Menu

 

A+ A A-

PERSOALAN TAHNIK, URI DAN NAMA BAYI

Tidak Perlu Tunggu Hari ke-7

Seseorang memberitahu saya bahawa kita boleh melakukan tahnik sebaik sahaja bayi tersebut dilahirkan. Jadi saya agak keliru. Bukankah tahnik dilakukan pada hari ke-7 bersekali dengan mencukur rambut?

RINGKASNYA: Ya, yang lebih menepati sunnah ialah mentahnikkan bayi sejurus ia dilahirkan.

HUJAH: Ini berdasarkan amalan para sahabat sebagaimana yang terakam dalam banyak hadis antaranya:

1- Aisyah merakamkan: “Anak yang pertama dilahirkan dalam Islam (semasa Nabi menetap di Madinah) ialah Abdullah bin al-Zubair. Dia dibawakan kepada Nabi. Kemudiannya Baginda mengambil sebiji tamar lalu dikunyah-kunyah dan disuapkan ke mulutnya. Maka pertama yang masuk ke perutnya ialah air liur Rasulullah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2- Anas turut menceritakan: “Tatkala Ummu Sulaim selamat bersalin, beliau berpesan kepadaku: “Wahai Anas, tengok-tengokkan budak ini. Jangan disuapkan dengan sesuatupun sehingga engkau bawanya kepada Nabi supaya Baginda mentahnikkannya!” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maka Imam al-Nawawi dalam Syarh Muslim merumuskan: “Para ulama sepakat bahawa sunat mentahnikkan anak sejurus kelahirannya dengan tamar. Sekiranya tidak dapat, maka dengan sesuatu yang semaksud dengannya iaitu benda yang manis-manis.”

Tahnik Sendiri

Adakah tahnik itu mesti dilakukan oleh ustaz atau imam? Bukannya apa, sebagaimana saya berazam untuk mewalikan sendiri pernikahan anak perempuan saya, saya juga berhasrat untuk mentahnikkan sendiri anak saya. Bolehkah?

Boleh. Tahnik tidak semestinya dilakukan oleh ustaz atau imam sahaja. Namun para ulama mengesyorkan agar anak ditahnikkan oleh orang soleh. Mudah-mudahan ada keberkatannya.

Imam al-Nawawi dalam Syarh Muslim berkata: “Digalakkan bahawa orang yang mentahnik itu daripada kalangan orang soleh atau sesiapa yang diinginkan keberkatannya sama ada lelaki atau perempuan.”

Tambahan pula, sunnah tahnik yang sempurna itu dilakukan sejurus kelahiran iaitu sebelum bayi disusukan. Maka sebaik sahaja saudara azan pada telinga anak nanti, susulilah terus dengan mentahnikkannya.

Pahala dan Hikmah Bertahnik

Adakah terdapat hadis yang menyebut tentang hikmah atau pahala melakukan tahnik? Saya ingin mengetahui tentang hikmah dan pahalanya.

RINGKASNYA: Wallahu a‘lam, setakat ilmu yang cetek ini, tidak ada hadis yang menerangkan secara khusus tentang fadilatnya. Yang ada ialah hadis-hadis yangmerakamkan bahawa Nabi melakukannya. Fadilat melakukan sunnah Rasulullah besar ganjarannya.

TAMBAHAN:Namun tahnik itu bukan setakat sunnah yang berbentuk ibadah semata-mata. Kajian moden telah menjelaskan bahawa tindakan menyuapkan sesuatu yang manis ke mulut bayi sejurus kelahirannya mempunyai faedah kesihatan yang sangat besar.

Dr. Muhammad Ali al-Baar, seorang doktor perubatan dalam Majallahal-I‘jaz al-Ilmi menjelaskan bahawa kandungan gula glokus dalam darah bayi yang baru lahir adalah sangat kecil. Kandungan gula glukos yang lebih rendah dari paras yang sepatutnya berisiko menyebabkan bayi kekejangan otot, kesukaran menyusu, insomnia, gangguan saraf dan sebagainya. Jadi dengan tahnik bayi akan menerima glokus yang amat diperlukan. Subhanallah.

Tahnik Banyak Kali

Apa hukum kita mentahnikkan anak lebih daripada sekali? Abang saya membawa anaknya untuk ditahnikkan kepada beberapa orang ustaz sebagai mengambil keberkatan mereka

RINGKASNYA:Yang sunnah, tahnik hanya sekali. Masapun sepatutnya seawal kelahiran. Namun tidaklah salah sampai dikira berdosa atau bidaah tindakan itu. Cuma yang lebih penting daripada tahnik itu sendiri ialah doa keberkatan daripada orang soleh buat si anak.

HURAIAN:Rasulullah tidak mentahnikkan seseorang anak melainkan pasti mendoakan keberkatan buatnya. Ada sebuah hadis: “Dibawakan kepada Rasulullah kanak-kanak. Lalu Baginda mendoakan keberkatan dan mentahnikkan mereka. (Riwayat al-Bukhari)

Abu Musa turut menceritakan: “Aku baru mendapat cahaya mata lelaki lalu segera aku bawanya kepada Nabi. Baginda menamakannya Ibrahim, mentahnikkannya dengan tamar dan mendoakan keberkatan buatnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maka, elok sangatlah jika kita berkelapangan untuk membawa anak kita kepada orang soleh seramai mungkin supaya mereka boleh mendoakannya biarpun tanpa perlu tahnik.

Status najis air kencing bayi lelaki

Apa yang saya belajar dahulu, air kencing bayi lelaki kurang dua tahun yang belum makan selain susu itu dikira najis ringan. Maka cukup sekadar direnjiskan air tanpa dibasuh. Namun bukankah dengan bertahnik, bayi itu sudah memakan bahan selain daripada susu ibunya? Jika begitu, agak mustahil untuk berlaku situasi najis ringan. Mohon penjelasan ustaze

Benda manis yang ditahnikkan tidak menjejaskan status najis bayi lelaki tersebut sebagai najis ringan. Ibn Solah dalam Fatwanya berkata: “Tidak ada kesan dengan sesuatu yang ditahnikkan seperti tamar yang disunatkan, namun jika kadarnya terlalu banyak sehingga meninggalkan kesan dalam sistem pemakanannya, maka perkara itu dapat merubah hukum kebolehan merenjis air kencingnya.”

URI

Basuh, Bungkus dan Tanam

Saya maklum bahawa adat menanam uri bersama garam atau paku itu haram kerana ada unsur khurafat dan syirik. Jadi bagaimanakah cara membasuh dan menanam uri mengikut Islam yang sebenar?

Uri itu tidak lain hanya seperti bahagian badan yang terpisah daripada manusia. Tidak ada nas yang mengajar cara khusus untuk menguruskannya.

Jadi prinsipnya, kita menguruskan uri tersebut sepertimana keadaannya jika ada anggota badan lain yang terpisah seperti jari yang tidak dapat disambung kembali. Caranya, basuhkannya dahulu, bungkus kemudiannya tanam. Jika ditanam terus tanpa dibasuhpun, tiada salahnya.

Apa yang penting, uri tersebut dilupuskan dengan cara terbaik supaya tidak mengakibatkan kekotoran.

Derma Uri

Apa hukum menyimpan tali pusat sekali dengan plasenta (uri) untuk mengambil sel stem? Hari ini sudah ada ibu bapa yang menyimpan tali pusat bayinya untuk kepentingan masa depan. Ini bermakna uri tersebut tidak ditanam.

RINGKASNYA:Dibolehkan. Sebelum ini para ulama melihat bahawa satu-satunya cara terbaik melupuskan uri adalah dengan menanamnya. Boleh jadi, daripada uri ditanam begitu sahaja, adalah lebih baik kalau didermakannya.

HURAIAN:Kini telah dikenal pasti bahawa darah dalam tali pusat dan uri yang dipotong itu mengandungi banyak sel stem. Sel stem ini sangat bernilai kerana ia boleh digunakan untuk meransang pembentukan sel-sel darah merah dan putih sekaligus merawat penyakit talasemia dan anemia.

Sel stem itu juga digunakan untuk menjana sel-sel baru sekaligus merawat pelbagai penyakit lain termasuklah leukimia. Sehubungan dengan ini, kerajaan telah menubuhkan Bank Tali Pusat Negara untuk mengumpulkan tali-tali pusat untuk tujuan didermakan kepada pesakit yang sesuai dan juga untuk penyelidikan.

HUJAH:Menderma tali pusat itu sama hukumnya dengan menderma darah. Syeikh Ali Jumaat dalam al-Kalim al-Tayyibmenjelaskan satu prinsip apabila ditanya tentang hukum derma darah. Ringkasannya: “Perlu dibezakan antara hukum darah dan organ. Darah sesuatu yang terpisah dan organ sesuatu yang bersambungan. Sesuatu yang terpisah boleh dikeluarkan dari badan manusia. Setiap yang keluar daripada manusia boleh dimanfaatkannya.”

Hak Beri Nama

Keluarga sebelah isteri ada satu tradisi. Mana-mana anak atau cucu sulung, namanya diberikan oleh datuk. Mereka biasanya menamakan anak dengan nama-nama Jawa seperti Roskimin dan Kasimin. Sedangkan saya inginkan anak saya semuanya ada “Abdul” jika lelaki dan nama-nama sahabat jika perempuan. Saya juga tidak ingin berkompromi dengan menggabungkan nama seperti yang dilakukan oleh biras saya yang lain. Apa nasihat ustaz?

r

RINGKASNYA:Saya hanya boleh sebutkan dari segi prinsip sahaja. Dari segi hukum, hak menamakan anak itu milik ayah.

HURAIAN: Ibn al-Qayyim dalam Tuhfat al-Maududmerumuskan: “Hal ini memang tidak diperselisihkan lagi bahawa sekiranya kedua-dua ibu bapa bercanggah tentang nama, maka kata putusnya milik si ayah. Begitu banyak hadis-hadis berkaitannya telah diutarakan sebelum ini.”

NASIHAT:Saya nasihatkan saudara agar berbincang dahulu baik-baik. Menjaga hubungan itu wajib, sengaja mengeruhkannya itu dosa. Namun jika tidak dapat dielakkan juga, saudara yang lebih berhak membuat keputusan.

Maksud Baik Tetapi Tidak Baik

Sebelum ini saya pernah merancang untuk menamakan anak saya dengan nama Khairul Anam (manusia terbaik) jika lelaki dan Khairunnisa’ (perempuan terbaik) jika perempuan. Namun seorang anak saudara saya mengatakan nama tersebut tidak baik. Menurutnya, Nabi ada melarangnya. Benarkah?

Ya. Allah melarang kita daripada tazkiyah nafs iaitu memuji dan mengkuduskan diri sendiri. Firman Allah mafhumnya: “Janganlah kamu mengkuduskan diri kamu sendiri. Dia lebih tahu siapa yang lebih bertakwa.” (Surah al-Najm: 32)

Sehubungan ini Nabi pernah bertindak menukarkan nama yang mengandungi unsur tazkiyah al-nafs mengkuduskan diri. Sebuah hadis merakamkan bahawa Nabi melarang sahabat menamakan seorang anak perempuan dengan nama Birrah yang bermaksud kebaikan kerana nama itu dikira sebagai tazkiyah.

Lalu Baginda membacakan ayat di atas. Para sahabat pun bertanya: “Jadi dengan apa kami ingin menamakannya?” Rasulullah menjawab:“Namakannya Zainab.” (Riwayat Muslim)

Mesti Nama Arab?

Apa hukumnya saya menamakan anak saya dengan nama Melayu seperti Mawar bagi perempuan atau Adi Putra bagi  lelaki? Adakah nama wajib dalam bahasa Arab?

RINGKASNYA: Tidak wajib menamakan anak dengan nama Arab. Yang wajib adalah menamakan anak dengan nama yang bermakna baik dan menepati panduan Rasulullah.

HURAIAN:Nama-nama nabi dahulu pun bukannya dalam bahasa Arab seperti Musa, Harun dan Isa.Boleh jadi nama dalam bahasa ibunda itu lebih menepati kehendakagama. Contohnya nama Mawar itu sama sahaja seperti Zainab, Raihanah atau Zahrah yang bermaksud sejenis bunga.

Boleh jadi pilihan nama bahasa Arab itu lebih teruk. Tambahan pula jika asas pilihannya berdasarkan sedap bunyi sahaja hingga merosakkan maknanya atau bercanggah dengan petunjuk Rasulullah. Contohnya ada orang menamakan ketiga-tiga anaknya: Khairul Bariah, Syamsul Bariah dan Syarrul Bariah. Memang sedap disebut dan selaras rimanya tetapi ketiga-tiga tidak menepati sunnah:

t

Wati

Benarkah apa yang orang kata bahawa nama Wati dalam bahasa Arab bermaksud bersetubuh? Jadi semua nama Wati tidak elok. Jika begitu, adakah saya mesti menukarkan kedua-dua nama anak saya iaitu Nur Asmawati dan Roslinawati. Ibunya pula bernama Rosmawati.

RINGKASNYA:Tidak benar dan tidak perlu.

HURAIAN: Prinsipnya, makna bagi satu-satu nama hendaklah dirujuk kepada bahasa asal nama itu sendiri, bukannya kepada bahasa selainnya walaupun ada persamaan sebutan. Wati ialah nama dalam bahasa Melayu. Jadi jangan dirujuk kepada bahasa Arab.Memanglah secara sebutannya, Wati itu bolehlah dikatakan dekat dengan kalimah وطء yang bermaksud bersetubuh. Namun bukan kalimah ini asal usulnya. Wati menurut bahasa Melayu ialah kata tambahan yang menunjuk kepada perempuan seperti perkataan seniwati, peragawati, olahragawati.

Nama Yang Bukan Nama

Saya berhasrat untuk menamakan anak saya nanti dengan nama Bukhari, Tirmizi dan Nawawi. Apa pandangan ustaz?

RINGKASNYA: Jika hasrat tuan ini atas dasar mengambil aspirasi daripada pemilik panggilan tersebut, bagus. Mudah-mudahan anak-anak tuan mengikut jejak langkah para imam besar itu.

Cuma saya ingin nyatakan bahawa ketiga-ketiga “nama” tersebut bukannya nama asal mereka. Sebaliknya itu semua panggilan masyhur buat mereka. Kalau dari segi maksudnya pula, Bukhari: Orang negeri Bukhara, Tirmizi: Orang negeri Tirmiz dan Nawawi: Orang dari kampung Nawa.

HURAIAN:Dalam adat Arab, seseorang boleh itu dikenali dan dipanggil dengan selain nama asalnya. Contohnya, lihat panggilan penuh bagi Imam al-Nawawi yang berikut:

y

  1. Laqab ialah gelaran. Boleh jadi dalam pelbagai bentuk.
  2. Kuniyah ialah gelaran yang bermula dengan Abu atau Ummu. Digalakkan untuk kita memiliki kuniyah sendiri.
  3. Nisbah ialah sandaran seseorang kepada sesuatu sama ada kepada negeri asal, keturunan dan sebagainya.
  4. Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Muhammad Luqman Makhtar

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Muhammad Luqman Makhtar

Sarjana Muda Ilmu Wahyu (Fiqh dan Usul al-Fiqh), UIAM. Pernah berkhidmat di Kolej Komuniti Masjid Tanah dan Selayang. Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

special-4157 special-4099special-3928

 

Kembali ke atas