Menu

 

A+ A A-

REALITI MASA DAN TAKDIR DI LOH MAHFUZ

Sebelum membaca artikel ini, lihat apa yang ada di hadapan anda. Setelah itu pusing pandangan anda ke kiri, perhatikan apa yang anda lihat di sebelah kiri anda. Pusing pula ke kanan dan lihat apa atau siapa yang ada di sana dan apa yang berlaku. Kemudian terus baca artikel ini.

Selepas menyelesaikan arahan di atas, bolehkan anda pastikan berapa lama anda melakukannya? Oh ya, anda juga tidak dibenarkan melihat jam. Lima minit? 10 minit? Mungkin 20 minit? Saya pasti setiap orang yang menjalankan eksperimen ringkas ini pasti memberikan jawapan berbeza. Jadi siapa yang betul? Jawapan yang di berikan mungkin betul atau mungkin salah semuanya. Mmm... saya pasti anda sangat keliru.

Katakanlah ketika anda memandang ke hadapan, anda melihat rakan anda memasuki bilik bacaan tersebut dan duduk di atas sebuah kerusi. Anda menganggarkan dia mengambil masa dua atau tiga minit untuk sampai ke kerusi. Apakah benar jarak waktu ini wujud?

Kajian saintifik menjelaskan keadaan ini. Anda beranggapan adanya jarak masa ini kerana otak anda membuat perbandingan saat ketika rakan anda masuk ke dalam bilik dengan saat dia duduk. Saat-saat ini dirakamkan oleh otak dalam bentuk data dan disusun mengikut tertib. Dunia sains mengiktiraf masa ini sebagai satu konsep yang lahir daripada tabiat manusia menyusun peristiwa dan pergerakan yang berlaku di sekeliling mereka dalam bentuk siri progresif yang tetap. Bayangkan sekiranya minda kita tidak merakam semua data ini, sudah tentu masa tidak akan wujud.

Konsep masa ini telah disahkan oleh ahli fizik terkenal, Albert Einstein dalam bukunya General Theory of Relativity. Dalam buku The Universe and Dr. Einstein, Lincoln Barnett menjelaskan konsep ini: Subjektiviti masa ini boleh dijelaskan dengan baik melalui kata-kata Einstein sendiri: “Pengalaman seorang itu, muncul tersusun dalam bentuk satu siri peristiwa. Dalam siri ini satu peristiwa yang kita ingat disusun mengikut kriteria “awal” dan “kemudian”. Kerana itu setiap individu mempunyai masa subjektif atau digelar masa-I (I-time).”

Menurut pakar fizik ini lagi, masa dan ruang berada dalam bentuk intuisi (gerak hati) atau lebih tepat bergantung pada orang yang menerima. Sama sebagaimana konsep warna, saiz atau bentuk yang berubah mengikut penglihatan masing-masing. Oleh sebab itu, berdasarkan konsep umum Teori Relativiti, masa tidak wujud secara mutlak, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada penerima.

Mengejutkan bagaimana konklusi sains moden abad ke-20 tentang relativiti masa ini telah pun dinyatakan dengan jelas empat ratus tahun dahulu dalam al-Quran. Terdapat banyak ayat al-Quran yang membuktikan bahawa masa sebenarnya hanya persepsi psikologi yang bergantung pada peristiwa, suasana dan keadaan. Contohnya dalam ayat berikut Allah menegaskan seluruh kehidupan manusia itu sangat singkat:

“(Ingatlah akan) hari Dia menyeru kamu lalu kamu menyahut sambil memuji kekuasaan-Nya, dan kamu menyangka kamu tinggal di dunia hanya sebentar.” (Surah al-Israk: 52)

“Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri.” (Surah Yunus: 45)

Perbualan manusia ketika dihisab nanti juga membuktikan manusia menerima masa itu secara berbeza. Satu tempoh yang sama mungkin dirasakan panjang, tetapi bagi orang lain ia terlalu singkat:

Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): “Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?” Mereka menjawab: “Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari.” Maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung. Allah berfirman: “Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia).” (Surah al-Mu’minun: 112-114)

Relativiti Takdir

Memahami hakikat masa ini membolehkan kita memahami hakikat takdir. Takdir ialah kenyataan bahawa Allah s.w.t. menjadikan setiap peristiwa di masa silam, masa kini dan masa depan dalam “satu detik” yang sama. Dengan lain perkataan, kejadian penciptaan alam ini hinggalah hari kiamat telah pun berlaku di sisi Allah. Anda mungkin buntu memikirkan perkara ini. Bagaimana perkara yang belum berlaku boleh diketahui, dan bagaimana peristiwa silam berlaku serentak dengan kejadian yang berlaku kini.

