Menu

 

A+ A A-

HUKUM HAKAM WANITA HAMIL DAN JANIN

Ditulis oleh 

Saya pernah mengalami satu kemalangan. Doktor memberitahu bahawa kemungkinan saya tidak boleh melahirkan anak. Apakah saya wajib memberitahu tunang saya berkenaan perkara ini?

Tidak wajib memberitahu perkara ini kepadanya. Sebab Allah Maha Berkuasa untuk memberi keturunan bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Boleh jadi saudari boleh mendapatkan anak pada masa hadapan. Demikian fatwa Dr. Ali Jumuah, Mufti Mesir dalam kitab kumpulan fatwanya al-Kalim al-Tayib.

Dr. Ali Jumaah turut mengatakan bahawa perempuan yang tidak menyebutkan perkara ini kepada calon suaminya tidak dikira menipu apa lagi menyembunyikan aib.

Wanita Hamil dan Jenazah

Orang tua selalu mengatakan bahawa perempuan mengandung tidak boleh menghampiri mayat atau menghantarnya ke kubur. Jika dilakukan, boleh mengakibatkan susah ketika hendak melahirkan anak nanti. Perlukah kita mengikut pantang larang tersebut?

Prinsipnya, mana-mana adat yang tidak menyalahi syariat, kita digalakkan untuk mengikutinya. Namun jika adat tersebut menyebabkan hidup menjadi susah dengan pelbagai pantang larang yang tidak berasas sama sekali, maka tidak salah jika kita meninggalkannya.

Islam tidak melarang wanita hamil menghampiri mayat. Apa lagi jika jenazah itu suami atau ibu bapanya sendiri. Tiada halangan jika dia hendak memandikan, mengkafankan apalagi mencium mayat tersebut sebagai penghormatan terakhir.

Adapun tentang menghantar jenazah ke kubur, hukumnya makruh bagi wanita tidak kira ia hamil ataupun tidak. Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk berkata: “Adapun perempuan, maka makruh baginya menghantar jenazah namun tidak haram. Inilah pendapat yang benar.”

 Doktor lelaki

Bolehkah perempuan melakukan ujian kesihatan (medical check-up) dengan doktor lelaki? Bagaimana pula dengan situasi hendak bersalin yang mana doktor yang bertugas ialah lelaki? Adakah ia darurat?

Prinsip dalam setiap kes perubatan yang melibatkan pendedahan aurat, seorang perempuan mesti menggunakan khidmat doktor perempuan Muslimah. Jika tidak ada, maka doktor perempuan kafir. Jika tidak ada, barulah doktor lelaki Muslim. Jika tidak ada juga, maka doktor lelaki kafir.

Berusahalah untuk mendapatkan khidmat doktor muslimah walaupun harus membayar lebih. Jika terpaksa menggunakan khidmat doktor lelaki, maka ia dibolehkan dengan syarat ditemani oleh suaminya agar tidak berlaku khalwat.

 

hamil1

 

Jimak Ketika Hamil

 Apa hukum berjimak ketika isteri sedang hamil?

Tidak ada halangan sama sekali bagi pasangan suami isteri untuk melakukan jimak ketika isteri sedang mengandung. Jimak hanya haram semasa isteri dalam haid, nifas atau ihram. Selain daripada tiga masa ini, tiada larangan bagi pasangan suami isteri untuk melakukan apa yang Allah halalkan, bahkan berpahala.

Haid Ketika Hamil?

Isteri saya kini sedang hamil tujuh bulan. Namun semalam dia  mendapati ada darah keluar seolah-olah darah haid. Adakah darah itu dikira darah haid atau istihadah?

Jika darah tersebut keluar antara dalam tempoh tidak kurang daripada sehari semalam dan tidak melebihi 15 hari, maka darah itu dikira darah haid. Menurut mazhab Syafi‘i, wanita hamil boleh mengalami haid walaupun jarang terjadi. Maka, selama mana darah itu keluar, ia wajib menjaga diri daripada perkara-perkara yang dilarang dalam haid seperti solat, puasa dan lain-lain.

Namun jika darah itu tidak memenuhi syarat-syarat darah haid, maka ia dikira darah istihadah. Misalnya jika ia melihat darah keluar hanya beberapa jam sahaja dan kurang daripada satu hari satu malam. Maka ia tetap berkewajiban melaksanakan solat, puasa dan ibadah lainnya.

Wanita istihadah wajib membersihkan darahnya setiap kali hendak solat fardu, membalutnya dengan kain, berwuduk lalu solat. Ia wajib melakukan empat perkara ini secara berturut-turut tanpa ada selangan masa.

Darah Wanita Keguguran

Adik saya mengalami keguguran janin selepas 12 minggu kehamilan. Adakah darah yang keluar selepas keguguran itu dikira nifas atau tidak?

Darah yang keluar itu dikira nifas. Begitu juga darah yang keluar dari rahim seorang wanita yang bersalin secara pembedahan. Selagi mana darah itu masih keluar, maka ia wajib menjaga pantang larangnya.

Haid atau Bukan?

Isteri saya baru sahaja bersih daripada nifas. Kemudiannya ia telah mandi dan mula melaksanakan solat dan sebagainya. Namun selepas satu minggu, ia dapati ada darah keluar. Apa hukum darah tersebut, haid atau bukan?

Dalam kes ini, saudara perlu mengambil kira tempoh nifas isteri saudara. Jika ia bersih daripada nifas setelah 60 hari, yakni tempoh maksima nifas, maka darah yang dilihat selepas itu dikira darah haid. Masa antara nifas dan haid itu ialah masa suci.

Adapun jika nifas isteri saudara benar-benar kurang daripada 60 hari, maka haid tidak akan datang hinggalah 15 hari setelah itu.

Jadi, katakanlah darah nifas itu terhenti setelah 40 hari, lalu isteri saudara mandi dan mula solat. Namun tujuh hari kemudian, didapati ada darah keluar. Maka darah tersebut dikira darah nifas yang belum benar-benar kering.

Ini bermakna masa antara dua darah itu sebenar masih bahagian daripada nifas. Jadi segala amalan ibadah yang dilakukan pada masa itu tidak sah. Jika ia berpuasa wajib, maka puasa tersebut wajib diqada.

Mandi Wiladah

hamil

Bilakah waktu yang sepatutnya saya wajib mandi wiladah? Mak cik saya di kampung berpesan supaya saya mandi pada hari ke-44 selepas kelahiran. Betulkah petuanya itu? Saya bakal melahirkan anak sulung.

Kewajipan melaksanakan mandi wiladah tidak ditentukan oleh hari, namun tertakluk kepada keluar dan berhentinya darah. Sebaik sahaja darah nifas benar benar berhenti, maka itu saatnya saudari wajib mandi. Tempoh masa ini tidak sama antara wanita.

Dalam mazhab Syafi‘i, darah nifas boleh jadi berhenti dalam masa sekejap sahaja iaitu kurang daripada satu hari, manakala tempoh paling lama ialah 60 hari. Namun kebiasaannya, nifas itu berlaku hingga 40 hari. Rumusannya, sejurus darah telah berhenti keluar, barulah wajib mandi.

 

Menggugurkan Janin Cacat

Pada sesi pemeriksaan kandungan isteri saya minggu lepas, doktor memberitahu kami bahawa janin dalam kandungan mengalami satu penyakit yang akan menyebabkan dia dilahirkan cacat. Bolehkah kami menggugurkan janin tersebut agar tidak membebankan hidupnya nanti?

Asasnya, haram melakukan pengguguran janin kecuali dalam kes darurat iaitu apabila dijangkakan bahawa kelahiran bayi nanti berkemungkinan besar mengancam nyawa si ibu. Pada saat itu, dibenarkan menggugurkan janin demi menyelamatkan nyawa ibu.

Namun bagi kes saudara, hukum menggugurkan janin tetap haram. Saya nasihatkan agar saudara memperbanyakkan doa dan bertawakalkepada Allah. Mudah-mudahan apa yang ditakuti itu tidak terjadi.

Taubat Menggugurkan Anak

Saya pernah menggugurkan kandungan yang berusia sebulan lebih. Kini saya telah bertaubat dan berkahwin dengan suami yang baik dan membimbing saya. Namun saya masih teringatkan dosa lampau saya itu. Apakah caranya supaya kesalahan itu benar-benar tertebus?

MUKADIMAH:Sebaik sahaja sperma dan ovum bertemu, maka janin itu dikira sebagai makhluk hidup walaupun belum berstatus manusia. Maka menggugurkan janin sama dengan membunuh makhluk hidup yang diharamkan. 

Namun begitu, hukum haram ini bertingkat-tingkat. Pengguguran yang dilakukan sebelum janin ditiupkan roh iaitu selepas 120 hari, hukumnya lebih ringan daripada pengguguran janin setelah ditiupkan roh. Ini kerana setelah ditiupkan roh, janin dikira sebagai manusia sempurna.

Janin 120 hari ke atas

Seseorang yang menggugurkan janin yang berusia 120 hari ke atas diwajibkan bertaubat, membayar diat dan melakukan kafarah.

Diat janin ialah 1/20 diat orang dewasa iaitu sebanyak harga lima ekor unta. Pada hari ini harga seekor unta sekitar RM4000.00 maka lima ekor unta adalah RM20 ribu. Diat ini akan diserahkan kepada ahli waris bayi tersebut yang tidak terlibat dalam penggugurannya seperti adik-beradiknya. Adapun ibunya yang melakukan pengguguran dan ayahnya jika mengizinkan perkara tersebut, mereka tidak mendapat bahagian daripada diat ini.

Adapun kafarah, maka ia mesti membebaskan seorang hamba sahaya atau berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Memandangkan perhambaan sudah tiada lagi pada zaman ini, maka tiada pilihan selain berpuasa.

Janin kurang 120 hari

Bagaimanapun, kewajiban diat dan kafarah ini tidak dikenakan bagi orang yang menggugurkan janin yang usianya kurang daripada empat bulan. Ia hanya wajib bertaubat kepada Allah dan bertekad tidak mengulangi perbuatan haram tersebut.

Mengurus Jenazah Janin Gugur

Anak saudara saya mengalami keguguran dan kandungannya meninggal dunia kerana tidak cukup bulan. Adakah janin itu wajib kita mandikan dan solatkan?

Kes ini pun kena dilihat kepada usia janin tersebut. Jika janin berusia kurang daripada 120 hari dan tidak didapati tanda-tanda kehidupan ketika dilahirkan seperti bergerak ataupun menangis, maka memadai ia dibalut dengan kain lalu dikuburkan. Tidak perlu dimandikan dan disolatkan.

Jika janin itu berusia empat bulan atau lebih, dan tidak didapati tanda-tanda kehidupan setelah kelahirannya, maka ia wajib dimandikan, dikafankan, lalu dikuburkan tanpa solat jenazah. Namun jika didapati ada tanda-tanda ia hidup setelah kelahiran,maka hukumnya seperti orang dewasa iaitu dimandikan, dikafankan, disolatkan lalu dikuburkan.

hamil2

 Ganti Puasa

Ibu saya baru sahaja selamat melahirkan adik kami pada 18 Ramadan. Sebelum itu, ada beberapa hari yang beliau tidak berpuasa. Selepas bersalin, beliau memanglah tidak berpuasa kerana nifas. Soalan saya, bagaimana beliau hendak menggantikan kesemua puasa Ramadan yang ditinggalkan itu? Ada orang kata kena bayar fidyah. Mohon penjelasan.

Bagi kes wanita hamil atau menyusukan anak yang meninggalkan puasa, maka terlebih dahulu kita mesti mengambil kira faktor yang menyebabkannya tidak berpuasa.

Jika faktornya kerana bimbangkan kesihatan dirinya sendiri, maka ia hanya wajib qada puasa sahaja.

Jika faktornya kerana bimbangkan kesihatan anaknya, maka ia wajib melakukan dua perkara iaitu qada dan fidyah.

Misalnya, mungkin ibu hamil itu tidak berpuasa kerana khuatir janinnya akan gugur. Mungkin juga seorang ibu menyusu itu tidak berpuasa kerana khuatir puasa itu mengurangkan susunya yang akhirnya akan memudaratkan bayinya.

Adapun wanita sedang nifas, tidak wajib baginya berpuasa malah haram. Maka, memadai baginya qada puasa tersebut setelah nifasnya berakhir.

Mati Syahid

Betulkah seorang perempuan yang meninggal dunia kerana melahirkan anak dikira mati syahid?

Ya. Ada hadis berkenaan perkara ini. Namun begitu, syahid di sini bukan seperti orang yang mati berjihad di medan perang. Orang yang syahid di medan perang tidak perlu dimandikan, dikafankan dan disolatkan. Jenazahnya terus dikuburkan dengan pakaiannya.

Adapun wanita yang mati ketika bersalin, maka ia tetap wajib dimandikan, dikafankan dan disolatkan seperti jenazah biasa.

Wallahu a‘lam

Ustaz Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Read 13949 times
Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.