Menu

 

A+ A A-

MANUAL KEHIDUPAN

KEHIDUPAN kita sebagai seorang Muslim perlu berlandaskan syariat. Muslim yang sejati sentiasa mematuhi tatacara hidup yang digariskan oleh Allah serta tunduk dan patuh kepada perintah Ilahi. Mereka beramal seolah-olah melihat Allah di depan mata persis seorang pekerja yang berhati-hati meneladani tugas apabila ketua berada di depan mata.

Renungilah. Sesungguhnya jalan kehidupan seorang Muslim sangat terancang dan bersistematik. Bermula dari benih dalam rahim ibu hingga mata terpejam meninggalkan dunia fana. Kita membesar di sebalik syariat yang sungguh unik dan agung. Sungguh lengkap dan tidak mungkin berlaku cacat cela dan kepincangan.

Kita dibekalkan sebuah kitab panduan sebagai manual untuk menelusuri sebuah kehidupan yang penuh berliku dan ranjau yang tidak diduga. Sebagai contoh, barangan elektrik yang kita beli kebiasaannya mempunyai manual khusus agar pengguna dapat menggunakan alat tersebut dengan baik dan betul.

manual-kehidupan-1

Jika arahan manual diabaikan, pasti barang yang dibeli akan rosak dan tidak dapat digunakan lagi. Begitulah kita sebagai insan memerlukan panduan agar hidup menjadi terarah. Namun insan sering tidak menghayati manual kehidupan yang Allah bekalkan kepada kita. Malah ada yang memilih jalan kehidupan berdasarkan nafsu dan keinginan mereka.

Mengapa kita sukar mengikut ajaran Allah sedangkan kita hamba ciptaan-Nya? Lihat dengan mata hatimu, wahai insan. Panduan hidup ini ialah tanda kasih Allah agar kita menjadi insan yang berkualiti. Bukan kongkongan atau sekatan kerana Allah benar-benar tahu mana yang baik dan buruk untuk hamba ciptaan-Nya.

Kita sering tergelincir daripada hikmah undang-undang yang Allah tetapkan kerana berfikir sekadar menurut logik akal yang sempit. Hakikatnya, akal kita yang cetek tidak akan terjangkau hikmah agung di sebalik segala yang tersurat. Betapa beruntungnya kita kerana Allah menitipkan janji manis dalam kalam-Nya sehingga hati kita tersentuh apabila membacanya. Betapa bertuahnya kita apabila berduka, Allah melunakkan jiwa kita dengan bahasa-Nya yang indah.

Dekatlah kepada Allah, nescaya kita merasai kemanisannya.

Noorjehan Baharudin

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Noorjehan binti Baharudin

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Universiti al-Azhar. Mempunyai pengalaman dalam bidang kepimpinan dan perguruan. Pernah terlibat dalam penulisan majalah. Kini berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Agama Nurul Iman di Selangor.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

Kembali ke atas