Berdasarkan konsep masa dan ruang yang dijelaskan pada awal artikel ini, kita perlu sedar bahawa Allah tidak terikat dengan masa dan ruang seperti kita. Kerana Dialah yang menjadikan kedua-duanya. Sebagaimana yang kita simpulkan dalam artikel keluaran lepas (SOLUSI edisi 6), pencipta tidak mungkin wujud bersama yang dicipta.

Justeru, Dia mengetahui segala peristiwa di masa lalu, kini dan akan datang. Kita boleh kaji fakta ini dengan merujuk kepada al-Quran. Allah mendedahkan banyak peristiwa masa hadapan yang belum berlaku dalam al-Quran. Antara peristiwa-peristiwa itu adalah kejadian hari kiamat ketika ditiupkan sangkakala dan nasib orang beriman dan orang kafir dalam ayat 68-73 surah al-Zumar, ayat 12-13 surah al-Insan, ayat 53 surah al-Kahfi, serta banyak lagi ayat-ayat lain.

Pengembaraan Merentasi Masa  

Menggambarkan perjalanan hidup kita sebagai sebuah tayangan filem mungkin dapat memahamkan kita peranan masa dalam takdir. Apabila menonton sebuah filem, kita mengetahui apa yang telah berlaku kerana semua data tentang permulaan kisah ini di simpan dalam minda. Tetapi kita tidak tahu adegan seterusnya kerana Allah tidak menyimpan data-datanya dalam minda kita.

Tetapi bagi pengeluar, penerbit atau pengarah yang menghasilkan filem ini, adegan permulaan, pertengahan dan penamatnya telah pun diketahui. Demikian juga Allah yang menyusun takdir kita, maka Dia mengetahui segala perkara yang pernah, sedang, malah akan berlaku.

Kerana masa itu bergantung pada persepsi penerima, Allah yang berkuasa mengawal persepsi ini boleh, dengan kehendakNya, memendekkan masa dan membawanya ke masa hadapan. Ini jelas berdasarkan dua peristiwa yang direkodkan alQuran, iaitu kisah Ashabul-Kahfi yang ditidurkan selama beratus-ratus tahun di dalam gua (rujuk surah al-Kahfi, ayat 9-22). Begitu juga dengan seorang pemuda yang melalui sebuah penempatan yang musnah, lalu dia dibawa ke masa hadapan selama seratus tahun, sedangkan dia menyangka hanya tertidur sehari atau setengah hari (Rujuk surah alBaqarah, ayat 259). Malah bagi membuktikannya, Allah mengekalkan dirinya dan buah-buahan yang dibawanya daripada rosak, sedangkan keldainya dibiarkan mati.

Takdir Kita Tersimpan di dalam Lohmahfuz

Setelah memahami tentang masa yang tidak wujud, tentang perjalanan takdir yang ditentukan, kini anda pasti dapat memahami satu lagi rahsia besar dalam hidup anda. Setiap peristiwa yang berlaku kepada anda, orang di sekeliling anda, serta seluruh cakerawala ini, sama ada yang telah berlaku atau sedang berlaku atau akan berlaku, semuanya telah siap berlaku dan disimpan di dalam Lohmahfuz.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Dan tiap-tiap perkara yang mereka lakukan, tertulis di dalam Kitab (Lohmahfuz); dan tiap-tiap perkara yang kecil dan yang besar tetap tercatat. Sesungguhnya orang yang bertakwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga (yang indah) dan beberapa sungai. Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya. (Surah al-Qamar 54: 5255)

Oleh Rohidzir Rais
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7

 


 

Rohidzir Rais

Lepasan Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah Islamiyyah. Kini berkhidmat sebagai editor dan penulis sepenuh masa di Telaga Biru Sdn. Bhd. Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej al-Azhar, Pulau Pinang. Aktif dan berpengalaman mengendalikan kursus-kursus fardu ain, al-Quran dan bahasa Arab di seluruh Malaysia. Telah berjaya menulis dan menterjemah 30 buah buku dalam pelbagai bidang. Layari blog beliau di www.al-zuhaily.blogspot.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

IMBK1002

  IMBK1002

Kembali ke atas