FARDHU AIN
- Ditulis oleh Ustaz Syed Mohd Fadzli bin Syed Ahmad al-Yamani
- Kategori Fardhu Ain
- Read 6543 times
Wuduk menantu lelaki vs ibu mertua
Adakah batal wuduk menantu lelaki yang bersentuhan dengan ibu mentuanya?
Jawapan: Jalinan mentua dan menantu tidak putus buat selama-lamanya. Dalam Islam disebut muhrim muabbad. Dalam keadaan itu, tidak akan batal wuduk menantu lelaki walaupun dia sudah berpisah dengan isterinya sama ada bercerai ataupun meninggal dunia. Ibu mertua tetap ibu kepada lelaki tadi.
Tangkal al-Quran
Apa hukum menggunakan tangkal yang mengandungi ayat al-Quran sebagai pendinding?
Jawapan: Hukumnya harus kerana ianya salah satu cara perubatan dalam Islam yang digunakan sebagai asbab dan usaha untuk perlindungan. Tetapi kalau dia yakin dengan tangkal tersebut yang mendatangkan manfaat maka haram kerana wujudnya elemen syirik terhadap Allah s.w.t. Setiap orang yang beriman wajib berkeyakinan sepenuhnya bahawa manfaat dan mudarat hanya di dalam genggaman Allah s.w.t.
Hal ini perlu diambil berat kerana perkara di atas terdapat larangan daripada Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang menggantungkan tangkal dan azimat, maka Allah tidak akan menyempurnakan baginya (hajatnya), dan sesiapa yang menggantung cengkerang siput (jenis tangkal), maka semoga Allah tidak mententeramkan baginya (dengan siput itu).” (Riwayat Ahmad, al-Hakim dan Ibn Hibban).
Berdasarkan hadis di atas dan beberapa lagi hadis yang seumpamanya maka sesetengah ulama telah melarang penggunaan tangkal sama ada yang menggunakan ayat al-Quran ataupun bukan, berdasarkan kaedah sadd al-Zara’i (menutup pintu keburukan). Hal ini dikhuatiri sesiapa yang memakai tangkal daripada ayat al-Quran sudah tentu dia akan menggantungkan tangkal lain pula. Orang yang melihatnya tidak akan mengetahui sama ada tangkal itu al-Quran atau tidak. Berdasarkan hujah itu, mengguna dan mempercayai tangkal adalah dilarang.
Umat Islam adalah dinasihatkan agar berhati-hati dan menjauhi daripada terjatuh ke dalam kancah syirik semasa menggunakan tangkal tersebut.
Puasa tetapi tidak Solat
Seorang Munslim yang berpuasa tetapi tidak solat, apakah status puasanya? Adakah puasanya diterima atau tidak?
Jawapan: Puasa tetap sah tetapi belum tentu diterima oleh Allah. Walau bagaimanapun jika seseorang meninggalkan solat kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, maka ia murtad dari agama dengan sepakat (ijmak) para ulama. Orang yang murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.
Hal ini berbeza jika dia meninggalkan solat kerana malas ataupun cuai, maka jumhur ulama berpandangan dia fasiq, yakni tidaklah menjadi kafir tetapi telah melakukan dosa yang amat besar.
Syeikh ‘Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya: “Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib dia mengulanginya tetapi dari segi penerimaan Allah terhadapnya, maka hadis Nabi s.a.w. menunjukkan dia tidak diterima.”
Hadis yang dimaksudkan oleh Syeikh ‘Atiyah itu ialah sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam dia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya).” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.).
Jika disebabkan akhlak mazmumah (dusta dan sebagainya) puasa ditolak oleh Allah meskipun secara zahirnya sah puasanya, maka lebih-lebih lagilah dengan meninggalkan solat fardu yang dosanya amatlah besar, berkali kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah itu.
Hari sunat dan makruh kahwin
Adakah terdapat hari-hari yang disunatkan berkahwin dan hari-hari yang makruh?
Jawapan: Hukum asal perkahwinan adalah harus. Namun kahwin juga adalah satu sunnah Rasulullah s.a.w. yang pada keadaan tertentu boleh dihukumkan wajib, sunat dan makruh, kadang kala ianya haram kalau tidak benar-benar berhajatkan kepada kahwin.
