Menu

 

A+ A A-

SEDEKAH YANG BARAKAH

BERSEDEKAH bukannya mudah. Ia memerlukan mujahadah dan pengorbanan yang tinggi. Mungkin nampak mudah untuk menghulurkan sesuatu. Namun sebenarnya hati adalah objek sebenar sebuah pemberian, bukannya tangan yang menghulur.

Maka Allah mengingatkan kita melalui kalam-Nya yang indah agar jangan merosakkan pahala sedekah yang dihulurkan dengan cercaan dan perkara-perkara yang menyakitkan.

Hal ini samalah keadaannya dengan orang yang menafkahkan hartanya dengan maksud menunjuk-nunjuk atau riyak dan tidak didorong oleh iman kepada Allah dan hari akhirat.

Golongan yang mencerca dan menghulurkan sedekah kerana menunjuk-nunjuk tidak akan meraih sedikit pun keuntungan daripada pemberiannya. Sudahlah hartanya berkurang di dunia, malah tiada nilai tambah di sisi Allah untuk kehidupannya di akhirat. Mereka mendapat kerugian yang nyata.

Renunglah bidalan Allah kepada golongan yang bersedekah tetapi mencerca dan tidak ikhlas. Mereka umpama batu licin yang terdapat tanah di atasnya. Lalu apabila hujan lebat mencurah-curah, maka tinggallah batu tadi bersih licin. Batu yang licin ini ibarat si pemberi sedekah tidak memperoleh apa-apa daripada pemberiannya lantaran memberi bukan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Allah sekali-kali tidak lupa mengkhabarkan berita gembira buat mereka yang benar-benar ikhlas bersedekah untuk mencari keredaan Allah.

Allah menggambarkan mereka seumpama kebun yang tinggi yang dilimpahi hujan mencurah-curah. Kebun yang disirami hujan tadi hidup subur dan mengeluarkan hasil yang berlipat ganda.

Begitu istimewa nikmat mereka yang benar-benar memberi kerana Allah. Umpama sebuah kebun yang hidup subur dan memiliki buah-buahan yang ranum dan enak. Sudah tentu pemilik kebun ini memiliki hati yang riang kerana kebun miliknya subur dan memberikan pulangan yang baik. Begitu jualah gambaran pemilik hati yang ikhlas bersedekah semata-mata kerana Allah dan bersikap lembut serta penyayang kepada insan yang menerima bantuan.

Maka jadikan diri kita insan yang mendapat reda dan nikmat Allah. Oleh sebab itu, segala yang kita lakukan perlulah ikhlas semata-mata kerana Allah dan untuk mendapat kasih sayang-Nya.

Wallahu a‘lam.

                                                                                    

                                       Noorjehan Baharudin

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09


 

Last modified onThursday, 20 April 2017 10:11
Noorjehan binti Baharudin

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Universiti al-Azhar. Mempunyai pengalaman dalam bidang kepimpinan dan perguruan. Pernah terlibat dalam penulisan majalah. Kini berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Agama Nurul Iman di Selangor.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

Kembali ke atas