Menu

 

A+ A A-

HUKUM MENGHADIRI JEMPUTAN WALIMAH

Bolehkah kita sengaja tidak menghadiri kenduri perkahwinan yang dijemput? Ketidakhadiran saya bukannya merugikan pun, bahkan menjimatkan majlis.

JAWAPAN :Tidak boleh. Apabila seseorang itu telah menerima jemputan, maka dia wajib menghadirinya.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila ada antara kamu yang dijemput untuk menghadiri walimah, maka hendaklah dia memenuhi jemputan tersebut.” (Muttafaqun ‘alaih)

Walimah Ada Kemungkaran

SOALAN :Jika kita mengetahui sejak awal bahawa dalam majlis tersebut akan diadakan perkara mungkar seperti sesi karaoke di khalayak ramai, adakah kita tetap wajib menghadiri walimah tersebut?

JAWAPAN :Jika dengan kehadirannya, dia mampu untuk mencegah dan menghalang perbuatan mungkar yang ada dalam majlis walimah yang diadakan, hukumnya adalah wajib ke atasnya untuk hadir.

Jika dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa, maka dia tidak wajib menghadirinya bahkan haram ke atasnya untuk menghadiri walimah tersebut. Hal ini kerana kehadirannya itu seolah-olah dia meredai perkara-perkara mungkar yang wujud dalam majlis walimah yang diadakan.

Banyak Jemputan Dalam Satu Masa

SOALAN :Bagaimanakah jika seseorang itu menerima banyak jemputan walimah, adakah dia wajib memenuhi semua jemputan tersebut?

JAWAPAN :Jika dia mampu untuk memenuhi semua undangan tersebut maka hendaklah dia tunaikan. Usaha itu sangat baik dan terpuji. Namun demikian, jika dia tidak mampu memenuhi semua undangan, dia hendaklah berusaha untuk memenuhi jemputan walimah yang paling awal diterimanya. Dalam masa yang sama, dia meminta maaf kepada yang lain atas ketidakmampuannya untuk memenuhi jemputan mereka.

Jika dia menerima jemputan walimah yang secara kebetulannya walimah tersebut diadakan pada waktu yang sama, maka sewajarnya dia mendahulukan jemputan walimah daripada saudara yang terdekat dengannya, kemudian diikuti dengan jiran tetangganya.

Jika Berpuasa

1HMJWSOALAN :Bagaimana pula jika seseorang itu berpuasa, adakah dia tetap wajib memenuhi jemputan walimah yang berlangsung pada siang hari?

JAWAPAN :Dalam masalah ini, kita perlu bezakan antara dua keadaan:

1.Puasa Wajib

Jika puasa tersebut ialah puasa wajib seperti puasa qada Ramadan atau puasa nazar, maka hukumnya tidak harus baginya untuk berbuka.

Jika dia menyatakan keuzuran untuk tidak hadir dan keuzurannya itu diterima, dia boleh untuk tidak memenuhi jemputan tersebut.

Namun demikian, dia boleh menghadiri walimah yang diadakan dan hendaklah dia menyatakan bahawa dia sedang berpuasa serta hendaklah dia mendoakan pengantin, tuan rumah serta ahli keluarganya.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila ada antara kamu yang dijemput untuk makan dalam suatu walimah sedangkan dia berpuasa, maka hendaklah dia menyatakan: ‘Saya sedang berpuasa.”’ (Riwayat Muslim)

2.Puasa Sunat

Jika dia berpuasa sunat, maka wajib ke atasnya untuk memenuhi undangan walimah.

Jika dia merasakan bahawa tuan rumah boleh berasa hati kerana dia tidak mengecap makanan, maka adalah lebih baik untuk dia tidak meneruskan puasa sunatnya.

Jika tuan rumah tidak mengambil kisah, maka dia boleh meneruskan puasa sunatnya.

Seperkara lagi, sekiranya dia menyatakan keuzuran untuk tidak hadir dan keuzurannya itu diterima, dia boleh untuk tidak memenuhi jemputan tersebut.

Satu perkara yang penting adalah disunatkan ke atas orang yang menghadiri walimah agar berdoa untuk pengantin, tuan rumah serta ahli keluarganya.

Dalam hadis dirakamkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila ada antara kamu yang dijemput untuk menghadiri sesuatu walimah, maka hendaklah dia memenuhi jemputan tersebut. Jika dia berpuasa pada ketika itu, maka hendaklah dia mendoakan keberkatan dan pengampunan Allah untuk orang yang menjemputnya. Jika dia tidak berpuasa, maka hendaklah dia menjamah makanan yang telah dihidangkan.” (Riwayat Muslim)

Wallahu a‘lam.

Ustaz Salehuddin Abu Samah 

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Ustaz Salehuddin bin Abu Samah

B.A (Hons.) Syariah, Islamic University of Madinah. Kini bertugas sebagai Assistant Manager, Syariah Department, Bank Islam Malaysia Berhad. Pernah bertalaqqi (menuntut ilmu secara bersemuka) dalam bidang Fiqah, Hadits dan ilmu-ilmu Islam yang lain dengan ulama-ulama terkenal di Masjid Al-Nabawi, Madinah al-Munawwarah. Antara guru yang dikagumi Prof.Dr. Yusuf al-Qaradhowi, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Syeikh Abu Bakar al-Jazairi, al-Syeikh Muhammad Mukhtar al-Syanqiti dan al-Syeikh ‘Atiyyah Muhammad Salim.

Kembali ke atas