Menu

 

A+ A A-

PERCAYA UNTUK DIPERCAYAI

“PERCAYALAH pada saya…” Itulah ungkapan yang sering kita gunakan tatkala untuk meraih kepercayaan seseorang kepada kita. Amanah sangat berkait rapat dengan nilai kepercayaan. Dari segi bahasa arabnya, amanah membawa maksud tenteram, aman, terselamat dan harmonis. Amanah juga boleh kita fahami sebagai menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang dengan melaksanakan tuntutan atau janji yang telah dibuat.

Melaksanakan amanah amatlah berat sebagaimana dalam firman Allah dalam ayat 72 surah al-Ahzab, yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

percaya-utk-dipercayai-1

Prinsip amanah pada hari ini semakin hilang: baik dalam persahabatan; sesama ahli keluarga; sebagai pekerja dan majikan; berjual beli; dan sebagai hamba-Nya. Banyak kes-kes pecah amanah yang berlaku. Inilah penyakit rohani yang berpunca daripada sikap tamak dan mementingkan diri sendiri. Amanah disifatkan seperti membina sebuah bangunan. Yang mana mengambil masa yang lama untuk disiapkan, tetapi untuk merobohkannya hanyalah sekelip mata.

Nisbahnya: berhabis ayat untuk meraih kepercayaan seseorang, tetapi setelah diperolehi, nafsu pula menguasai diri, sehingga terus hilang amanah yang diberi. Yang lebih payah daripada itu ialah apabila untuk mendapatkan kembali kepercayaan yang telah hilang.

Nabi s.a.w. ketika ditanya bagaimana amanah boleh hilang, Baginda s.a.w. menjawab, yang bermaksud, “Apabila sesuatu tanggungjawab itu diserahkan kepada yang tidak layak memikulnya.”

percaya-utk-dipercayai-2

Hari ini tugas dan tanggungjawab yang dipikul hanya untuk merasa hebat, bangga dan glamor. Pangkat yang diberikan pula berdasarkan konsep pilih kasih. Niat sebenarnya untuk memberi, menerima dan memikul amanah sudah tersesat jauh. Kalau inilah yang kita terus jadikan amalan, tunggu sajalah saat keruntuhannya.

Dalam seharian kita sering membuat janji, tapi ramai yang gagal menunaikan janji. Mari para remaja sekalian, kita renung satu kisah menarik ini. Kisah ini berlaku di tanah arab ketika zaman jahiliah iaitu mengenai contoh sifat orang arab yang setia pada janji. Satu hari, seorang yang bernama Hani’b Mas’ud Asy-syibani telah berjanji kepada Nukman (orang yang diburu pemerintah) untuk melindungi harta yang diamanahkan kepadanya daripada dirampas.

Sebagai bukti untuk memegang amanah menjaga harta tersebut, Hani’b telah berjanji untuk mempertaruhkan nyawanya sebagai ganti sekiranya harta itu jatuh ke tangan pemerintah. Walaupun belum beragama Islam, namun sikap memegang amanah sangat tinggi. Begitulah mahalnya harga sebuah amanah. Janji yang dibuat dikotakan sebaiknya.

Berjanji adalah ibarat sebuah agama. Apabila kita telah berjanji maka kita umpamakan seperti berpegang kepada agama. Tetapi jika kita mungkir janji, samalah seperti kita berpaling daripada agama. Orang yang berpaling daripada agama adalah munafik. Moga kita semua tidak tergolong dalam kumpulan tersebut.

percaya-utk-dipercayai-3

Di akhirat kelak, kita akan dipersoalkan tentang amanah. Maka bersungguh dan jadilah seorang yang adil dalam melaksanakan setiap amanah seperti firman-Nya dalam surah an-Nisa’ ayat 58, yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”.  


Siti Rohani Surani
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2


Siti Rohani Surani

Bertugas selama enam tahun sebagai DJ Radio IKiM FM. Merupakan penyampai radio bagi slot Warna Pagi Ikim FM dari pukul 6 hingga 10 pagi. Pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengacara bagi program realiti Astro Oasis iaitu Ustazah Pilihan yang bermula pada 6 Oktober 2011.

Kembali ke atas