Menu

 

A+ A A-

KISAH MINYAK ATAR DAN KAYU SUGI

KADANG-kadang, sejurus sebelum mengangkat takbir untuk sembahyang berjemaah atau Jumaat atau hari raya, seseorang mencalit tangan atau lengan anda dengan sejenis bauan yang dikenali dengan minyak atar. Baunya semerbak sekali, namun kadang-kadang memeningkan kepala.

Rakan yang mencuit itu biasanya orang dakwah yang lebai sekali dan patut dihormati. Beliau mempunyai niat yang ikhlas untuk berkongsi pahala dengan anda. Kerana keikhlasan itu anda senyum kepadanya menandakan terima kasih. Walaupun pada hakikatnya anda rasa terganggu oleh bau minyak berkenaan yang tidak menyenangkan itu.

Asas kepada tindakan ikhlas dan berani pendakwah kita itu ialah hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang menggesa umat Islam berhias dan memakai bau-bauan ketika bersembahyang. Sebaliknya kalau ada bau yang tidak menyenangkan, misalnya kerana makan bawang atau sebagainya anda dinasihatkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. supaya tidak ke masjid dan elok bersembahyang di rumah sahaja.

Minyak Atar

1Kisah Minyak Atar dan Kayu Sugi imagesDalam bahasa Arab, bau-bauan biasa disebut dengan perkataan ‘atar. Berasaskan kepada pengertian bahasa inilah segala minyak bau atau perfume disebut sebagai atar. Berasaskan kepada perkembangan industri, jenis minyak bau yang dikenali sekarang sebagai minyak atar menjadi begitu sinonim sekali dengan nama tersebut. Lama kelamaan perkataan ‘atar itu sudah menjadi jenama khusus kepada satu jenis produk. Misalnya ‘atar Salma, atau ‘atar Hajar al-Aswad dan sebagainya.

Dalam kalangan kita di Malaysia kita sebut “minyak atar”. Samalah dengan suatu masa dulu jenama Colgate seolah-olah mewakili istilah “ubat gigi” secara umum. Maka masa kita kecil dulu, kalau ibu kata gosok gigi kena pakai Colgate, maksudnya gunakan ubat gigi. Begitu juga kalau kata ibu, pakai sabun Lux, maksudnya pakai sabun mandi.

Begitulah rakan pendakwah kita tadi faham bahawa yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. ialah bauan yang berjenama ‘atar itu. Maksudnya, sunat memakai minyak wangi berjenama ‘atar.

Sedangkan minyak wangi jenis lain tidak sunat dipakai kerana ia bukan bernama ‘atar. Sedangkan maksud ‘atar itu umum sekali, iaitu apa saja yang berbau sedap. Di pasaran sekarang banyak bahan-bahan seperti ini, baik di negara-negara barat mahupun di negara-negara Islam sendiri, sama ada yang mengandungi alkohol atau sebaliknya. Baunya sedap dan menyenangkan sekali. Sedangkan apa yang dimaksudkan oleh rakan kita tadi itu bukan ‘atar lagi kerana baunya tidak menyenangkan.

Pada peringkat awal, termasuk sewaktu kitab-kitab fiqah ditulis, ‘atar seperti ‘atar salma itulah yang ada di pasaran. Pada waktu itu baunya sedap sekali. Tetapi dengan perkembangan industri minyak wangi berbagai-bagai jenama baru dikeluarkan. Minyak atar klasik itu baunya sudah tidak harum lagi berbanding dengan bau minyak wangi yang lain, malah kurang menyenangkan kerana baunya sangat janggal.

Berasaskan kepada kefahaman yang mendalam, iaitu fiqah maksudnya yang sunat dipakai itu sekarang bukanlah ‘atar salma, misalnya, tetapi minyak wangi yang berbau benar-benar enak dan menyenangkan penghidunya. Apa jenamanya tak kiralah. Yang pentingnya adalah berbau sedap dan menyenangkan.

Mungkin berbangkit soal alkohol. Tetapi sekarang soal ini tidak serumit dulu lagi. Berasaskan kepada perkembangan industri sekarang sudah banyak minyak wangi yang tidak menggunakan alkohol yang baunya tidak kurang sedap sama seperti minyak wangi beralkohol.

4Kisah Minyak Atar dan Kayu Sugi images

Kayu Sugi

Rakan kita itu, sebelum mengangkat takbir ihram tiba-tiba sahaja mencabut sebatang kayu daripada sakunya secepat kilat, persis seorang pahlawan Melayu menghunus kerisnya. Dengan kayu itu beliau bersugi dengan pantas sekali. Nasib baik beliau tidak menghulurkan kayu sugi itu kepada anda, bagi tujuan berkongsi pahala. Kalau tidak anda akan mengucapkan terima kasih sekali lagi atas ke ikhlasannya.

Rakan anda ini sangat warak orangnya. Beliau mengikut hadis Rasulullah s.a.w. yang menyebut, kalau bukan kerana takut hingga membebankan umatnya, tentu sekali Baginda memerintahkan semua umat Islam bersugi setiap kali sebelum sembahyang.

Persoalannya mengapa perbuatan bersugi itu dilakukan sewaktu hendak mengangkat takbir? Mengapa tidak di rumah sebelum ke masjid? Mungkin secara literal hadis berkenaan bermaksud sebaik sahaja akan bersembahyang. Tetapi apa pentafsirannya yang sebenar? Wuduk juga boleh diambil di rumah.

Selain itu mengapa pula menggunakan kayu itu? Memang rasanya cukup menyegarkan. Malah hampir sama dengan rasa ubat gigi. Tetapi tidakkah industri kebersihan mulut sudah begitu maju sekarang? Berbagai jenama dan reka bentuk berus gigi ada di pasaran. Ubat giginya pula cukup berkesan.

Fiqah mengatakan maksud Rasulullah s.a.w. lebih kepada keperluan membersihkan gigi dan mulut. Jangan sampai bersembahyang dengan mulut busuk, apa lagi kalau berjemaah di masjid atau surau. Soal jarak waktunya kira munasabah dan cukup sesuai sudahlah. Kerana maksud sebaik sahaja akan bersembahyang itu tidak semestinya sewaktu hendak mengangkat takbir.

Begitulah juga dengan alat yang digunakan. Kayu sugi itulah yang paling sesuai dan berkesan pada zaman Rasulullah s.a.w. bagi tujuan kebersihan gigi dan mulut. Tetapi selepas berabad-abad lamanya industri berkenaan telah mengalami kemajuan dan perubahan pesat tentu sekali banyak alternatif yang boleh diguna pakai bagi objektif yang sama.

Kedudukannya tidak jauh beza dengan menggunakan kereta sebagai ganti kuda, unta atau keldai bagi tujuan pengangkutan. Begitulah juga dengan menggunakan senapang automatik, kereta kebal, meriam, roket dan sebagainya sebagai ganti kepada pedang, panah, kuda dan sebagainya yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat Baginda di medan perang.

Semua ini termasuk dalam konsep perubahan pendekatan kerana perubahan zaman dan keadaan. Sedangkan objektif dan tujuan tetap dikekalkan kerana itulah kehendak wahyu yang sebenarnya.

Kegagalan untuk melakukan perubahan seperti ini bukan sahaja di lihat sebagai gagal menyesuaikan diri dengan perubahan zaman, tetapi juga menunjukkan Islam sebagai agama dan cara hidup yang gagal memberi alternatif dalam merealisasikan ajarannya dalam masyarakat manusia di setiap zaman dan keadaan.¤

 

Oleh Dato' Dr Mahmood Zuhdi

Sumber artikel daripada majalah solusi Isu 3

 


 

 

 

Last modified onWednesday, 07 October 2015 12:04
Prof Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid

Dilahirkan di Kelantan. Mendapat pendidikan awal di Maa’had Muhammadi Kota Bharu, Kelantan sebelum ke Akademi Islam Universiti Malaya. Mendapat sarjana dari Universiti al-Azhar dalam bidang Syariah, dan University of Kent, England dalam bidang Pengajian Asia Tenggara, dan Ph.D dari Universiti Malaya dalam bidang Syariah. Pernah menjawat Dekan Fakulti Syariah Universiti Malaya dan Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Kini sebagai Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau telah menghasilkan 23 buah buku dan menyumbang artikel dalam 22 buah buku.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Artikel berkaitan: « TENANG APABILA MEMAAFKAN
Kembali ke atas