Menu

 

A+ A A-

ANAK MUDA YANG DISANJUNG RASULULLAH

Ditulis oleh 

Abdullah Bin Abbas Adalah Seorang Ulama Rabbani Kebanggaan Umat Muhammad S.A.W. Beliau Adalah Orang Yang Paling Mengerti Isi Al-Quran, Paling Memahami Tafsirannya, Paling Mendalam Menyelami Kefahaman Isi Al-Quran, Dan Paling Pandai Menggali Tujuan-Tujuan Serta Rahsia-Rahsianya.

Sahabat Nabi s.a.w ini sesuai mendapat pujian dari segala segi. Tiada satu pun dari dirinya yang tidak sesuai dipuji. Dia mendapat penghormatan sebagai sahabat Nabi, padahal jika kelahirannya terlambat sedikit sahaja, beliau tidak mungkin menjadi sahabat Baginda s.a.w.

Disamping itu, beliau juga adalah kerabat Nabi s.a.w. Beliau mendapat penghormatan ilmu kerana beliau adalah ‘Habr’ (iaitu ulama besar yang luas ilmunya) bagi umat Muhammad s.a.w dan lautan ilmu yang sangat luas. Beliau sesuai mendapat pujian takwa kerana dikenali sering berpuasa di siang hari dan solat tahajud di malam hari. Beliau banyak menangis kerana takut kepada Allah sehingga deraian air mata membekas di pipinya.

Nabi Mentahnik Dan Mendoakannya

Ibnu Abbas lahir tiga tahun sebelum hijrah dan ketika Rasulullah s.a.w wafat, usianya baru mencecah 13 tahun. Namun beliau telah meriwayatkan 1660 hadis Rasulullah s.a.w kepada umat yang semuanya tercatat dalam kitab sahih al-Bukhari dan sahih Muslim.

Ketika ibnu Abbas baru sahaja dilahirkan, ibunya membawanya kepada Rasulullah s.a.w. Baginda mentahnik (mengusap bahagian lelangit dan mulut sebelum menyusu) bayi comel itu dengan menggunakan air liurnya sehingga yang pertama kali masuk ke dalam perutnya adalah air liur Nabi s.a.w yang penuh berkat dan suci. Bersamaan dengan itu, masuk pula ketakwaan dan hikmah ke tubuhnya.

Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 269 yang bermaksud: “sesiapa yang dianugerahi hikmah itu, dia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak.”

Setelah anak keluarga al-Hasyimi ini mulai membesar dan sampai usia tamyiz (sekitar tujuh tahun), beliau selalu menemani Rasulullah s.a.w dan tidak pernah berenggang darinya.

Beliau menyiapkan air wuduk ketika Rasulullah s.a.w hendak berwuduk dan solat di belakang Baginda ketika Baginda sedang solat, serta sering duduk di belakang Baginda ketika hendak melakukan perjalanan.

Sejak itu, ibnu Abbas bagaikan bayangan Rasulullah s.a.w yang akan menemaninya ke mana pun Baginda pergi dan selalu bersamanya di mana pun Baginda berada. Keadaan ini dilengkapi dengan keistimewaan ibnu Abbas yang memiliki hati yang cepat memahami dan fikiran yang jernih dan daya hafalan yang luar biasa yang berfungsi sebagai perakam.

SAHABAT NABI

Kenangan Bersama Rasulullah

Dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim, ibnu Abbas bercerita pengalamannya bersama Rasulullah s.a.w: “suatu ketika Rasulullah s.a.w ingin berwuduk. Maka aku segera menyiapkan air dan aku lihat Baginda sangat suka dengan khidmat yang aku berikan. Apabila hendak memulakan solat, Baginda memberi isyarat kepadaku agar berdiri di sampingnya, tetapi aku memilih di belakangnya.

Sesudah selesai solat, Baginda berpaling menghadap kepadaku sambil berkata: ‘Hai Abdullah, apa yang membuatmu enggan solat di sampingku?’ Aku menjawab, ‘Wahai Rasulullah, bagiku tuan terlalu agung dan mulia sehingga aku tidak mahu berdiri sejajar denganmu. ‘Lalu Rasulullah s.a.w menadah tangannya ke langit sambil berdoa: ‘Ya Allah, berilah hikmah kepadanya.’”

Allah s.w.t. mengabulkan doa Nabi s.a.w tersebut sehingga putera keluarga al-Hasyimi itu mendapat hikmah yang lebih hebat daripada hikmah orang-orang bijak terkemuka. Ibnu Abbas wafat dalam usia 71 tahun. Selama itu, dia telah mengisi dunia dengan ilmu, pemahaman, hikmah dan ketakwaan.


 

Ustaz Mohamad Wahid Hanif

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu 6

 


 

Read 9796 times
Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.