Menu

 

A+ A A-

AIR JAMPI KOMERSIAL

Soalan: Akhir-akhir ini ramai orang yang mencari kaedah perubatan alternatif secara tradisional dan lain-lain. Antara kaedah yang cukup popular dalam masyarakat ialah penggunaan air jampi untuk mengubati pelbagai penyakit. Persoalannya, apakah hukum membuat air jampi dalam Islam?

Jawapan:

Tidak dinafikan air jampi telah membudaya dalam masyarakat Melayu Islam di negara ini sejak turun-temurun. Air jampi bukan sahaja menggunakan bacaan ayat suci al-Quran atau doa dari Nabi, malah melibatkan bacaan mantera tertentu. Ianya dibacakan oleh para pawang, bomoh dan dukun yang sedia dikenali masyarakat setempat. Namun seiring dengan pengetahuan yang semakin meningkat, peranan bomoh dan dukun semakin dilupakan dalam masyarakat Islam. Mereka sama ada beralih kepada perubatan moden atau merujuk para ustaz untuk menyediakan air jampi. Pada hakikatnya, para ulama bersepakat bahawa harus menggunakan jampi atau rukyah dengan tiga syarat:

1. Menggunakan kalamullah (ayat al-Quran) atau nama-nama dan sifat-Nya.

2. Menggunakan bahasa Arab atau yang selainnya, selagi mana maknanya difahami, dan

3. Meyakini bahawa jampi atau rukyah itu tidak berpengaruh dengan sendiri, akan tetapi atas izin Allah.

Kaedah Pinggan Putih

Soalan: Sewaktu kecil dahulu, saya pernah mengalami demam panas. Ayah membawa saya ke rumah seorang ustaz. Beliau menulis ayat-ayat al-Quran di dalam sebuah bekas, kemudian membasuhnya dengan air. Selepas itu, saya diberi minum air tersebut untuk tujuan kesembuhan. Adakah kaedah jampi seperti ini dibolehkan dalam Islam?

RINGKASNYA: Kaedah jampi seperti ini dikenali sebagai kaedah pinggan putih. Terdapat perbezaan pandangan ulama tentang hukumnya, namun kebanyakan daripada mereka mengharuskannya.

HURAIAN: Sebahagian ulama antaranya Ibn al-‘Arabi mengatakan ianya adalah bidaah daripada syaitan. Sebahagian ulama salaf pula mengharuskannya berdasarkan hadis mawquf daripada Ibn Abbas serta pendapat Mujahid dan Abu Qilabah. Antara fatwa yang mengharuskan adalah keputusan fatwa al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth wa al-Ifta’ Kerajaan Arab Saudi yang mengharuskan menulis sesuatu ayat daripada al-Quran pada apa-apa benda lalu dibasuh dan diminum. Fatwa tersebut menukilkan pandangan Ibn Qayyim yang mengharuskan menulis ayat al-Quran pada bekas dengan Za‘faran, kemudian diberi minum kepada wanita yang sukar melahirkan anak. Imam al-Nawawi dalam al-Majmu menjelaskan bahawa perbuatan tersebut bukan suatu kesalahan menurut mazhab al-Syafii. Bagaimanapun Imam Ahmad memakruhkan mandi dengan air yang dibacakan padanya ayat al-Quran. Sebab dikhuatiri air itu akan mengalir ke tempat yang kotor.

KESIMPULANNYA: Kaedah pinggan putih seperti yang sering digunakan oleh sesetengah pihak bukanlah suatu kesalahan dari segi hukum. Walaupun terdapat segelintir ulama yang tidak bersetuju, ia tetap kekal sebagai perkara khilaf.

Jual Air Jampi

jampi1Soalan: Bolehkah air jampi tersebut dijual secara komersial dan diiklankan secara meluas sepertimana produk makanan dan kegunaan lainnya?

Jawapan:

Pada asasnya, Islam mengharuskan untuk mengambil upah atas jampi dan rawatan yang dilakukan. Ini kerana Rasulullah membenarkan seorang sahabat yang menerima upah atas pembacaan Al-Fatihah atas orang sakit lalu sembuh. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tambahan pula, pihak pengeluar produk air jampi ini sudah tentu memerlukan kos tertentu untuk menghasilkan sesuatu produk. Oleh yang demikian, tidak salah untuk mereka meletakkan harga pada produk yang dijual sambil mengambil keuntungan yang berpatutan.

Perkara yang menjadi kemusykilan apabila terdapat sesetengah pengusaha yang melampau dalam mengkomersialkan produk-produk mereka. Mereka mempromosikan produk-produk tersebut sambal menunjukkan pelbagai testimoni sebagai bukti kemujaraban.

Pihak yang mempertikaikan produk mereka pula dituduh kononnya cuba mempersoalkan mukjizat al-Quran. Dan dengan berbekalkan hujah-hujah agama, produk tersebut dijual secara berleluasa sambil menyebut pelbagai khasiat seperti mempercepatkan jodoh, mengeratkan hubungan suami isteri, membenteng diri daripada gangguan sihir, menaikkan seri wajah dan seribu satu macam khasiat lagi.

Dalam hal ini, bekas Syeikh al- Azhar, Syeikh Mahmud Syaltut pernah menyatakan kebimbangan beliau terhadap perkara yang berlaku. Pada pandangannya perbuatan tersebut telah disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk mengumpul wang ringgit dengan cara yang tidak diterima oleh Islam.

Sukar untuk dinafikan, apabila kaedah rawatan seperti ini dijadikan perniagaan komersial, terdapat di dalamnya unsur-unsur memperdagangkan al-Quran dan sunnah. Kerana sasaran utama setiap perniagaan komersial ialah meraih keuntungan duniawi sebanyak-banyaknya. Apabila perniagaan air jampi semakin mendapat sambutan, para pengusaha produk ini menjadi semakin ghairah untuk saling bersaing antara satu sama lain. Mereka menggunakan pelbagai cara untuk menunjukkan bahawa produk mereka lebih mujarab, lebih sunnah bahkan lebih mustajab doanya berbanding produk lain.

Selain itu, kaedah-kaedah rawatan yang didakwa bersumberkan Islam ini kadang-kadang boleh menjadi penyebab kesalahfahaman tentang perubatan moden. Sesetengah pengusaha produk mengatakan perubatan moden itu bukan daripada perubatan Islam, padahal perubatan moden itu sendiri dipelopori oleh para ulama Islam tersohor seperti Ibn Sina, al- Zahrawi, Ibn al-Haytham, al-Razi, Ibn Rusyd dan lain-lain. Ini membuktikan bahawa perubatan moden adalah sebahagian daripada perubatan Islam.

KESIMPULANNYA: Tiada siapa yang menafikan bahawa al-Quran memiliki kelebihan untuk menyembuhkan segala penyakit rohani dan jasmani dengan izin Allah SWT. Namun untuk mempergunakan al- Quran untuk melariskan produk atau menjustifikasikan produknya yang terbaik, maka perbuatan ini termasuk dalam perkara memperdagangkan al-Quran dengan harga yang murah.

Wallahu a‘lam.

 

USTAZ MOHD AIZAM MAS‘OD
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.13


Mohd Aizam Mas‘od

Sarjana Muda Usuluddin Universiti Al al-Bayt, Jordan. Sarjana Usuluddin dan Pemikiran Islam, UIAM. Pernah bertalaqqi dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Syu‘aib al-Arna‘ut (ulama tahkik terkenal) dan Prof. Dr. Abdul Qadir al-Sa‘di. Beliau pakar dalam kajian aqidah dan aliran sesat. Kini merupakan Penolong Pengarah Bahagian. Penyelidikan (Aqidah), JAKIM. Dekati beliau di mufakkir-islami.blogspot.com.

Kembali ke atas