Syafi‘i.

Namun begitu, Imam al-Syafi‘i berpendapat bahawa kewajiban solat Jumaat gugur bagi orang yang datang dari luar bandar (ahl ‘awali). Pada dasarnya mereka sememangnya tidak diwajibkan menghadiri solat Jumaat. Apabila mereka datang untuk solat ‘id bersama imam pada pagi hari, maka diizinkan bagi mereka untuk meninggalkan solat Jumaat pada tengah hari. Perkara ini difatwakan oleh Sayidina Uthman bin Affan sebagaimana yang terakam dalam Sahih al-Bukhari.

Pandangan Mazhab Hambali

Mazhab Hanbali berpendapat bahawa orang yang telah menghadiri solat ‘id tidak lagi wajib menghadiri solat Jumaat, sama ada penduduk bandar ataupun luar bandar. Mereka melihat perkara ini sebagai salah satu ‘uzur yang membolehkan seseorang tidak menghadiri solat Jumaat sepertimana sakit dan lainnya. Para ulama sepakat bahawa ‘uzur akan mengecualikan seseorang daripada menghadiri solat Jumaat. Menurut mazhab Hanbali lagi, perintah mendirikan solat Jumaat tetap meliputi orang yang melakukan solat ’id. Cuma, orang itu diizinkan untuk tidak menghadiri solat Jumaat jika ia menghendakinya. Jika dia menghadiri solat Jumaat juga, maka perbuatan itu lebih disukai, sebagai menghindari khilaf (perpecahan) dalam kalangan umat. Demikian penjelasan al-Bahuti dalam Kashshaf al-Qina’. Mazhab Hanbali tambah menegaskan bahawa hukum ini (diizinkan tidak ke solat Jumaat) hanya untuk selain imam sahaja. Seorang imam tetap berkewajiban mendirikan solat Jumaat. Jika bilangan jemaah yang hadir untuk solat Jumaat tidak mencukupi, maka cukup dilaksanakan solat Zuhur bersama mereka.

RUMUSAN AKHIR: Mana-mana pendapat pun boleh diraikan. Bagaimanapun pendapat jumhur lebih kuat.

Wallahu a‘lam.

Ustaz Umar Muhammad Noor
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas