Menu

 

A+ A A-

HUKUM BERWUDUK MENGGUNAKAN AIR PAIP

AL-KISAH, apabila beberapa buah kampung di sebuah daerah pedalaman menerima bekalan air bersih melalui paip yang dipasang oleh kerajaan, beberapa orang daripada penduduknya berasa musykil sama ada air seperti itu boleh digunakan untuk mengambil wuduk atau sebaliknya. Maklum sajalah sebelum itu mereka tidak pernah mendengar hukum berkenaan. Malah paip air itu sendiri merupakan perkara baru bagi mereka. Sebelum itu masalah berkenaan tidak pernah timbul.

Mereka sama ada menggunakan telaga atau sungai untuk bersuci dan berwuduk. Mereka benar-benar tahu sejak dari umur kanak-kanak lagi air seperti itu boleh digunakan bagi tujuan berkenaan kerana imam dan lebai sering memberitahu hal seperti itu dalam kelas pengajian agama di madrasah dan surau di kampung-kampung berkenaan.

Kepada siapa lagi untuk bertanya hal demikian kalau tidak kepada imam dan lebai di kampung berkenaan. Oleh kerana imam ke bandar ada urusan, persoalan yang baru timbul itu dikemukakan kepada lebai. Terkejut juga lebai mendengar persoalan seperti itu. Kerana beliau sendiri tidak pernah terfikir mengenainya. Baginya, sebelum soalan itu dibangkitkan apa bezanya di antara air paip dengan air telaga dan sungai? Lagipun pihak kerajaan selalu kata air paip itu lebih bersih.

Sebagai seorang pemimpin agama tempatan jawapan jangan diberi begitu sahaja. Nanti orang kurang yakin kalau tidak bersandarkan kepada kitab. Paling meyakinkan lagi ialah kitab kuning. Kerana bagi masyarakat kampung,kitab berkenaan makin berautoriti. Kerana begitulah sifatnya Islam itu seperti mana yang diajar oleh para guru sejak zaman berzaman.

Tujuh jenis air

Masalah tentang wuduk mudah dicari. Dalam kitab-kitab fiqah ia berada di helaian pertama dalam bab Taharah. Si bertanya berasa ada sesuatu yang tak kena bila melihat dahi lebai berkerut sewaktu membaca kitab yang diambilnya dari dalam almari di rumahnya itu. Tidak lama kemudian lebai bersuara dengan rasa terkejut seolah-olah berhadapan dengan sesuatu yang baru dan tak pernah terfikir tentangnya.

“Tak, tak boleh,” kata lebai dengan suara nyaring dan tegas. Lebai mengulangi kata-katanya:

”Tak boleh, tak boleh. Air paip tak termasuk dalam tujuh jenis air yang boleh dibuat bersuci.” Beliau lalu membilang satu persatu jenis-jenis air berkenaan selepas membaca sepotong ayat dalam kitab berkenaan yang berbunyi: “Bahawasanya air yang boleh dibuat bersuci itu ada tujuh jenis air. Air-air tersebut adalah air telaga, air sungai, air laut, air mata air, air salji, air embun dan air hujan.

Memang tak salah lagi fatwa lebai itu. Dia seorang yang mahir membaca kitab sama ada dalam tulisan jawi mahupun Arab. Lagipun dia seorang yang sangat lebai dan ikhlas. Tak mungkin dia memutarbelitkan hukum kerana dia tahu akibatnya masuk neraka. Sejak kecil lagi dia terdidik dengan pendidikan agama. Dia juga lulus menengah di sebuah sekolah agama/Arab yang terkenal di ibu negeri. Gagal memberi jawapan tepat sama ada cerita di atas benar-benar berlaku atau sebaliknya tidak begitu penting. Moral yang hendak disampaikan adalah ada kalanya orang agama gagal memberi jawapan yang tepat kepada persoalan semasa.

Sebabnya, mereka berpegang sepenuhnya dengan segala apa yang terdapat dalam kitab tanpa menganalisanya berasaskan realiti semasa. Memang kitab-kitab Fiqah menyebut bahawa air yang boleh dibuat bersuci itu ada tujuh jenis, seperti mana yang disebut oleh lebai tadi. Bermakna, tiada air yang selain itu boleh digunakan bagi tujuan berkenaan. Kerana apabila dibilang satu persatu maksudnya yang selain daripada itu tidak termasuk. Demikian kesimpulan yang diajar oleh Usul Fiqh. Namun penjenisan itu tidak berdasarkan alQuran atau Sunnah.

Ia sekadar natijah ijtihad para fuqaha pada waktu kitab-kitab itu ditulis. Ijtihad berkenaan, antara lain, berasaskan realiti semasa di Timur Tengah pada waktu itu. Apa yang sebenarnya berlaku ialah alQuran dan Sunnah menyatakan tentang beberapa sifat dan kriteria air yang boleh dibuat bersuci. Di kalangan para fuqaha, air seperti itu disebut sebagai air mutlak. Kemudian para fuqaha klasik melakukan aplikasi teori itu dalam realiti yang ada. Maka oleh kerana di seluruh negara Islam pada waktu itu ada hanya tujuh sumber air bersih (air mutlak) maka tujuh sumber itulah yang disebut.

Zaman-zaman yang berlalu kemudiannya merubah realiti hidup. Di negara kita ini terdapat banyak sumber air bersih, atau tepatnya air mutlak. Maka tentulah jenis air yang boleh dibuat bersuci lebih daripada tujuh. Itu pun sesudah dipotong satu, iaitu air salji. Di sini salji tidak turun, tidak seperti di Iraq, Jordan dan Syria.

Maksudnya,  teori yang sama diaplikasikan dalam realiti yang berbeza, tentu jawapannya juga berbeza. Demikianlah hasil ijtihad yang terdapat dalam kitab-kitab Fiqah itu tidak bersifat kekal. Ia perlu berubah mengikut perubahan realiti hidup. Kerana itulah para fuqaha mengatakan, ”Fatwa akan berubah mengikut perubahan zaman.” Apa yang kekal dan tidak akan berubah ialah teori atau kaedah yang diterangkan oleh alQuran dan alSunnah.

Itulah sebenarnya hukum yang sifatnya universal dan kekal sepanjang zaman. Sedangkan pendapat para fuqaha dalam kitab-kitab itu hanyalah aplikasi hukum yang perlu berubah. Namun bagi lebai dalam cerita di atas, antara hukum dan aplikasinya sukar sekali untuk dipisahkan. Kerana sejak dari dulu dia belajar menerima semuanya sekali sebagai kebenaran yang mutlak. Hidupnya di zaman ini, tetapi mentalitinya tersangkut di zaman Imam Nawawi.¤

 

Prof Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana

_______________________________________________________________________

Prof Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid

Dilahirkan di Kelantan. Mendapat pendidikan awal di Maa’had Muhammadi Kota Bharu, Kelantan sebelum ke Akademi Islam Universiti Malaya. Mendapat sarjana dari Universiti al-Azhar dalam bidang Syariah, dan University of Kent, England dalam bidang Pengajian Asia Tenggara, dan Ph.D dari Universiti Malaya dalam bidang Syariah. Pernah menjawat Dekan Fakulti Syariah Universiti Malaya dan Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Kini sebagai Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau telah menghasilkan 23 buah buku dan menyumbang artikel dalam 22 buah buku.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Artikel berkaitan: FARDHU AIN »
Kembali ke atas