Menu

 

A+ A A-

NAZAR DALAM FATWA IBN HAJAR

Lafaz Nazar

Adakah lafaz “Aku nazarkan untukmu barang ini” sah dikira sebagai nazar ataukah tidak? Bagaimanakah lafaz nazar yang sah tanpa khilaf bagi orang yang hendak menazarkan hartanyabagi orang lain?

Pendapat muktamad, lafaz “aku nazarkan untukmu barang ini” sudah termasuk lafaz yang sarih atau jelas dalam nazar. Sebahagian ulama berpendapat bahawa lafaz sebegini dikira sarih bernazar jika perbuatan yang dinazarkan itu bernilai ibadah (qurbah) atau dikaitkan dengan ibadah. Contohnya:“Aku bernazar akan memberi sedekah kepada fakir miskin.”

Adapun lafaz: “Aku bernazar untuk si polan sesuatu ini”, maka ia terbuka untuk nazar dan selainnya. Yang zahir, kalimat ini dikira kinayah. Penjelasan dalam kitab Al-Anwar menyokong pendapat ini. Namun bagaimanapun, yang lebih tepat lafaz sebegini dikira sarih secara mutlak kerana sangat popular digunakan. Dan tidak beza antara “aku bernazar untukmu” atau “aku bernazar atasmu”. Lebih baik bagi orang yang hendak bernazar memberi suatu harta kepada orang lain menyebut: “Demi Allah, aku mewajibkan diriku memberi kepadamu atau bersedekah kepadamu, dengan harta ini” atau seumpama dengannya.

NAZAR

Nazar untuk Kafir

NAZAR1Apa hukum bernazar hendak memberi sesuatu kepada orang kafir?

Harus bernazar sesuatu untuk orang kafir. Sebab memberi sedekah kepadanya dikira satu ibadah. Seperti itu juga hukumnya memberi nazar untuk orang kaya.

Tarik Balik Nuzriah

Seseorang bernazar memberi sesuatu untuk anaknya, bolehkah dia menarik balik pemberian itu?

Al-Faqih Jamaludin Wasi yang terkenal dengan gelaran al-Basal berfatwa: tidak boleh tarik balik. Ada ulama lain pula mengatakan: boleh tarik balik. Berkata al-Azraq dalam Syarh Tanbih: “Pendapat pertama lebih kuat.” Dalam kitab al-Raudah pula disebut: “Sedekah yang dinazarkan seperti zakat dan hutang. Dan sepertimana ia tidak boleh menarik balik daging korban yang diberikan kepadanya.” Manakah pendapat yang paling kuat dalam perkara ini?

Hujah orang yang memfatwakan boleh menarik balik nazar adalah kerana menyamakan nazar dengan sedekah yang dihukumkan harus secara syarak. Berkenaan dengan hukum hibah, dalam kitab al-Raudah dikatakan: “Jika seseorang bersedekah kepada anaknya, maka ia boleh menarik balik sedekah tersebut sebagaimana menurut pendapat yang paling sahih. Ini kerana sedekah ialah sebahagian daripada hibah. Dalam hadis dibolehkan menarik balik hibah secara mutlak.” Akan tetapi, Imam Al-Rafii tidak membolehkan sedekah ditarik balik. Kata beliau: “Sebab matlamat orang yang memberi sedekah ialah pahala di akhirat. Pahala itu wujud dengan berlakunya sedekah itu.” Jadi berdasarkan kitab al-Syarh al-Saghir, tidak dibolehkan menarik balik nazar. Adapun berdasarkan kitab al-Kabir dan al-Raudah dan ini lebih kuat, boleh. Namun lebih kuat lagi daripada pendapat ini ialah mesti dibezakan antara nazar dengan sedekah dari sudut kewajipan dalam hukum nazar. Maka pendapat yang paling kuat adalah tidak boleh menarik balik apabila terdapat lafaz nazar yang sah.

 

Wallahu a‘lam.

Fatwa Ibn Hajar Al-Haytami

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 12

 


 

 

Ibn Hajar al-Haitami

Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Hajar. Datuk beliau digelar “hajar” yang bermaksud batu kerana
sikapnya yang sangat pendiam dan tidak berbicara kecuali jika benar-benar perlu. Beliau dilahirkan pada akhir tahun
909 H di Mahallah Abi al-Haytam, Mesir. Setelah menghafal al-Quran, beliau melanjutkan pengajiannya ke Universiti
al-Azhar dan menimba ilmu daripada ramai ulama antaranya Syeikh Zakaria al-Ansari. Buku-buku karangan beliau
sangat banyak antaranya Tuhfat al-Muhtaj dan Fath al-Jawad. Hingga ke hari ini, buku-buku tersebut masih menjadi
rujukan utama dalam fiqah mazhab Syafi‘i. Ibn Hajar wafat di Makkah pada tahun 974 H pada usia 63 tahun.

Kembali ke atas