Menu

 

A+ A A-

MENCIPTA KETENANGAN DALAM KEHIDUPAN

PADA hari ini, stress (tekanan perasaan) merupakan masalah yang semakin menghantui masyarakat. Banyak faktor dalam kehidupan hari ini yang menyebabkan manusia berasa tertekan. Mengapa? Adakah disebabkan kemahuan diri yang tidak tercapai? Atau keadaan persekitaran yang begitu mencabar?

Sebenarnya setiap orang mengimpikan kemahuan yang sama. Cuma bezanya pada kefahaman dan pendekatan terhadap kemahuan tersebut. Maksud saya, setiap orang memiliki pentafsiran berbeza walaupun kemahuan mereka sama. Kemahuan kita berlegar pada tiga perkara di bawah:

a Kebahagiaan dan ketenangan jiwa.

b Kekayaan.

c Kebebasan.

Namun perhatikan, ada orang yang kaya, tetapi tidak bebas dan bahagia. Sebaliknya ada orang yang miskin, tetapi bebas dan bahagia.

Mencari Dunia yang Aman

Ramai orang berpendapat bahawa untuk mendapatkan ketenangan, kita perlu mencari dunia yang aman. Namun persoalannya, bagaimana? Sedangkan dunia ini hanya ada satu.

Sebenarnya kita akan mendapat dunia yang aman jika kita dapat melahirkan manusia yang terdidik akalnya dan mempunyai keamanan dalam diri mereka terlebih dahulu. Bermula daripada akal fikiran yang terdidik, ia akan membentuk manusia yang berjiwa tenang, sekali gus dapat menenangkan orang lain pula.

Ringkasnya, kita ingin melihat ada orang kaya yang banyak memberi dan orang miskin yang berbudi. Kedua-dua golongan merasai hidup penuh kebebasan jiwa sambil berjalan atas landasan syariat. Inilah ketenangan dalam kehidupan!

mencipta-ketenangan-dlm-kehidupan-1

9 Tip Mendapat Ketenangan

Justeru marilah sama-sama kita merancang kehidupan dengan niat untuk tenang dan bahagia. Setiap hari kita katakan kepada diri kita, “saya pilih untuk tenang”, “saya pilih untuk bahagia”. Kita mesti mengatakan “saya pilih” bukan “saya kena”. Apabila kita mengubah cara sesuatu perkara yang kita lihat itu, ia akan berubah.

Di sini saya kongsi beberapa prinsip yang apabila kita beramal dan menghayatinya, kita akan mendapat ketenangan dalam hidup insya-Allah:

1. Mesti mempunyai fikiran terbuka dan tidak bergantung kepada apa-apa selain daripada Allah. Apabila melakukan sesuatu perkara, kekalkan kesedaran bahawa semuanya boleh dengan keizinan Allah s.w.t. Insya-Allah, kita akan tenang dan tidak tertekan.

2. Menyedari bahawa kita tidak dapat memberi apa yang kita sendiri tidak milikinya. Contoh: Kita tidak boleh memberi kasih sayang jika kita tidak mempunyai sayang (sikap penyayang) dalam diri kita. Justeru, jika kita hendakkan kasih sayang, jadilah seorang yang penyayang, maka dengan sendirinya kasih sayang itu akan datang.

3. Bermunajat kepada Allah dan bermuhasabah diri setiap hari.

4. Lupakan sejarah lama. Kebanyakan orang mengambil sejarah lama sebagai justifikasi atau dalih nasibnya pada hari ini. Sepatutnya sejarah lama itu diambil sebagai pengajaran. Jalanilah konsep hidup yang baru iaitu “kita adalah orang yang baru setiap hari”.

5. Mengubah cara berfikir. Masalah yang dihadapi tidak akan dapat diatasi dengan cara berfikir yang sama semasa masalah itu mula terjadi. Contoh: Kenapa saya ada masalah asyik bergaduh dengan kawan? Ini kerana pada masa itu fikiran saya negatif. Jadi saya tidak boleh menggunakan fikiran yang sama untuk menyelesaikan masalah itu. Maka saya perlu mengubah fikiran saya itu kepada positif.

6. Buang segala kebencian kerana kebencian akan memakan diri sendiri.

7. Jika inginkan ketenangan dan juga mempunyai kesihatan yang baik, pejamkan mata dan bayangkan kita telah menjadi apa yang kita inginkan. Bertindaklah seolah-olah kita sudah berjaya.

8. Hargailah diri kita sebagai hamba Allah yang paling mulia. Apabila kita memuliakan diri kita maka kita tidak akan melakukan sesuatu yang boleh menghina diri kita iaitu melakukan dosa.

9. Bertindak dengan bijak. Kebijaksanaan ialah keupayaan untuk memilih atau mengelakkan pemikiran yang melemahkan kita. Oleh sebab itu, perkataan melambangkan nilai diri kita.

mencipta-ketenangan-dlm-kehidupan-2

Akhir sekali, ingin saya katakan bahawa cara untuk mendapatkan ketenangan, kebahagiaan dan kebebasan adalah dengan memperbanyakkan memberi kepada orang lain.

Selain itu juga, ubahlah orientasi tindakan kita daripada mencari ketenangan buat diri sendiri kepada hasrat ingin memberikan ketenangan kepada orang lain. Tidak kurang juga pentingnya, sediakan jurnal kesyukuran. Setiap hari tulis tiga perkara yang kita syukuri dan jadikan ia sebagai satu tabiat dalam diri kita.

Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad

Pakar Mata dan personaliti dakwah tanah air ini memegang PhD dalam bidang Ocular Immunology, University of London, 1998. Antara jawatan sekarang ialah Profesor Oftalmologi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Adjung Oftalmologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Menerima anugerah Tokoh Ilmuwan Selangor 2010.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas