Menu

 

A+ A A-

MERAIH NIKMAT MENAGIH RAHMAT

Ustaz, kita sering mendengar perkataan nikmat. Adakah nikmat itu semuanya baik dan kekal selama-lamanya?

Menurut Abu Qasim al-Qusyairi, antara kalimah nikmat dan rahmat itu memang terdapat perbezaan dan persamaan. Namun kita sering menganggap kedua-dua kalimah ini sebagai satu entiti yang sama.

Al-Qusyairi ketika mensyarahkan al-Asma’ al-Husna mentakrifkan nikmat itu sebagai segala sesuatu yang datang daripada Allah atas jalan ujian. Ia merupakan penzahiran sifat kasih sayang dengan namanya al-Rahman terhadap sekalian hamba-Nya berdasarkan ayat, mafhumnya:

“Maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: ‘Tuhanku telah memuliakan daku!’

“Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah serta merepek) dengan katanya: ‘Tuhanku telah menghinakan daku!’” (Surah al-Fajr:15-16)

Ringkasnya, setiap nikmat itu ujian Allah kepada hambanya. Ia boleh jadi satu kebajikan dan tidak mustahil juga dalam bentuk kecelakaan. Jika segala nikmat tersebut digunakan untuk mendapat keredaan Allah, maka ia akan menjelma sebagai agen kehampiran kepada Allah. Jika ia diuruskan dengan nafsu maka kecelakaanlah kesudahannya.

Sebahagian sufi pula berpandangan bahawa setiap nikmat jika tidak dijaga dengan baja kesyukuran maka kesenangan nikmat tersebut adalah bertukar menjadi penyesalan. Contohnya, seorang ibu yang baru menimang cahaya mata pasti gembira dengan kehadiran cahaya matanya itu.

Namun tidak mustahil 20 tahun kemudian cahaya matanya itulah yang akan menukar air mata kegembiraan menjadi air mata kesedihan. Keadaan ini boleh terjadi jika didikan ibu bapanya tidak berasaskan ibadat kepada Allah. Ini semuanya adalah gambaran nikmat di dunia. Adapun di akhirat, nikmat itu akan kekal selama-lamanya. Sekali lagi ditegaskan bahawa setiap nikmat itu ujian Allah ke atas hamba. Hatta Islam itu sendiri ujian Allah. Dalam kes nikmat kesihatan misalnya, kita perlu mengikut aturan dan disiplin bagi menjaga kesihatan. Jika kita melanggar pantang larangnya pasti penyakitlah yang setia mengunjungi tubuh kita yang sihat itu.

Demikian juga nikmat Islam, jika kita tidak memelihara pantang larang beragama dalam Islam maka penyakit munafik, fasik dan musyrik akan datang menyerang Islam yang ada pada diri kita. Ikatlah nikmat dengan bersyukur kepada Allah dengan menggunakan segala pemberian-Nya itu untuk tujuan mendekatkan diri pada-Nya

Hakikat Rahmat

Apa pula yang diertikan sebagai rahmat?

Para sufi memandang rahmat lebih bernilai daripada nikmat. Mereka sangat mengharapkan rahmat kerana ia tanda kasih sayang Allah terhadap seseorang hamba-Nya yang soleh.

tu

Firman Allah, mafhumnya: “Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu.” (Surah al-Nur: 14)

Jika diperhatikan, ramai orang yang mengaku beragama namun berapa kerat yang istiqamah beragama? Dari sini kita boleh membeza-banding antara nikmat dan rahmat dalam beragama. Rahmat Allah tampak zahir di dunia dengan wujudnya sikap istiqamah pada ajarannya.

Seseorang yang memperolehnya secara nyata tidak boleh hidup tanpa wujudnya unsur ibadat dalam kehidupan sehariannya. Makan, minum, tidur, bangun semuanya dijadikan ibadat kerana Allah. Pada masa itu jelaslah baginya kasih sayang Allah terhadapnya. Adapun rahmat Allah di akhirat adalah dengan dimasukkan seseorang itu ke dalam syurga.

Nikmat dan Rahmat

Apakah bekal untuk menjaga nikmat dan mengharap rahmat Allah?

Untuk menjaga nikmat pemberian, jagalah ia supaya menjadi ibadat pada jalan Allah. Apa yang diberikan pada kita kesemuanya itu bukannya hak kita. Maka jangan pula kita menjadi seperti puak yang dikecam dalam al-Quran, maksudnya:

“Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang ia berhak menerimanya).

“Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin.” (Surah al-Fajr:17-18)

Adapun berkenaan rahmat atau kasih sayang Allah, jadikan sabar itu sebagai bekalan. Sabarlah dalam menghadapi ujian Allah, sabarlah daripada mengikut bisikan maksiat dan sabarlah dalam berbuat taat. Firman Allah, mafhumnya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai hambahamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang yang bersabar sahajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Surah alZumar: 10).

Wallahu a‘lam

 

Ustaz Abdul Muhsien Sulaiman

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Ustaz Abdul Muhsien Bin Sulaiman

Felo Akademik di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Mendapat pendidikan di Ma’had Muhammadi Lilbanin, Madrasah Rahmaniyyah Pasir Mas dan Universiti Malaya. Tumpuan penulisan beliau kebanyakannya dalam bidang Pendidikan Islam dan Tasawwuf Islam.

Kembali ke atas