Menu

 

A+ A A-

MAKAN SETALAM DENGAN TIGA JARI

SEWAKTU kami berada di Mina untuk melontar jamrah, iaitu salah satu keperluan mengerjakan haji, hidangan disediakan di dalam talam untuk dimakan bersama. Sebelum itu, sewaktu berada di Makkah hidangan seperti itu tidak pernah saya lihat. Kerana biasanya, untuk makan sama ada kami masak sendiri atau membelinya di kedai.

Bagi saya, itu pertama kali saya temui hidangan seperti itu. Di Malaysia saya tidak pernah temui. Mungkin pada waktu itu (sekitar tahun 1970) belum ada cara makan begitu di negara kita. Sekurang-kurangnya saya tidak pernah bergaul dengan orang Arab Saudi sebelum datang ke Makkah.

Makan Setalam

Memang saya bergaul rapat dengan guru saya, Syeikh Badran dan isteri beliau, yang saya panggil Mimi sewaktu saya belajar di Nilam Puri, Kelantan. Namun mereka tidak pernah mengajak saya makan di dalam talam seperti itu. Saya juga tidak pernah melihat mereka makan dalam hidangan seperti itu, sama ada antara mereka berdua ataupun dengan rakan-rakan mereka yang juga merupakan guru bantuan al-Azhar untuk pusat pengajian Islam berkenaan.

Hidangan yang dihidang di dalam talam di Mina ini sungguh memecahkan selera. Nasi minyak berlauk kambing masakan Arab. Sewaktu di Makkah, saya sudah makan nasi seperti itu di rumah Syeikh Daud di Ajyad. Beliau kawan mertua saya. Pada waktu itu beliau mengajar di Masjidilharam. Ingatan kepada nasi minyak di rumah Syeikh Daud datang kembali ke benak saya apabila berhadapan dengan hidangan di Mina itu.

Ayah mertua saya makan setalam dengan tiga orang lain yang sebelum itu sama-sama bermuzakarah dengan beliau. Satu-satunya orang asal Melayu yang menjadi rakyat Arab Saudi. Dua lagi orang Indonesia yang saya agak para ulama. Kerana mereka mengambil bahagian aktif dalam muzakarah buat memenuhi masa lapang di Mina itu.

Batuk-Batuk

Saya makan setalam dengan Pak Sim (singkatan Kasim) dari Kelantan yang sudah agak tua umurnya. Dua orang lagi bersama kami ialah orang Indonesia. Agaknya anak jemaah ulama Indonesia itu barangkali. Masa itu udara di Makkah dan Mina agak sejuk. Ramai yang mengalami batuk-batuk, lantaran perubahan udara dan cuaca.

Pak Sim dan dua orang Indonesia yang makan setalam dengan saya itu juga batuk-batuk. Saya agak kecewa kerana makan setalam dengan mereka bertiga. Kalau boleh saya mahu makan setalam dengan orang lebih muda, sihat dan bersih. Melihat cara mereka batuk dan bunyi kahak dari dalam kerongkong mereka, menjadikan selera saya yang tadinya memuncak dengan tiba-tiba menjunam turun.

Saya sebenarnya bukan seorang yang mudah berasa jijik terhadap sesuatu. Meskipun kurang selesa dengan batuk-batuk orang yang tidak berbudaya bersih itu, saya tetap boleh menjamah makanan berkenaan serentak dengan mereka bertiga.

Kami mula membahagi-bahagikan nasi dan lauk dalam talam itu kepada empat longgok. Masing-masing dapat satu longgok. Tetapi kerana tongkol lauk kambing itu besar dan hanya ada dua sahaja kami terpaksa berkongsi seperti dalam hidangan biasa. Masing-masing mencubit bahagian yang boleh dicubit daripada tongkol kambing itu untuk disuap ke mulut masing-masing.

Demi keberkatan

Meskipun nasi di dalam talam itu terbahagi kepada empat longgok, namun sempadan di antara longgok-longgok itu tidaklah memisahkan sangat. Nasi dari setiap longgok berkenaan masih boleh menyeberang kepada longgok lain apabila ada pergerakan yang agak kuat sedikit, misalnya apabila seseorang menarik daging dari tongkol lauk berkenaan dengan kuat sedikit.

Nasi yang tumpah sewaktu disuap ke mulut juga boleh menyeberang ke longgok lain. Saya
dapat melihat dengan jelas ada beberapa biji nasi yang terburai keluar dari mulut Pak Sim yang disuap sewaktu beliau batuk-batuk kecil tumpah ke longgok saya. Nasib baik ia tidak sampai ke bahagian tengah.

Kerana itu saya masih boleh mengelak daripada termakan biji nasi Pak Sim yang tertumpah itu. Meskipun saya berasa tidak begitu senang dengan keadaan berkenaan tetapi saya boleh tahan lagi, terutama apabila mengingatkan kata-kata orang yang berpengetahuan agama bahawa pada perkongsian makanan itu ada keberkatan.

Apa yang sangat mengganggu perasaan saya ialah apabila menyedari kuah gulai dari yang melejuh dalam longgok dua orang Indonesia itu mengalir perlahan-lahan ke dalam longgok saya dan Pak Sim. Ia agak menjijikkan, terutama apabila melihat tangan mereka yang agak berlumuran dengan kuah gulai itu. Saya tidak tahan lagi dan rasa hendak muntah. Tetapi oleh kerana selera saya baik, saya boleh lupakan saja semuanya itu. Namun saya tidak terus makan lagi dengan alasan sudah kenyang.

Pulut Durian

Entah mengapa ingatan saya kembali secepat kilat kepada cerita yang saya dengar sewaktu saya masih belajar di Maahad Muhammadi Kota Bharu, lama sebelum itu. Ceritanya mengenai dua orang makan pulut durian dalam pasu yang sama untuk merebut gelaran orang paling tidak jijik. Sewaktu makan masing-masing melakukan apa saja untuk menjadikan yang satu lagi itu jijik. Ia sangat menjijikkan sekali.

Pada masa yang sama juga saya teringat kepada hadis-hadis yang menyebut Baginda Rasulullah s.a.w. makan setalam dengan para sahabat Baginda dengan menggunakan tiga jari sahaja sambil lutut sebelah kanannya diangkat ke atas. Maksudnya makan setalam itu sunah Baginda Rasulullah s.a.w.

Saya mula rasa serba salah kerana berasa jijik dengan Pak Sim dan dua orang Indonesia itu. Apatah lagi apabila saya melihat mereka yang makan dalam talam yang satu lagi itu, termasuk mertua saya sendiri, begitu berselera sekali. Apakah saya tidak mampu untuk menghayati sunah Rasulullah?

Dalam kesibukan mengerjakan haji, peristiwa itu dilupakan dengan begitu sahaja. Apalagi pada pagi esoknya kami pulang ke Makkah berdasarkan kaedah Nafar Awal. Malah selera saya terhadap nasi minyak pulih kembali apabila saya dan isteri ke Madinah dan singgah makan nasi minyak berlauk ikan segar goring di Rabigh, iaitu satu kawasan tepi pantai.

Apabila kembali ke Mesir, maksud saya ke al-Azhar bagi menyudahkan kursus sarjana saya dalam bidang Fiqah Perbandingan, saya mula terdedah dengan secara lebih serius dengan isu-isu tajdid. Melalui perbincangan di dalam kelas dan juga pembacaan sendiri saya dapat faham apa yang biasa dimakan oleh Rasulullah s.a.w. ialah buah tamar dan susu. Biasanya Baginda makan tiga biji tamar dan semangkuk (kub) susu.

Makan dengan Tiga Jari

Fahamlah saya pada waktu itu bahawa yang terdapat di dalam talam Rasulullah s.a.w. itu bukannya pulut durian ala Kelantan yang digaul dengan tangan sampai masuk ke celah-celah jari. Bukan juga laksa Penang yang digaul dengan sudu dan garpu dalam kuah yang melimpah. Mungkin juga bukan nasi minyak seperti dalam hidangan yang saya makan bersama Pak Sim dan dua orang Indonesia di Mina itu. Sungguh berbeza sekali.

Sementara makan dengan menggunakan tiga jari sambil mengangkat lutut ke atas itu sebenarnya menggambarkan bahawa soal makan bukanlah suatu perkara yang sangat penting. Ia lebih merupakan hal sampingan sahaja dalam hidup seorang Muslim yang bermutu tinggi. Munasabah sekali bila yang dimakan hanyalah buah tamar dan kadarnya pula lebih kurang tiga biji sahaja, maka yang diperlukan hanyalah tiga jari sahaja. Tetapi kalau yang dimakan itu sepasu pulut durian atau sepinggan nasi kerabu atau semangkuk laksa, soal tiga jari tidak lagi berbangkit. Pertamanya kerana ia bertentangan dengan semangat makan sedikit, dan keduanya pula ia menyebabkan lambat selesai dan menghabiskan waktu yang lama.

Rupa-rupanya apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. tidak boleh dilihat pada bentuk dan rupa luaran sahaja tetapi juga pada maksud dan tujuannya sekali. Al-Syeikh al-Jerjani pernah menulis sebuah buku yang berjudul Hikmat al-Tasyri’ wa Falsafatuh, iaitu mengenai rahsia di sebalik hukum yang ada. Di Maahad Muhammadi Kota Bharu, kami diajar buku ini. Kata para guru, ia sebuah buku yang baik. Di al-Azhar, kami membaca buku karangan al-Imam al-Syatibi yang berjudul al-Muafaqat Fi Usul al-Ahkam. Sebahagian daripada isinya memperkatakan tentang objektif di sebalik apa saja ketentuan syariah. Wallahu a’lam. ¤

 

Prof Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5

________________________________________________________________________

Prof Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid

Dilahirkan di Kelantan. Mendapat pendidikan awal di Maa’had Muhammadi Kota Bharu, Kelantan sebelum ke Akademi Islam Universiti Malaya. Mendapat sarjana dari Universiti al-Azhar dalam bidang Syariah, dan University of Kent, England dalam bidang Pengajian Asia Tenggara, dan Ph.D dari Universiti Malaya dalam bidang Syariah. Pernah menjawat Dekan Fakulti Syariah Universiti Malaya dan Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Kini sebagai Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau telah menghasilkan 23 buah buku dan menyumbang artikel dalam 22 buah buku.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas