Menu

 

A+ A A-

PLURALISME AGAMA MEROSAKKAN AQIDAH

Mohon ustaz jelaskan tentang pluralisme agama. Hari ini ramai orang memperkatakan tentangnya.

Jawapan

Pluralisme agama itu satu istilah yang merujuk kepada fahaman yang menyamakan semua agama dengan dakwaan asasnya: kebenaran ada dalam semua agama. Maka kejayaan untuk kehidupan akhirat boleh dicapai menerusi mana-mana agama. Menurut Peter Byrne, profesor di King’s College London, UK, pluralisme agama merupakan persenyawaan tiga tesis:

1. Semua tradisi agama-agama besar dunia adalah sama iaitu semuanya merujuk dan mengisyaratkan kepada suatu realiti tunggal yang transenden dan suci.

2. Semua agama sama-sama menawarkan jalan keselamatan.

3. Semuanya tidak ada yang muktamad. Ertinya setiap agama mesti senantiasa terbuka untuk dikritik dan diteliti kembali. Pluralisme agama bukan bermakna toleransi agama. Islam sememangnya adalah agama yang toleran dan mengajarkan toleransi kepada umatnya sejak dari awal. Malah, Islam sama sekali tiada masalah dengan toleransi agama. Apa yang menjadi masalah adalah apabila ajaran toleransi Islam cuba dikaitkan dengan pluralisme agama, lalu disimpulkan bahawa Islam agama yang mengajarkan persamaan semua agama.


Benteng Diri

SOALAN: Bahaya sekali fahaman ini. Saya difahamkan bahawa bahkan ada intelektual Islam yang terpengaruh dengan fahaman pluralisme agama ini. Apa nasihat ustaz agar masyarakat awam tidak terpengaruh?

Jawapan

Terdapat lima perkara yang menjadi prinsip aqidah seseorang Muslim yang mesti dihayati. Hanya dengan berpegang teguh kepada lima prinsip ini, barulah kita mengekalkan jati diri Islam walaupun hidup dalam kalangan masyarakat bukan Muslim. Berikut ialah prinsip-prinsipnya:

1. Berkeyakinan teguh hanya Islam agama yang hak.

Firman Allah mafhumnya: “Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam.” (Surah Ali-‘Imran: 19) Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama lain selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya. Dan di akhirat kelak dia daripada kalangan orang yang rugi.” (Surah Ali-‘Imran: 85)

2. Semua penganut bukan Islam ialah kafir.

Kafir bermaksud kontra-iman. Kafir ialah istilah yang diberikan al-Quran bagi membezakan seseorang Muslim dengan bukan Muslim. Hakikatnya tiada titik pertemuan antara orang Islam dan orang kafir di akhirat kelak. Apa yang dicanangkan oleh golongan pluralis bahawa kononnya manusia pelbagai agama sebenarnya bersatu pada titik metafizik hanyalah dusta semata-mata.

Hakikatnya Islam dan kafir itu amat jauh sekali dan amat pasti tidak akan bertemu di akhirat kelak. Di akhirat golongan Muslim akan ke syurga selama-lamanya dan golongan kafir akan ke neraka selama-lama. Bagaimana mahu dikatakan di sana ada titik pertemuan?

3. Segala usaha dan jasa baik orang kafir tidak diterima oleh Allah.

Amalan baik yang dilakukan oleh orang kafir tidak diterima oleh Allah di akhirat. Termasuk sekali dalam hal ini ialah orang yang murtad. Maka sebaik dan semulia mana akhlak orang kafir sekalipun, segala amal kebajikan mereka tetap tiada nilai di sisi Allah. Allah berfirman mafhumnya: “Dan orang yang kafir itu amalan mereka seperti fatamorgana di tengah tanah lapang. Orang yang dahaga menyangka ia air, tetapi apabila dia datang kepadanya dia tidak mendapat sesuatu apa pun.” (Surah al-Nur: 39)

plural1

4. Semua agama lain adalah batil dan tiada kena mengena dengan agama Islam sama sekali.

Sesetengah generasi muda terpengaruh dengan dakwaan kononnya ajaran-ajaran agama yang ada pada hari ini semuanya berasal usul daripada nabinabi terdahulu. Dalam kata lain, semua agama itu hanyalah satu kelangsungan terhadap apa yang dibawa oleh nabi-nabi tersebut.

Kenyataan ini tidak benar sama sekali. Yang benar, semua nabi terdahulu hanya membawa agama Islam. Hal ini jelas melalui nas-nas al-Quran antaranya firman-Nya yang bermaksud: “Dan tidaklah Ibrahim itu seorang Yahudi mahupun Nasrani tetapi dia seorang hanif dan Muslim dan tidaklah dia daripada kalangan musyrikin.” (Surah Ali ‘Imran: 67)

5. Wajib bara’ah daripada agama selain Islam.

Bara’ah adalah berlepas diri. Muslim wajib berlepas diri daripada sebarang unsur peribadatan dan kepercayaan agama lain. Firman Allah mafhumnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat dengan cara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat dengan cara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.” (Surah al-Kafirun)

Kesimpulannya, kita tidak boleh bersetuju atau turut serta dalam apa jua bentuk doktrin, kepercayaan, syiar, perayaan agama dan peribadatan orang kafir.

Wallahu a‘lam.

 

 

 


Ustaz Mohd Aizam Mas'od

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

 

Mohd Aizam Mas‘od

Sarjana Muda Usuluddin Universiti Al al-Bayt, Jordan. Sarjana Usuluddin dan Pemikiran Islam, UIAM. Pernah bertalaqqi dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Syu‘aib al-Arna‘ut (ulama tahkik terkenal) dan Prof. Dr. Abdul Qadir al-Sa‘di. Beliau pakar dalam kajian aqidah dan aliran sesat. Kini merupakan Penolong Pengarah Bahagian. Penyelidikan (Aqidah), JAKIM. Dekati beliau di mufakkir-islami.blogspot.com.

Kembali ke atas