Sunat berkahwin ketika seseorang itu sederhana dari segi kemampuan. Makruh jika tidak ada sebarang persediaan untuk berkahwin dan tidak berkemampuan tenaga yang selayaknya sebagai suami. Manakala wajib kahwin kalau seseorang itu sudah mampu dan tidak boleh mengawal nafsu seksnya.
Tentang bila masa yang sesuai untuk kahwin, tiada ketentuan dan mereka boleh berkahwin bila-bila masa, cuma elakkan berkahwin bulan Syaaban kerana dikhuatiri terlepas nafsu seksnya pada musim Ramadan. Seelok-eloknya bulan Syawal kerana di saat ini ramai yang melangsungkan perkahwinan.
Zakat pendapatan
Adakah harus memberi zakat hasil pendapatan kepada ahli keluarga terdekat yang layak mendapat zakat?
Jawapan: Dalam kalangan ulama terdapat dua hukum mengenai zakat pendapatan. Bagi mazhab Syafi i tidak wajib mengeluarkan zakat tersebut tetapi bagi mazhab lain adalah wajib. Mengenai mengeluarkan zakat tersebut kepada ahli keluarga terdekat yang secara lahirnya layak dan cukup syarat yang tentukan adalah hukumnya harus. Tetapi kalau seorang itu mahu mengeluarkan zakat kepada anak, isteri, ibu bapanya sendiri sedangkan mereka itu berada di bawah tanggungannya adalah dilarang. Pemberian kepada mereka dikira sebagai nafkah bukan zakat. Jadi, zakatnya tidak sah.
Ubat mata ketika berpuasa
Apakah hukum menggunakan ubat salap pada mata ketika berpuasa? Berdasarkan pengalaman saya, ubat yang dibubuh pada mata seolah-olah melalui rongga hidung dan seterusnya akan memasuki tekak. Kadang kala terasa kepahitan ubat yang diletakkan di mata di dalam tekak. Adakah batal puasa saya padahal saya perlu menggunakan ubat mata secara berterusan.
Jawapan: Hukum menggunakan ubat itu adalah boleh dan tidak menyebabkan terbatalnya puasa kerana mata bukanlah termasuk dalam kategori rongga yang terbuka. Walaupun terasa kepahitan ubat, hakikatnya dia bukan makan atau minum.
Sebaliknya kalau dimasukkan sesuatu ke rongga terbuka dengan sengaja maka akan boleh membatalkan puasa. Yang dimaksudkan dengan rongga terbuka ialah dua telinga, dua lubang hidung, mulut serta kemaluan depan dan belakang.
Bercelak ketika berpuasa
Apakah hukum menggunakan celak mata yang berserbuk ketika berpuasa? Adakah diharuskan atau penggunaan celak berserbuk boleh membatalkan puasa?
Jawapan: Orang yang berpuasa tidak di larang bercelak, jadi puasanya adalah sah tetapi makruh kalau bercelak dengan niat untuk menarik perhatian orang lain terhadapnya.
Seelok-eloknya penggunaan celak bagi lelaki ialah ketika hendak tidur. Imam al-Bukhari pernah berkata dalam kitab sahihnya yang antara lain bermaksud: “Anas, al-Hasan, dan Ibrahim tidaklah menilai bermasalah untuk bercelak ketika puasa.”
Riwayat di atas dikuatkan oleh Abdur Razak dengan menyambungkan antara lain bermaksud: “Tidak mengapa bercelak untuk orang yang berpuasa.” (Fathul Bari, 6/180, Maktabah Syamilah).
Ustaz Fadzli Al-Yamani
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8
Ustaz Syed Mohd Fadzli bin Syed Ahmad al-Yamani
Dilahirkan di Kuala Ketil, Kedah, mendapat pendidikan awal di Pondok Penanti Bukit Mertajam, dan melanjutkan pengajian di Karachi, Pakistan sebelum ke Cittagong, Bangladesh. Selepas itu menyambung pengajian di Madrasah al-Hudaidah, Yaman selama 3 tahun. Kembali ke tanah air pada akhir 1993 dan menjadi tenaga pengajar selama setahun di Madrasah Tahfiz Seksyen 3, Shah Alam, sebelum menubuhkan sendiri Madrasah al-Yamani sebagai pengasas, sekaligus sebagai tenaga pengajar. Di samping itu menjadi penceramah bebas dalam bidang Feqah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.