Menu

 

A+ A A-

MATA MEMERHATI HATI MENGERTI

Soalan : Seperti yang kita semua maklum bahawa setiap hujung tahun, negara akan berhadapan dengan musim tengkujuh. Biasanya orang awam melihat perkara ini sebagai fenomena alam yang biasa sahaja. Manakala orang di pusat kaji cuaca mungkin ada penjelasan yang lebih saintifik. Saya tertanya-tanya: Bagaimana fenomena alam ini dilihat dari kaca mata tasawuf?

Jawapan : Syukur pada Allah s.w.t. yang sentiasa menjaga hati-hati hamba-Nya yang soleh pada kala lapang dan getir. Makhluk Allah adalah tempat penzahiran tanda kekuasaan Allah yang bersifat dengan segala sifat kemuliaan. Alam semula jadi berbicara menurut perintah Allah. Tidak tergerak sesuatu perkara pun kecuali dengan izin Allah.

Para sufi sentiasa memerhatikan atau tafakur tentang kekuasaan Allah. Bagi para salik iaitu mereka yang berjalan menuju kepada Allah dengan hati mereka, tafakur itu gerakan atau langkah pertama ke Mata Memerhati, Hati Mengerti arah jalan menuju Allah setelah benar-benar bertaubat kepada Allah. Seseorang yang memerhati kejadian alam semesta pasti bangkit dan sedar akan kekuasaan Allah. Pendek kata tafakur itu jambatan untuk menghubungkan hatinya kepada Allah.

Cuaca yang bertukar silih berganti itu sebagai tanda wujudnya Pencipta Yang Maha Kuasa mentadbir segala-galanya. Dialah yang berkuasa menerbitkan matahari dan Dialah juga yang melindungkan matahari daripada kita. Dia yang menghantar panas dan mengutus hujan, ribut, petir, kilat, banjir dan sebagainya.

Kesemuanya ini ialah tanda untuk menggerakkan hati kita untuk menyebut namanya. Hati yang beriman akan menyebut nama-Nya tika alam berbicara. Hati yang bertauhidkan Allah akan memuji-Nya tika alam menyampaikan makna ketuhanan.

Pandanglah dengan mata hingga ke lubuk hati. Berbicaralah dengan akal hingga akhirnya kita menyebut Allah! Mata yang memerhati dengan penuh sifat kehinaan akan membawa hati mengenali siapa sebenarnya Tuhan.

Berakal vs Lalai

hujannSoalan : Begitu berlainan sekali sudut pandangnya. Apakah akibatnya jika kita tidak memerhatikan tanda kebesaran Allah?

Jawapan : Firman Allah bermaksud: “Segala yang ada di langit dan di bumi itu kepunyaan Allah. Sekiranya kamu melahirkan apa yang ada dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu.

“Kemudian Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki- Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya (berdasarkan ilmu-Nya). Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al- Baqarah: 284)

Allah pasti tahu siapa dalam kalangan kita yang hatinya sentiasa mengingati-Nya. Menurut Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari, mereka yang sentiasa ingat kepada Allah diistilahkan sebagai orang berakal dan lawannya ialah orang yang lalai. Dalam kalam hikmahnya beliau menyatakan: “Setiap pagi orang yang lalai memikirkan apa yang mereka akan lakukan, sedangkan pula orang yang berakal akan memerhatikan apa yang Allah akan lakukan ke atas dirinya.”

Maknanya di sini, orang yang tidak memerhati kebesaran Allah akan diuji dengan kelalaian. Mereka dihanyutkan dengan perbuatan mereka. Maka apabila tiba musim hujan, mereka memikirkan: “Apa yang hendak dimakan? Bagaimana hendak mencari makanan? Makanan ada atau tidak?” dan sebagainya.

Manakala orang berakal yang selalu memerhati kebesaran Allah pasti tidak gusar kerana Dialah Allah yang mentadbir rezeki manusia tatkala hujan atau panas. Dialah Yang Maha Berkuasa dan luas Rahmat-Nya.

Inilah yang dikatakan oleh sebahagian sufi: lintasan seseorang itu ialah kadar timbangan tauhidnya. Orang yang kurang memerhati, kurang mutu tauhidnya. Manakala orang yang sentiasa memerhati dan faham aturan Allah pasti bersinar-sinar cuaca tauhidnya.

Amalan Musim Hujan

Soalan : Adakah terdapat amalan-amalan yang patut kita lakukan semasa musim hujan?

Jawapan : Asasnya, sentiasalah berzikir, membaca al-Quran dan berdoalah pada Allah. Antara doa yang boleh diamalkan:

1.Ketika hujan turun :

hujan turun

Bermaksud: “Ya Allah turunkanlah hujan yang bermanfaat”

2.Ketika kilat/petir:

ketika petir

Bermaksud: “Maha suci Allah mengarahkan kilat bertasbih pada- Nya, dan juga para Malaikat yang takutkanNya”

Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Abdul Muhsien Sulaiman

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Ustaz Abdul Muhsien Bin Sulaiman

Felo Akademik di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Mendapat pendidikan di Ma’had Muhammadi Lilbanin, Madrasah Rahmaniyyah Pasir Mas dan Universiti Malaya. Tumpuan penulisan beliau kebanyakannya dalam bidang Pendidikan Islam dan Tasawwuf Islam.

Kembali ke atas