Menu

 

A+ A A-

ETIKA MUSLIM DI JALAN RAYA

SOALAN: Ramai pengguna jalan raya yang masih belum mengamalkan etika pemanduan berhemah. Sejauh mana benarnya pernyataan sesetengah pihak bahawa sikap pengguna jalan raya menggambarkan sikap masyarakat sesebuah negara?

JAWAPAN

Seorang Muslim yang sejati pasti akan sentiasa mengawasi setiap perlakuannya walau di mana pun ia berada. Ia akan membawa keselamatan dan keamanan dalam setiap langkah, tutur bicara hatta perlakuannya.

Benarkah kita ini seorang Muslim yang mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar? Adakah segala akhlak Nabi telah kita terapkan dalam kehidupan seharian kita? Sekiranya kita menjadikan jalan raya sebagai penanda arasnya, mungkin agak sedih untuk kita katakan bahawa sebenarnya tiada langsung kelihatan akhlak dan adab mulia yang diamalkan.

Mungkin benar pandangan sesetengah orang yang mengatakan jalan raya merupakan cerminan bagi sesebuah negara. Wajah sebenar seseorang boleh dilihat dengan jelas ketika berada di atas jalan raya. Di situ kita boleh menilai kesabaran dan keprihatinannya.

Namun yang menyedihkan, budaya masyarakat kita masih lagi di takuk yang lama. Budaya melanggar lampu isyarat, memotong barisan, bergaduh dan tidak bertoleransi masih lagi dapat kita saksikan saban hari.

Itu belum lagi melihat jalan raya tiga lorong yang bertukar menjadi lima lorong. Inilah cerminan budaya yang tidak sihat. Daripada jalan raya kita boleh menilai pemikiran dan adab masyarakat kita. Mungkin di luar kita orang yang taat pada agama, tetapi apabila di jalan raya segalanya berbeza.

etika-muslim-di-jalan-raya-2

Perbezaan ini lebih ketara apabila kita cuba menilai jalan raya di negara maju dan negara membangun. Di negara maju, sistem pemanduannya lebih teratur dan para pemandunya saling menghormati. Mengapa? Taraf pendidikan dan penerapan akhlak menjadikan mereka lebih teratur dan berbudi.

Kita yang beragama Islam sepatutnya lebih berbudi di atas jalan raya, lebih bertolak-ansur dan teratur. Semuanya ini budaya akhlak yang diajarkan dalam Islam. Tidak perlu menunggu untuk menjadi negara maju baru ingin berubah.

Halang Trafik

SOALAN: Sering kali ketika berlaku kemalangan jalan raya, yang menyebabkan kesesakan lalu lintas adalah para pemandu yang sengaja berhenti atau memperlahankan kenderaan untuk menyaksikan kejadian itu. Saya rasa ini sikap prihatin yang tidak bertempat. Akibatnya, ramai yang terkandas dan tergendala urusan.

JAWAPAN

Budaya yang perlu diperbetulkan ketika berlakunya kemalangan; kita turun membantu dan bukannya memerhatikan sahaja sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas panjang. Bayangkan mungkin antara yang terperangkap dalam kesesakan ketika itu dalam kecemasan. Perlu segera untuk sampai ke suatu destinasi. Namun disebabkan sikap kita yang ingin memerhatikan kemalangan yang berlaku sehingga menyebabkan kesesakan, mereka telah dizalimi.

Kita sepatutnya menanamkan dalam suatu etika memandu dalam diri. Tanamkan dalam diri bahawa “saya ingin memudahkan urusan orang lain”. Supaya dengan cara itu, Allah akan membatu mempermudah urusan kita pula.

Sepatutnya semakin kita hamper dan taat kepada Allah, kita semakin prihatin terhadap orang lain. Inilah yang dikatakan hubungan dengan Allah (hablun minallah) berkadar terus dengan hubungan sesama manusia (hablun minannas).

Ingatlah sepotong hadis daripada Baginda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain.” (Riwayat al-Tabarani)

Apa yang perlu kita lakukan, buatlah sesuatu yang memberikan kebaikan pada diri kita dan orang lain. Usahlah kita menjadi penyebab kepada kesusahan orang lain. Usah pentingkan diri sendiri sahaja.

Pesan saya sekiranya berlaku kemalangan jalan raya. Lihatlah diri kita, adakah kita mempunyai masa senggang atau tidak? Sekiranya ya, berhentikan kenderaan di tepi jalan raya. Berikan bantuan anda kepada mangsa kemalangan. Tetapi sekiranya tidak, tidak perlu berhenti sematamata untuk memerhatikan sahaja sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. Fikir-fikirkanlah sekiranya kita dalam kecemasan dan berlaku situasi sedemikian pada kita.

Dengan memudahkan orang lain, Allah akan memudahkan kita suatu hari nanti. Jika tidak di dunia, sudah pasti di akhirat kelak. Insya-Allah.

Langgar Lampu Isyarat

SOALAN: Saya pernah melihat kemalangan maut yang melibatkan penunggang motosikal yang melanggar lampu isyarat. Ia betul-betul terjadi di hadapan mata saya. Sebulan saya mengalami trauma dan tidak boleh memandu.

JAWAPAN

Cuba lakukan satu pemerhatian di persimpangan jalan raya yang mempunyai lampu isyarat. Tidak kira sama ada pemerhatian itu dibuat pada waktu puncak atau tidak, anda akan dapat lihat sekurang-kurangnya 8 daripada 10 pemandu kereta atau pembonceng motosikal akan melanggar peraturan jalan raya. Apa puncanya?

Mungkin mereka merasakan peraturan tidak begitu penting berbanding urusan peribadi mereka. Malah bagi mereka, peraturan jalan raya boleh berubah, dilanggar dan dipandang remeh. Sedangkan setiap peraturan yang dibuat pasti ada rasionalnya. Walaupun ia bukan berkaitan dengan hukum agama, namun ia berkaitan soal nyawa dan keselamatan.

Maka Islam juga membenarkan undang-undang jalan raya dipatuhi. Bayangkan dengan tindakan kita melanggar lampu isyarat, ia boleh mengakibatkan kematian. Bukankah ia membahayakan? Bukankah “membunuh” seperti itu dikategorikan sebagai jenayah dalam Islam?

Oleh itu, utamakanlah keselamatan orang lain dan keselamatan diri anda sendiri. Kerana Muslim yang sejati ialah Muslim yang sentiasa membuatkan saudaranya yang lain merasa tenang dan selamat.

Wallahu a‘lam.

 USTAZ ABDUL MUHSIEN SULAIMAN

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


Ustaz Abdul Muhsien Bin Sulaiman

Felo Akademik di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Mendapat pendidikan di Ma’had Muhammadi Lilbanin, Madrasah Rahmaniyyah Pasir Mas dan Universiti Malaya. Tumpuan penulisan beliau kebanyakannya dalam bidang Pendidikan Islam dan Tasawwuf Islam.

Kembali ke atas