Menu

 

A+ A A-

HUKUM PINDAH MAZHAB

Pindah Mazhab

Seseorang yang bermazhab Syafii menggalakkan anaknya untuk mengikuti mazhab Abu Hanifah. Beliau turut mengajarkan kitab-kitab fiqah Hanafi. Jika seseorang yang bermazhab Syafii ditanya tentang mazhab apa yang mesti diikuti, adakah ia mesti menyuruhnya mengikuti mazhab imamnya (yakni Syafii) atau ia boleh menyuruh mengikuti mazhab imam lain?

Jawapan

Al-Syafii, Abu Hanifah, Malik, Ahmad dan seluruh imam kaum Muslimin berada dalam petunjuk daripada Allah. Semoga mereka mendapat ganjaran pahala yang sebanyak-banyaknya. Dan semoga kita dibangkitkan di akhirat nanti bersama mereka.

Kerana mereka berada di atas petunjuk, maka tidak mengapa kita menyuruh orang lain untuk berpegang dengan salah satu daripada mazhab yang empat ini. Sekalipun perkara itu bertentangan dengan mazhab dan pegangan kita sendiri. Ini kerana tindakan ini merupakan petunjuk kepada kebenaran dan hidayah.

Seseorang yang bermazhab Syafii tidak boleh mengajarkan kitab-kitab fiqah yang bukan mazhabnya. Melainkan jika ia pernah mempelajari kitab itu daripada seorang ulama mazhab tersebut yang diakui keilmuannya. Ini sekiranya matlamat pengajarannya untuk mengajarkan pendapat yang muktamad dalam mazhab itu. Adapun jika sekadar untuk mengkaji perkataan dan memahami maknanya sahaja, maka ia tidak dilarang.

 

Selain Empat Mazhab

Bolehkah orang awam bertaklid kepada salah seorang imam selain daripada imam empat mazhab (Malik, Abu Hanifah, Syafii dan Ahmad)? Jika tuan menjawab tidak boleh, maka jika ia bertaklid juga kepadanya, sahkah ibadahnya? Jika tidak sah, adakah ia berdosa dan wajib qada dengan segera?

Jika tuan katakan boleh bertaklid kepada selain empat imam mazhab, adakah disyaratkan ijtihad itu menyerupai ijtihad salah seorang daripada imam empat mazhab? Adakah disyaratkan pendapat itu mesti mutawatir? Dan adakah pendapat itu mesti terdapat dalam kitab atau memadai dinukilkan secara lisan sahaja? Dalam kitab Jam’ul-Jawami’ dinyatakan boleh bertaklid kepada setiap ulama mujtahid tanpa sebarang syarat melainkan muqallid (yang bertaklid) meyakini kekuatan mazhab tersebut. Adakah kenyataan ini cukup untuk membolehkan bertaklid kepada mana-mana mujtahid?

Jawapan:

Tidak boleh bertaklid dengan selain empat imam mazhab dalam fatwa ataupun pengadilan. Jika untuk amalan peribadi, maka boleh bertaklid kepada setiap ulama mujtahid selain empat imam. Walau bagaimanapun, tidak boleh bertaklid kepada mazhab Syiah dan sebahagian mazhab Zahiri.

hukum-pindaan-mazhab-4

Syarat Bertaklid

hukum-pindaan-mazhab-3

Syarat -syarat dibolehkan bertaklid adalah:

1. Mengetahui mazhab ulama yang diikuti itu melalui rangkaian perawi yang adil.

2. Menguasai perincian masalah dan perkara berkaitan dengannya dalam mazhab tersebut.

3. Tidak berlaku talfiq jika hendak mengikut pendapat imam lain. Campur aduk taklid (talfiq taklid) dilarang secara kesepakatan ulama.

 Contoh: Orang yang bertaklid mazhab Maliki bahawa air liur anjing bukan najis, dan mengusap sebahagian kepala ketika berwuduk kerana bertaklid mazhab Syafii.

Jika syarat-syarat taklid yang telah saya sebutkan ini dan juga syarat lain yang dijelaskan dalam kitab-kitab usul dipenuhi, maka ibadat dan muamalat orang yang bertaklid ini sah. Jika tidak dipenuhi syarat-syaratnya, maka tidak sah. Ia dikira berdosa dan wajib segera mengqadanya.

Tidak disyaratkan pendapat itu mesti menyerupai pendapat salah seorang imam yang empat. Dan tidak semestinya juga mutawatir atau tertulis dalam kitab tersendiri. Memadai jika ia diambil daripada kitab-kitab ulama yang dipercayai. Penjelasan dalam kitab Jam’ul Jawami’ mesti difahami selari dengan perkara yang saya jelaskan. Dan apabila dikaji dengan lebih mendalam, jelaslah bahawa ia tidak menyalahi ketetapan ini.

Wallahu a‘lam.

 hukum-pindaan-mazhab-5

IBN HAJAR AL-HAITAMI

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


 

Ibn Hajar al-Haitami

Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Hajar. Datuk beliau digelar “hajar” yang bermaksud batu kerana
sikapnya yang sangat pendiam dan tidak berbicara kecuali jika benar-benar perlu. Beliau dilahirkan pada akhir tahun
909 H di Mahallah Abi al-Haytam, Mesir. Setelah menghafal al-Quran, beliau melanjutkan pengajiannya ke Universiti
al-Azhar dan menimba ilmu daripada ramai ulama antaranya Syeikh Zakaria al-Ansari. Buku-buku karangan beliau
sangat banyak antaranya Tuhfat al-Muhtaj dan Fath al-Jawad. Hingga ke hari ini, buku-buku tersebut masih menjadi
rujukan utama dalam fiqah mazhab Syafi‘i. Ibn Hajar wafat di Makkah pada tahun 974 H pada usia 63 tahun.

Kembali ke atas