Menu

 

A+ A A-

KORBAN NAZAR DI PULAU BESAR

Saya ingin memohon penjelasan ustaz berkenaan amalan sesetengah pihak yang membayar nazar kepada makam wali Sultan al-Arifin di Pulau Besar, Melaka. Mereka beranggapan sebarang doa dan hajat yang “dimakbulkan” di pulau itu perlu dibayar dengan nazar korban sekurang-kurangnya seekor kambing. Pembayaran nazar itu didakwa tanda terima kasih atau kesyukuran kepada wali keramat tersebut. Mohon penjelasan ustaz berkenaan hal ini.

Jawapan : Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka pada tahun 2009 memutuskan bahawa kegiatan ritual yang dilakukan oleh segelintir umat Islam di Pulau Besar mengandungi unsur bid’ah dan khurafat yang merosakkan akidah. Jabatan Mufti Melaka mencadangkan kepada pihak berwajib supaya tidak membenarkan pengunjung makam membawa haiwan hidup agar tidak berlaku aktiviti yang menyalahi syarak. Amalan yang dinyatakan di atas jelas bercanggah dengan agama Islam.

HURAIAN: Sembelihan nazar tertakluk kepada hukum sembelihan. Jika sembelihan halal yang dinazarkan, maka nazar itu harus. Jika sembelihan haram yang dinazarkan, maka nazar tersebut haram. Ramai orang menganggap selagi sembelihan dilakukan dengan nama Allah, maka ia halal dan sah tanpa mengira tujuannya. Mereka menyangka walaupun penyembelihan dilakukan dengan menyebut nama Allah untuk dipersembahkan kepada jin dan syaitan, maka ia tetap diharuskan. Pemahaman ini bercanggah dengan nas al-Qur’an dan hadis Rasulullah. Allah berfirman: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan atasmu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan sembelihan yang disembelih dengan disebut selain nama Allah…”.

(Surah al-Nahl: 115)

Ungkapan “dan sembelihan yang disembelih dengan disebut selain nama Allah” dimaknai sebagai larangan untuk memakan haiwan yang disembelih untuk selain Allah seperti berhala, batu dan kubur. Seseorang bernazar menyembelih unta di Buwanah, lalu datang kepada Rasulullah. Nabi bertanya: “Adakah di tempat itu berhala yang disembah oleh orang Jahiliah?” Para sahabat menjawab: “Tidak.” Nabi bertanya lagi: “Adakah di tempat itu pernah disambut hari raya mereka?” Para sahabat menjawab: “Tidak.” Maka, Nabi bersabda: “Laksanakan nazar itu. Nazar tidak boleh dilaksanakan atas dasar maksiat kepada Allah dan dalam hal yang tidak dimiliki oleh seseorang.” (Riwayat Abu Daud). Hadis di atas membuktikan keprihatinan Rasulullah dalam memastikan sembelihan nazar dilakukan hanya kerana Allah. Tempat penyembelihan nazar itu turut dinilai untuk memastikan sama ada nazar itu boleh dilaksanakan ataukah tidak.

 nazar1

Dari sudut lain, kita perlu memahami perbuatan menyembelih haiwan termasuk antara ibadah utama di sisi Allah. Terdapat pen yembelihan yang dilakukan atas niat korban, aqiqah, membayar dam haji, termasuk nazar.

Selepas kedatangan Islam, segala bentuk penyembelihan jahiliah telah dihapuskan, termasuklah penyembelihan yang dilakukan di kubur atas tujuan penghormatan. Justeru, perbuatan menyembelih tidak boleh dilakukan sewenangwenangnya. Penyembelihan yang bertujuan mendapatkan daging tetap diwajibkan menyebut nama Allah walaupun sekadar untuk jamuan kenduri. Firman Allah: “Dan janganlah kamu memakan haiwan yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya. Sesungguhnya ia perbuatan yang fasik.”(Surah al-An’am: 121) Terdapat sesetengah ulama yang melarang penyembelihan bagi meraikan kedatangan pembesar Negara. Ia dianggap sebagai sembelihan bukan kerana Allah sekalipun sembelihan itu menyebut nama Allah. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Haskafi dalam al-Dur al-Mukhtar dan Ibn ‘Abidin dalam Rad al-Muhtar .

KESIMPULAN: perbuatan ber nazar untuk menyembelih haiwan kepada kubur atau makam tertentu adalah haram. Ia boleh membawa kepada syirik kerana pelaku tersebut beranggapan bahawa hajatnya tertunai atas keramat kubur atau makam berkenaan. Perbuatan sebegini wajib ditinggalkan, dan pelakunya hendaklah bertaubat kepada Allah.

Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Mohd Aizam Mas‘od

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 12

 


 

Mohd Aizam Mas‘od

Sarjana Muda Usuluddin Universiti Al al-Bayt, Jordan. Sarjana Usuluddin dan Pemikiran Islam, UIAM. Pernah bertalaqqi dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Syu‘aib al-Arna‘ut (ulama tahkik terkenal) dan Prof. Dr. Abdul Qadir al-Sa‘di. Beliau pakar dalam kajian aqidah dan aliran sesat. Kini merupakan Penolong Pengarah Bahagian. Penyelidikan (Aqidah), JAKIM. Dekati beliau di mufakkir-islami.blogspot.com.

Kembali ke atas