Menu

 

A+ A A-

DIPAKSA KAHWIN DENGAN LELAKI YANG TIDAK SOLAT

Ada seorang ayah menikahkan anak perempuannya secara paksa dengan seorang lelaki yang tidak solat.Adakah pernikahan itu sah? Kes ini sering berlaku.

1DKDLYTS

JAWAPAN :

Jika anak perempuan itu menjaga solatnya, maka perkahwinan secara paksa tersebut tidak sah kerana lelaki itu tidak sekufu dengannya. Maka bagi mendapatkan pernikahan yang sah, perlu ada keredaan daripada perempuan itu setelah dia baligh.Ini kerana antara syarat sah ijbar(paksaan) wali ialah si wali mesti menikahkan anaknya dengan orang yang sekufu dengannya sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama.

Wali dan Saksi Tidak Solat

SOALAN :

Jika seseorang wali itu fasik kerana meninggalkan solat, bolehkah dia menikahkan anak perempuannya? Bagaimana pula jika kadi (wali hakim) juga seorang yang fasik sebagaimana si wali, maka siapakah yang berhak menikahkan gadis itu? Jika pada satu masa kefasikan menjadi begitu berleluasa dengan ramai orang tidak lagi menunaikan solat, maka apakah sah akad nikah dengan dua orang saksi yang fasik tersebut?

JAWAPAN :

Seseorang wali fasik kerana meninggalkan solat tidak boleh menikahkan anak perempuannya. Maka hak perwalian itu berpindah kepada wali yang lebih jauh iaitu kepada kadi secara mutlak.  Namun begitu al-Nawawi dan Ibn Solah memilih pendapat al Ghazali iaitu sekiranya hak perwalian itu perlu berpindah kepada wali hakim sedangkan si hakim itu juga seorang yang fasik, maka hak perwalian itu kekal di tangan wali asal.Tidak sah nikah dengan bersaksikan orang fasik kerana meninggalkan solat atau sebab-sebab kefasikan lainnya. Jika kefasikan telah berleluasa, maka pada saat itu tidak disyaratkan ‘adalah(kesolehan) zahir dan batin seseorang saksi. Maka memadailah dengan orang yang mastur. Mastur ialah orang yang pada zahirnya nampak baik dan terjaga walaupun secara batin tidak ada yang mengesahkannya dihadapan kadi.

Membayangkan Wanita Lain

SOALAN :

Seseorang berjimak dengan isterinya sambil membayangkan wanita lain. Adakah perkara ini diharamkan?

JAWAPAN :

Abu al-Qasim Ibn al-Bazri berfatwa:  “Tidak halal (perbuatan tersebut)!” Ibn al-Subki menjelaskan secara panjang lebar tentang perkara ini dalam biografi Ibnal-Bazri di kitab Tabaqatnya. Namun Ibn al-Subki mentarjihkan amalan tersebut sebagai tidak berdosa berdasarkan hadis yangbermaksud: “Sesungguhnya Allah memaafkan daripada umatku apa-apa yang terkandung dalam hati mereka selagi tidak diucapkan atau dilakukan.” Orang ini tidak melakukan apa yang terkandung dalam hatinya (yakni berzina dengan wanita lain). Walau bagaimanapun ada hujah yang menyokong pendapat yang mengharamkan amalan tersebut iaitu ucapan al-Qadi Husein dalam bab puasa dalam Ta‘liqatnya: “Sebagaimana haram memandang sesuatu yang tidak halal, maka haram juga membayangkannya. Allah berfirman, maksudnya: ‘Janganlah engkau menginginkan perkara buruk.’  (Surah al-Baqarah267) Maka dilarang menginginkan keburukan sebagaimana dilarang memandang kepada perkara yang haram”’

Nikah Bisu

SOALAN :

Sahkah akad nikah orang bisu secara isyarat?

JAWAPAN :

Jika isyarat itu difahami oleh semua orang, maka sah akad nikahnya. Ini kerana isyarat itu menjadi jelas maksudnya. Jika isyarat itu tidak dapat difahami,maka akad tidak sah. Sebabnya isyarat menjadi seperti kinayah,dan pernikahan secara kinayah * adalah tidak sah.

Hadiah Pertunangan

SOALAN :

Seorang lelaki meminang seorang perempuan, lalu pinangannya diterima. Kemudiannya si lelaki memberikan sejumlah harta kepada keluarga perempuan yang disebutsebagai “persiapan nikah”. Adakah harta itu milik perempuan yang dipinang atau bukan?

JAWAPAN :

Mesti diperhatikan niat lelaki tersebut. Jika dia memberinya dengan niat sebagai hadiah, maka pemberian itu dimiliki oleh tunangnya. Jika dia meniatkan harta itu sebahagian daripada mahar, maka ia dikira sebahagian daripadanya sekalipun tidak sejenis dengan mahar tersebut. Jika dia berniat untuk menarik balik pemberian itu jika pernikahan tidak jadi, ataupun dia tidak berniat apa-apa, maka pemberian itu tidak boleh dimiliki oleh tunangnya dan mesti dikembalikan kepadanya apabila pernikahan tidak menjadi.

Ibn Hajar al-Haitam

Sumber: Kitab al-Fatawa al-Kubra al- Fiqhiyyah ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i.

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Ibn Hajar al-Haitami

Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Hajar. Datuk beliau digelar “hajar” yang bermaksud batu kerana
sikapnya yang sangat pendiam dan tidak berbicara kecuali jika benar-benar perlu. Beliau dilahirkan pada akhir tahun
909 H di Mahallah Abi al-Haytam, Mesir. Setelah menghafal al-Quran, beliau melanjutkan pengajiannya ke Universiti
al-Azhar dan menimba ilmu daripada ramai ulama antaranya Syeikh Zakaria al-Ansari. Buku-buku karangan beliau
sangat banyak antaranya Tuhfat al-Muhtaj dan Fath al-Jawad. Hingga ke hari ini, buku-buku tersebut masih menjadi
rujukan utama dalam fiqah mazhab Syafi‘i. Ibn Hajar wafat di Makkah pada tahun 974 H pada usia 63 tahun.

Terkini daripada Ibn Hajar al-Haitami

Kembali ke atas