Menu

 

A+ A A-

HIKMAH MENYARA KELUARGA

Memanglah anak-anak kurniaan Allah. Namun saya perhatikan bahawa kebanyakan orang miskin dan susah yang beranak ramai. Bukankah keadaan ini sebenarnya bebanan ke atas mereka?

Anak yang dilahirkan itu anugerah dan kurniaan daripada Allah s.w.t. kepada hamba-Nya serta sebagai bukti kekuasaan-Nya. Seorang anak bukan sekadar sebagai perhiasan hidup dan bukan juga sebagai bebanan tambahan yang tidak tertanggung. Mereka itu satu ujian Allah kepada pasangan suami isteri atau ibu bapa.

Firman Allah mafhumnya :“Ketahuilah harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah sahajalah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal: 28)

Setiap manusia yang dilahirkan sudah ditentukan rezekinya. Dia tidak akan mati sehingga dia mendapat semua bahagian rezekinya itu. Ini jelas dalam hadis Rasululah yang bermaksud: “Seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari.

“Lalu dijadikan segumpal darah selama itu juga. Kemudian dijadikan seketul daging selama itu juga. Kemudian Allah mengutuskan seorang malaikat untuk menulis empat kalimah: Amalannya, ajalnya, rezekinya dan untung jahat atau untung baik. Kemudian ditiupkan rohnya.” (Riwayat alBukhari) Allah Maha Berkuasa untuk menjadikan seseorang itu sama ada kaya atau sebaliknya. Mereka yang direzekikan anak-anak mestilah berusaha pula untuk menyara mereka. Usah salah faham, rezeki tidak datang secara automatik dengan lahirnya anak. Sebaliknya kita yang perlu berusaha mencarinya.

Firman Allah mafhumnya: “Janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka itu satu kesalahan yang besar.” (Surah al-Isra’: 31)

Anak juga sebagai penolong kepada ibu bapanya terutamanya pada usia tua. Doa anak soleh juga penting kepada ibu bapa apabila meninggal dunia, agar dilepaskan daripada azab seksa neraka. Semuanya bergantung pada didikan dan ajaran ibu bapa terutamanya didikan agama. Maka paling tidak pun, jika susah semasa di dunia mungkin berguna di akhirat kelak!

Hikmah Dua Ekor

Kenapa aqiqah anak lelaki afdal dua ekor? Apakah hikmah aqiqah secara amnya?

Aqiqah dilakukan sebagai tanda kesyukuran atas kurniaan anak dan sebagai mengikuti sunnah Rasulullah.

Kebiasaannya anak lelaki lebih dinantikan oleh para ibu bapa daripada anak perempuan. Disebabkan nikmatnya lebih besar, maka dua ekor kambing ditetapkan oleh syarak berbanding anak perempuan, seekor sudah memadai.

Walau bagaimanapun kedua-duanya ialah nikmat dan anugerah dari Allah yang mesti disyukuri. Haiwan aqiqah disembelih dan dibahagi-bahagikan dagingnya supaya kegembiraan dan rasa syukur itu dapat dikongsi bersama dengan orang lain seramai mungkin. Dengan itu ibu bapa dan si anak akan menerima lebih banyak doa untuk kebaikan dan keberkatan daripada orang ramai.

Semua ibadah dan doa-doa ini sebenarnya sebagai sambutan untuk anak yang baru lahir ke dunia ini semoga diberkati. Seorang Islam itu juga melakukan semua ini sebagai memohon limpahan rahmat Allah, keberkatan, petunjuk dan jagaan-Nya untuk anak yang baru lahir.

Dari sudut yang lain, aqiqah menggalakkan amalan sedekah, mengukuhkan semangat persaudaraan dalam masyarakat, membuang sifat kedekut dan bakhil serta memulakan kehidupan seorang bayi dengan amalan yang baik.

Hikmah Adil

Untuk aqiqah, adalah afdal disembelih dua ekor haiwan untuk anak lelaki berbanding anak perempuan, hanya seekor. Namun jika hendak memberi hadiah kepada anak-anak, mesti sama dan adil. Kenapa begitu?

Semua anak wajib dilayan dengan adil dan sama rata. Tidak harus seorang pun dilebihkan daripada yang lain, tidak kira lelaki atau perempuan.

Nu‘man bin Bashir meriwayatkan: “Bapaku telah memberikan kepadaku sebahagian hartanya. Namun ibuku ‘Amrah binti Rawahah berkata: ‘Aku tidak akan meredainya sehingga Rasulullah menjadi saksinya.’ Lalu bapaku pergi berjumpa Rasulullah untuk meminta Baginda menjadi saksi. Rasulullah bertanya ‘Adakah kamu berbuat demikian kepada semua anak kamu?’ ‘Tidak.’

Lalu Rasulullah bersabda, maksudnya: ‘Takutilah Allah dan berlaku adillah terhadap semua anak-anak kamu!’ Maka bapaku mengambil semula pemberiannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Banyak hikmah di sebalik perintah agama supaya berlaku adil kepada semua anak-anak antaranya:Layanan yang berbeza antara anak-anak akan melahirkan perasaan dengki dan benci terhadap satu sama lain.

  1. Membezakan anak-anak juga akan melahirkan anak yang derhaka. Ini kerana anak yang tidak mendapat layanan yang adil akan dihasut oleh syaitan. Dia akan membenci bapanya dan tidak akan menunaikan haknya untuk patuh kepada ibu bapa. Oleh sebab itu Rasulullah ada bersabda dalam hadis Nu‘man tadi: “Adakah kamu suka jika semua mereka samasama berkelakuan baik terhadap kamu?”
  2. Apabila seseorang bapa membezakan anak-anaknya dalam pemberian hadiah, dia akan merosakkan niat anak-anaknya. Ini kerana sekarang semua perbuatan baik dan kepatuhan mereka terhadapnya bukan lagi kerana Allah, tetapi untuk mendapat perhatian yang lebih dan memperoleh hadiah sebagaimana yang diterima saudara mereka.
  3. Anak yang terpilih itu mungkin akan menjadi sombong terhadap saudaranya yang lain dan merasakan dirinya lebih baik daripada mereka. Ini akan melahirkan sifat angkuh dan megah yang cukup untuk merosakkannya. Wallahu a‘lam.

 

Dr. Abdul Basit Abd Rahman

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

 

Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Kembali ke atas