Menu

 

A+ A A-

WUDUK KEBAL

LERAIKAN kemelut fiqah dan toleransi bermazhab

Pada tahun 1970 saya pergi menunaikan haji. Pada waktu itu tambahan awal kepada Masjid al-Haram sedang dibina. Tempat melontar di Mina sudah dibesarkan sedikit tetapi belum berlapis seperti sekarang. Masjid Nabawi di Madinah belum dibuat tambahan seperti yang ada sekarang. Para jemaah tidaklah seramai pada hari ini.

Begitupun kesesakan sudah mula terasa. Untuk sembahyang waktu tidak ada masalah. Tetapi untuk bersembahyang Jumaat ada masalah sedikit. Pada Jumaat paling hampir dengan hari Wuquf kesesakan benar-benar dirasakan. Saya gagal masuk ke dalam masjid kerana agak terlewat pulang ke penginapan. Akhirnya terpaksa bersembahyang di hadapan penginapan di Misfalah kerana jemaah telah melimpah sampai ke situ.

 Antara Lelaki dan Wanita

Pada waktu itu pembahagian ruangan di antara lelaki dan perempuan belum berlaku. Tidak seperti hari ini. Kami anak-beranak menghadapi masalah bukan sahaja sewaktu tawaf tetapi juga sewaktu bersembahyang. Sewaktu melakukan tawaf biasa saja saya bersentuh dengan orang perempuan, sama ada dari Iran atau Turki atau Afrika. Malah pernah terjadi sewaktu saya sedang sembahyang seorang perempuan Afrika memijak tangan saya yang sedang sujud.

Pada waktu itu saya sedang belajar di Universiti al-Azhar untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Syariah dalam pengkhususan fiqah perbandingan. Isteri saya juga belajar di Universiti al-Azhar untuk mendapat Ijazah yang sama dalam pengkhususan Fiqah dan Usul. Sebagai siswazah bidang Syariah kami faham tentang hukum dan perbezaan pendapat para fuqaha mengenainya.

Begitu juga bapa mertua saya seorang Timbalan Mufti bagi Negeri Kelantan. Kami suami isteri membuat keputusan untuk mengikut sahaja nasihat beliau dalam semua urusan haji yang sedang kami lakukan itu, kerana tentu sekali beliau lebih arif. Malah beliau pernah tinggal lama di Makkah sewaktu belajar dahulu.

Paling berbangkit sekali ialah masalah batal wuduk. Namun belum apa-apa, iaitu pada hari pertama saya dan isteri sampai ke Makkah bapa mertua saya sudah memberi nasihat.

Katanya, kami perlu ambil wuduk kebal. Meskipun pada mulanya agak hairan dengan istilah “kebal” yang digunakan, namun kami cepat faham maksudnya wuduk berasaskan mazhab bukan Syafii yang berpendapat persentuhan antara lelaki dan perempuan tidak membatalkan wuduk. Kata ayah mertua saya itu, untuk mengamalkan hukum seperti itu perlu wuduknya diambil mengikut mazhab berkenaan.

Pada waktu itu pandangan seperti itu belum diamalkan oleh jemaah Malaysia di Makkah. Saya dapati ramai yang merungut kerana terpaksa berkali-kali pergi mengambil wuduk kerana tersentuh dengan perempuan Afrika atau Turki atau Iran. Memang itulah fatwa yang ada dalam mazhab Syafii. Menerima hakikat ini, mertua saya tidak menguar-uarkan sangat masalah wuduk kebal ini. Kata beliau, kita amalkan untuk diri kita sahaja dan tak payah mempengaruhi orang lain. Nanti timbul masalah pula.

Mencari Fatwa

Beberapa lama selepas itu idea tentang wuduk kebal itu makin berkembang. Mungkin keadaan di Kota Makkah semakin sesak dan soal persentuhan dengan perempuan bukan orang Timur menjadi masalah. Walau bagaimana pun fatwa rasmi belum berubah. Pihak Lembaga Tabung Haji sendiri belum mengambil apa-apa langkah.

Polemik juga kadang-kadangnya berlaku. Tetapi akhirnya penerimaan terhadap idea seperti itu semakin meluas dan boleh dikatakan hampir diterima oleh semua orang. Namun polemik kemudiannya berubah daripada persoalan boleh atau tidak boleh kepada apa asasnya boleh. Ramai yang keberatan menerima hakikat hukum berkenaan dicedok daripada mazhab lain.

Bagi mereka ia perlu berasaskan kepada mazhab Syafii juga. Paling bising dan sibuk ialah para ahli hokum kita di Malaysia, terutama sekali yang terlibat dengan Tabung Haji. Pencarian pun bermula. Tugasnya satu, iaitu mendapatkan pandangan dalam mazhab Syafii yang mengatakan bahawa persentuhan antara lelaki dan perempuan tidak membatalkan wuduk.

Akhir sekali, dengan kecekapan ahli akademik di universiti, pandangan seperti itu ditemui. Ia merupakan pandangan yang dianggap janggal dalam mazhab Syafii. Bagi orang akademik seperti saya, penemuan seperti ini sangat remeh. Ia tidak cukup signifikan dari segi ilmiahnya. Tetapi bagi para ahli hukum dalam masyarakat kita ia merupakan penemuan yang sangat besar.

Kerana tanpa bersandarkan kepada mazhab Syafii belum tentu mana-mana hukum yang difatwakan boleh diterima oleh semua orang dalam negara kita ini. Tabung Haji berasa cukup lega dengan penemuan itu. Ia kemudiannya dijadikan sebagai pandangan rasmi Tabung Haji dalam masalah wuduk. Saya sempat bertanya kepada kawan yang menemui pandangan berkenaan dalam sebuah kitab fiqah mazhab Syafii. Beliau sekadar ketawa kecil sambil mengatakan itulah kehendak Tabung Haji dan kehendak masyarakat.

Selesai

Jadinya masalah itu tidak berbangkit lagi. Namun terdapat banyak lagi masalah yang masih berbangkit. Dulu timbul masalah Miqat bagi jemaah yang menggunakan kapal terbang. Kerana pada waktu itu kapal terbang baru mula digunakan dan kapal laut masih terus. Mungkin ia sudah selesai kerana sudah ditemui pandangan dalam mazhab Syafii. Sekarang, dalam kesesakan lalu lintas berbagai-bagai masalah boleh timbul, terutama yang berkait dengan Arafah, Muzdalifah dan Mina serta segala hal yang berkaitan dengannya.

Tentunya ahli hukum kita terpaksa picit kepala lagi. Tugas mereka yang berat adalah untuk mendapatkan pandangan dalam mazhab Syafii yang terselit di mana-mana yang boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi pada hari ini. Sebelum pendapat itu ditemui masyarakat akan terus berbalah. Dalam perbalahan seperti itu ramai orang yang mahu menjadi hero.

Berpegang kepada Syariah bukan Mazhab

Bagi orang seperti saya, mazhab adalah jalan berfikir. Fiqah adalah fahaman para ulama tentang apa yang terdapat dalam al-Quran dan sunah. Perbezaan pendapat terjadi oleh banyak sebab. Mungkin kerana perbezaan dalam memahami nas al-Quran atau hadis itu sendiri. Mungkin juga kerana berbeza tanggapan tentang realiti yang ada pada waktu pendapat itu dikeluarkan.

Apa yang penting ialah kita terikat dengan syariah. Maksudnya wahyu Allah yang terdapat dalam al-Quran dan al-sunah. Nilainya mutlak dan universal serta tidak akan berubah-ubah. Sedangkan fiqah, meskipun bersandarkan kepada syariah namun ada campuran akal manusia dan persekitaran hidup semasa di dalamnya. Ia tidak mutlak, universal atau abadi seperti wahyu. Apa yang muktamad pada suatu masa dahulu tidak lagi pada masa sekarang. Apa yang dilihat sebagai rajih pada satu masa dulu sudah jadi marjuh. Begitulah sebaliknya.

Kerana itu, kalau sudah ada pandangan dalam mana-mana mazhab yang boleh menyelesaikan masalah semasa, mengapa perlu ditunggu penemuan pandangan yang mungkin ganjil dalam mazhab Syafii? Dalam dunia yang berubah cepat seperti sekarang ini sikap yang agak terbuka tentang mazhab sangat diperlukan. Namun seperti kata ayah saya apabila saya beritahu bahawa pengkhususan saya di al-Azhar ialah fiqah perbandingan, bukan senang masyarakat kita akan menerima pandangan orang yang liberal tentang mazhab.

Beliau menasihatkan saya supaya berhati-hati apabila pulang dari al-Azhar nanti. Agar tidak ditolak oleh masyarakat. Ayah saya ini seorang guru pondok yang pernah berkata kepada saya, kalau mengikut hasratnya sendiri saya perlu belajar di pondok. Tetapi apa boleh buat, dunia sudah berubah dan belajar di sekolah agama/Arab dilihat lebih sesuai.¤

         

Prof Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.4


 

 

Prof Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid

Dilahirkan di Kelantan. Mendapat pendidikan awal di Maa’had Muhammadi Kota Bharu, Kelantan sebelum ke Akademi Islam Universiti Malaya. Mendapat sarjana dari Universiti al-Azhar dalam bidang Syariah, dan University of Kent, England dalam bidang Pengajian Asia Tenggara, dan Ph.D dari Universiti Malaya dalam bidang Syariah. Pernah menjawat Dekan Fakulti Syariah Universiti Malaya dan Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Kini sebagai Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau telah menghasilkan 23 buah buku dan menyumbang artikel dalam 22 buah buku.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas